Monday, March 31, 2008

Ayah yang ku benci (Bhg. 4 dan Bhg. 5)


Ayah yang ku benci (Bhg. 4 dan Bhg. 5)

Ada yang meng-email kepada aku; sudah habiskah siratan ”Ayah yang ku benci”? Kebanyakan yang meng-email itu aku balas menjawab yang siratan topik ini akan berterusan dan bertanyakan khabar ayah masing-masing, agar mereka bersama-sama menunjukkan rasa kasih dan sayang semasa hidupnya ayah (dan juga ibu). Salah seorang peng-email membalas email aku. Katanya dia mengikuti topik ini dan menunggu-nunggu kesinambungannya kerana beliau adalah yatim-piatu, sudah tiada ibu bapa lagi. Mungkin disebabkan itu beliau ternanti-nanti kesinambungan topik ini.

Ini mengingatkan aku kepada adik Tan Sri Azman Hashim iaitu Puan Azian, Pengurus Besar AMDB yang tertawa dan diikuti lelehan air mata apabila mendengar cerita mengenai ayahku ini. Kebetulan aku di atas pentas semasa majlis makan malam itu menyelitkan kisah ayahku bersempena dengan Hari Bapa.

Bagiku tiada Hari Bapa untuk disambut tetapi hari-hari adanya bapa untuk dikenang dikasihi serta dihornati.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/



Ayah yang ku benci – Bhg. 4 (Sejarah berulang lagi!)

Nota: anak jantan seorang aku itu hilang kasut sekolah minggu lepas. Sebenarnya dia berselipar semasa balik kerana ada latihan sukan. Kasut yang tertinggal di sekolah itu entah diambil atau disimpan oleh orang lain, sehingga kini belum dijumpai.

Kalau masa aku kecil dulu, aku selalu hilang pembaris. Ayahku akan menebuk satu lubang di pembaris tersebut dan mengikat tali nylon ke beg sekolah. Agaknya kalau aku hilang kasut semasa kecil dahulu, ayah akan mengikat kasut itu ke kaki aku!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/


Ayah yang ku benci – Bhg. 4

Siratan asal 1-Julai-2007,
(http://thejourney.weblog.uum.edu.my/)

Tahun 1979 di sebuah sekolah rendah di Perak. Ada seorang budak sekolah rendah darjah enam. Badannya gempal, berkaca mata bingkai tebal (subsidi dari Jabatan Pelajaran ketika itu), baju seragam puteh bernila biru dan seluar pendek biru yang kainnya sudah berbulu terutama di celah kangkang.

Stokin puteh yang sudah longgar pengikat betis dan kasut puteh kanvas yang ada tanda nipis “akan koyak” di bahagian hujung anak jari tapi bersih dengan diseliputi kapur tebal. (Kasut itu dibasuhnya sendiri pada setiap tengahari Jumaat sebaik sahaja habis sekolah dan disapu kapur apabila ianya kering)

Rambutnya berminyak dengan jalur sisir tepi yang ketara (Ibunya sendiri yang menyisir rambutya setiap hari sebelum ke sekolah walaupun sudah berusia hampir 12 tahun). Kocek kanan seluar sekolah agak menonjol dengan sehelai sapu tangan yang besar. Tali leher “ketua darjah“nya agak kusam kerana sering dibasuh tapi bersih dan “keras” berseterika..

Dia dikenali ramai sebagai “budak baru yang jadi ketua darjah“ tetapi dia lebih popular dengan adanya label namanya sendiri pada hampir semua pakaian dan alatan sekolahnya. Namanya ditulis dengan “art line marker“ warna biru pada kolar baju sebelah dalam tapi masih boleh dilihat dari luar. Singlet dalam juga turut ditulis nama dan amat ketara apabila dia menanggalkan baju seragam sewaktu mata pelajaran jasmani.

Beg silang warna hijaunya turut bernama, kali ini amat besar. Pada pensil dan pensil warna sama ada diukir dengan huruf-huruf awal namanya atau dikikis pada pangkal sebelum ditulis nama pada pangkal pensil yang berkikis itu.

Apa yang menjadi bahan jenaka sekolah ialah kayu pembaris atau pembaris plastik budak ini. Bukan sahaja bernama, tapi pada salah satu sisi terdapat tali nylon hijau yang diikat pada pembaris dan sebelah hujung tali nylon itu diikat pada beg sekolah. Khabarnya semasa tidak diikat setahun sebelumnya, kekerapan hilangnya pembaris ini melebihi jumlah bilangan bulan dalam setahun.

