Tuesday, March 18, 2008

Isteri yang selamat (safety wife?)



Siratan asal pada 28-Jun-2007,
(http://thejourney.weblog.uum.edu.my/)

Siratan kali ini bukanlah untuk menentukan ciri-ciri menjadi isteri yang selamat. Hanya mengenai isteri tersayang saya, seorang isteri kepada “OSH Practitioner”.

Isteri saya seorang guru tabika. Seorang yang aktif dalam sukan dan persatuan. Saya mengenalinya juga (dan jatuh cinta) semasa aktif memanjat gunung dan dalam beberapa aktiviti sukan yang lain.

Semasa bercinta dan seterusnya berkahwin, saya sudahpun bekerja dalam lapangan “OSH” ini. Oleh kerana “terpanggil” untuk menge-OSH-kan diri saya dan persekitaran luar kerja saya, saya masih teringat antara “hadiah-hadiah” pertama saya sama ada kepada isteri saya atau keluarga mertua saya ialah berkaitan dengan OSH. Dan saya pastikan juga apa yang ada di keluarga mertua saya mesti ada di rumah orang tua saya dahulu.

Antaranya saya hadiahkan “peti ubat” lengkap dengan ubat-ubatan asas seperti di “jadual” dalam Akta Kilang dan Jentera, 1967 (Peraturan). Saya beli tiga peti ubat; satu di rumah sendiri, satu di rumah orang tua dan satu di rumah mertua. Begitulah juga sehingga hari ini, kalau saya ingin membeli “kudapan istimewa” sebagai contoh; Mee Udang Sungai Dua, saya pastikan ada tiga pangku yang berasingan. Kalau pergi Pasar Ramadhan, jenuhlah jari saya membimbit tiga pangku ini kerana kedudukan tiga rumah ini adalah dalam lingkungan lima kilometer sahaja.

Oleh kerana saya “faham”, sebenarnya telah dimaklumkan dan pernah menerima “NCR – non compliance” dari DOSH (Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan) serta auditor dari CB (Certification body OSHSAS 18001/EMS ISO 14001), saya memastikan tiada sebarang ubat seperti “paracetamol” diletakkan di dalam peti ubat ini.

Ini menjadi isu malah “berbalah” dengan isteri saya. Bagi isteri saya, peti ubat mesti ada ‘Panadol” (Panadol sebenarnya jenama kepada “paracetamol”.)

Saya cuba pastikan sistem “housekeeping 5S” (Sisih, Susun, Suci, Seragam, Sentiasa Amalkan) diamalkan di rumah saya, walaupun saya “agak malas” untuk berkemas. Kini anak lelaki saya mewarisi tabiat buruk ini.

Saya pastikan semua kunci-kunci (kunci kereta, rumah, pejabat, basikal, dan lain-lain) berlabel (juga bernama dan lengkap nombor “hand phone”). Kemudian kunci-kunci ini mesti diletakkan di dalam rak yang juga berlabel. Ini bermakna dengan sekali pandang sahaja kita boleh tahu kunci apa yang tiada dalam rak tersebut. Malah ini juga sebagai persediaan menghadapi kecemasan. (Salah satu kursus yang saya gemar mengajar ialah “key management” yang mana telah diperkenalkan dan di amalkan di Celestica, Kulim Hi Tech dan juga Tasek Corperation Berhad, Ipoh)

Label-label ini bukan sahaja semata-mata ditulis pada kertas pemegang plastik tapi saya tempah dan diperbuat dari plastik. Sebelum ini ya, saya menggunakan pemegang plastik yang mudah dibeli di kedai tapi tidak tahan lama.

Untuk mengelakkan bilangan anak kunci yang banyak, saya menggunakan sistem “master key” terhadap mangga-mangga utama seperti pintu pagar, pintu besi rumah, pintu keluar dapur dan pintu pagar belakang. Dengan hanya satu anak kunci sahaja boleh membuka semua mangga-mangga ini. Tetapi ingat kalau anak kunci ini hilang atau anda rasa ianya kecurian, anda perlu menukar kesemua mangga-mangga yang berkongsi satu anak kunci ini.

Sistem “master key” ini bukan sahaja di rumah saya tetapi diamalkan juga di rumah orang tua saya dan mertua.

Saya juga pastikan ada sesalinan kunci-kunci untuk rumah saya disimpan di rumah orang tua dan juga rumah mertua saya. Begitu juga kunci-kunci di rumah orang tua saya dan mertua mempunyai sesalinan lengkap di rumah saya.

Rumah saya ada dua set lampu kecemasan yang akan menyala jika bekalan elektrik terputus. Malah turut dilengkapi dengan suis penghidup lampu automatik yang akan menyala pada waktu-waktu yang ditetapkan. Suis yang berharga tidak sampai RM 20.00 dipasang satu di ruang tamu dan satu lagi di dapur menghala ke bilik air. Kedua-dua alat kecemasan ini juga turut dipasang di rumah orang tua dan mertua saya.

Selain dari “OSH Practitioner” saya juga terlatih khas dalam bidang “Fire Safety” dan juga merupakan seorang pelatih (instructor) untuk Bomba Sukarela. Oleh itu saya cuba memastikan laluan terus (pintu utama ruang tamu hingga ke pintu dapur belakang) tidak terhalang dengan apa-apa objek.

Sekali lagi isteri saya berbalah dengan saya. “Ruang itu terlalu kosong”, katanya dan ada sahaja yang diletaknya. Kalau tidak meja kayu jati, diletaknya pasu bunga lengkap dengan kaki pasu setinggi tiga kaki! Objek-objek ini pula tidak kekal. Setiap bulan (kadang-kadang lebih kerap) bertukar tempat dengan objek lain yang ada di dalam rumah ataupun dengan objek baru.

Sewaktu anak saya baru belajar berjalan, dia sering terjatuh tergelincir di atas tikar-tikar plastik, baldu dan tikar Sarawak. Saya berbalah lagi dengan isteri. Tetapi isteri saya dengan tenang menjawab; “kita perlu mengajar anak kita cara berjalan dengan betul bukan menyeret kaki di atas tikar itu.”

Tetapi isteri saya pula sering memarahi (marah sayang) saya kalau saya terlupa (sebenarnya sering terlupa) mengunci pintu pagar, pintu-pintu rumah, pintu kereta, steering kereta, lampu bilik air dan sebagainya terutama apabila hendak tidur.

‘Abang ni jaga “safety” kat kilang sahaja! Safety kat rumah, anak isteri abang lupa!” ayat “standard” yang entah beberapa kali telah diperdengarkan dan akan pasti kedengaran lagi. Kadang-kadang saya berseloroh; “sayang, itu “security” bukan “safety”, abang jaga “safety” bukan jaga “security”. Nanti abang minta boss abang tambah satu lagi jawatan abang “cum Security Manager”!”. Akhir sekali isteri saya “give up” dan dia mengambil keputusan dia sendiri akan memastikan semua perkara-perkara itu diperiksa olehnya sendiri sebelum masuk tidur.

Bertambah lagilah satu kerja tak rasmi isteri saya.

Setiap pagi hinggalah tiga minggu yang lalu, isteri saya akan bangun lebih awal dari saya setiap hari. Mengosok seragam kilang saya, mengosok baju kerjanya, membasuh atau menyidai kain baju yang sudah dibasuh malamnya, membacuh milo untuk anak saya, membacuh teh-o untuk saya. Kadang-kadang menyediakan sarapan nasi goreng untuk anak saya. Kemudian mengejutkan saya dan anak diikuti dengan mengemas bilik tidur. Semasa saya berpakaian, dia menghidupkan injin kereta (memanaskan injin).

Tugasnya berterusan dengan menghantar anak ke sekolah. Terus ke kelas tabika. Pulang ke rumah, menyapu rumah (setiap hari!) dan selang dua hari mengelap rumah. Kemudian ambik anak sekolah. Hantar anak sekolah mengaji. Ambik anak. Malam hantar ke kelas takwando. Anak saya sehingga kini tidak mengikuti mana-mana tusyen. Saya sendiri mengajarnya beberapa malam dalam seminggu dan kini hanya di setiap hujung minggu.

Waktu malam mencuri-curi waktu melihat tv sambil melipat kain dan terbangun-terbangkit membasuh kain baju sementelah seragam kerja saya perlu diberus dahulu kerana sentiasa bergelumang dengan simen keras kalau tidakpun minyak dan gris.

Tetapi saya tidak pernah mendengar sekumitpun rungutannya mengenai kerja-kerja rutin ini.

Saya rasa sifat “pembersih” ayah saya turun kepada isteri saya dan tidak kepada saya. Isteri saya sering bertanya mengapa saya tidak mewarisi sifat “pembersih” tersebut sedangkan anak lelaki saya sudah mula menunjukan tanda-tanda mewarisi sifat buruk saya.

Oleh sebab itu saya tidak suka isteri saya memasak bukan kerana masakannya tidak sedap tetapi saya amat kesiankannya dan pada masa yang sama kalau dia masak saya akan makan banyak. Kalau dia goreng kutiaw, saya akan makan tiga pinggan malah akan berulang lagi sehingga habis dalam kuali. Kalau dia masak tom yam sekurang-kurangnya habis nasi dua tiga pinggan sekali makan. Kalau dua kali makan sudah berapa pinggan.

Saya memanjakannya dengan membawa isteri (dan anak saya) ke mana sahaja saya pergi di hujung minggu sama ada mengajar atau terlibat dengan penganjuran sukan bermotor. Saya biarkan mereka “bermalas-malas” di bilik hotel. Isteri saya dengan timbunan majalah-majalah wanita, perempuan kesukaannya, anak dengan kerja-kerja sekolah, komik, alat mainan. Malah mereka tidak pernah mengganggu atau membebankan saya semasa saya bertugas. Tahulah di mana mereka hendak mencari makan dan sebagainya.

Tetapi saya kesiankannya juga apabila setiap kali balik dari percutian hujung minggu ini (sebenarnya menumpang pekerjaan hujung minggu saya yang kerap sehingga anakpun sudah mula bosan terperap di hotel dan malas untuk mengekor bersama), isteri saya mula sibuk sebaik sahaja sampai di rumah yang biasanya pada waktu malam. Kelam kelibut dia mengeluarkan baju terpakai dalam beg. Mula membasuh dan pada masa yang sama mengemaskan rumah dan menyiapkan apa yang perlu untuk keesokan harinya.

Mengapa saya menulis mengenai isteri saya hari ini? Hari ini hari Khamis. Esok adalah hari cuti di Kedah dan petang ini saya akan kembali ke Taiping setelah menjadi “orang bujang” dari hari Isnin, Selasa, Rabu dan hari ini Khamis. Jumaat dan Sabtu, saya ada di Taiping dan biasanya Sabtu dan Ahad saya mengajar di UUM Kampus KL atau kursus UUM di Perai.

Setiap pagi Khamis ingatan saya begitu kuat kepada anak dan isteri. Bukan tidak pernah berjauhan. Saya pernah (sebenarnya kerap) meninggalkan mereka semasa menyertai “offroad rally” atau “4x4 expedition” menggunakan jalan darat hingga ke Utara China. Malah sebelum ini pun saya bekerja di Kulim selama hampir dua tahun dan di Ipoh setahun tetapi ketika itu sejauh manapun saya berkerja saya masih tinggal di Taiping. Setiap pagi memandu 110 km dari Taiping ke Kulim dan kembali ke Taiping dengan 110 km lagi setiap petang. Kemudian memandu 85 km dari Taiping ke Ipoh dan kembali ke Taiping dengan 85 km lagi setiap petang. Jarak tepat 200 km dari Sintuk ke Taiping masih “meragui” saya untuk berulang tetapi di Jepun, jarak sejauh ini adalah menjadi rutin dengan penggunaan pengangkutan awam yang “efficient” seperti “bullet train”.

Ada kawan sinis ujarnya pada saya; “maknanya setiap malam Jumaat kau ada di