27 tahun kemudian pada tahun 2006, anak lelaki kepada budak tersebut (kini menjadi ayah kepada anak lelakinya itu yang berumur 9 tahun) telah tertukar kasut sekolah dengan rakan yang tidak diketahui semasa memasuki bilik sumber. Ayahnya itu memang bercadang untuk menulis nama pada kasut tersebut. Sementelah semua alatan lain; pensil, pembaris (ada nama sahaja tetapi tidak berikat) dan beg sekolah telah lengkap mempunyai nama. Malangnya kasut sekolah anaknya itu berwarna hitam bukannya putih. Si ayah membeli “artline marker“ wana perak tapi dakwat “permanent silver“ itu tidak tahan lama.

Apa yang menghairankan, kasut yang tertukar itu berbeza saiznya. Kaki anak lelaki itu bersaiz paling besar manakala kasut yang bertukar dan tidak diketahui pemilik asalnya itu agak kecil.

Bilakah paling akhir anda memeriksa beg sekolah anak anda?

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/


Ayah yang ku benci – Bhg. 5

Siratan asal pada 19-Julai-2007,
(http://thejourney.weblog.uum.edu.my/)


Ternoktahkah sudah kebencian itu?

Itu adalah antara kandungan email, pandangan bersemuka dan panggilan telefon yang aku terima minggu ini. selainnya bertanya;

sudah lesukah siratan? sudah bekukah idea yang sebelum itu bagaikan air beku di sungai empat musim yang dicairkan mentari terik?

Minggu ini adalah antara minggu yang padat. Persediaan mengajar ditambah dengan penyeliaan thesis pelajar master memenuhi jadual. Pendaftaran program PhD untuk sessi baru semester tiga di UKM juga terlewat kerana bertukar fakulti. Secara kebetulan di UUM juga akan mengalami senario yang hampir sama yang sedang hangat diperkatakan sesama pensyarah.

Undangan untuk satu ceramah motivasi untuk sebuah rumah anak yatim di Kulim terpaksa ditolak kerana bertembung dengan satu program kelolaan Jabatan Alam Sekitar Perak. Syarikat lama di Ipoh pula "berutus-utus" email dan "calling-calling" (istilah popular bukan saja remaja tapi dewasa masa kini!), menjemput (memanggil?) untuk membantu mereka beberapa perkara. Sudah hampir dua bulan aku meninggalkan kerjaya di sana tapi nampaknya masih sukar untuk mencari pengganti.

Dalam kesibukan itu sempat juga mencuri masa menghantar orang tua ku melawat seorang rakan setenteranya yang terlantar sakit di rumahnya sendiri. Itupun hampir waktu senja setelah habis mengajar di Perai. Malah aku dijemput untuk menjadi pemerhati kepada suatu mesyuarat yang akan berlangsung sebaik sahaja tamat masa mengajar. Agak keberatan tapi turut hadir memberi sokongan. Tiba di rumah orang tua sekitar hampir jam 6.30 petang. Seperti biasa ayahku sudah tercegat di hadapan rumah. Aku yakin dia sudah bersedia sejam dua awal. Janji asal pukul 5.00 petang dengan anggaran satu jam perjalanan dari Perai ke Taiping.

Rakannya hanya berbeza umur dua tahun. Terlantar setelah terjatuh di bilik air. Dia juga tidak mampu bersuara kerana menjalani suatu pembedahan kecil di kerongkong. Menurut ayah, rakannya ini digelar 'Mat Keramat" semasa mudanya kerana tidak pernah sakit. Malah demam pening pun boleh dikira dengan jari. Tanpa suara dan keuzuran yang ketara, sisakit masih dapat mengecam ayahku. Tangannya memegang erat seolah-olah tidak mahu melepaskan tangan ayahku sambil mengangguk-angguk kepala.

Ayahku juga sudah ketara uzurnya. Jalannya seolah-elok kekok mengatur langkah. Terpaksa dipimpin untuk masuk ke dalam kereta. Dia sering mengingatkan aku kalau hendak membawanya dengan kereta biarlah menggunakan Atos orang rumahku kerana Wira yang tempat duduknya rendah menyukarkan pengerakkannya.

Ternoktahkah sudah kebencian itu?

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment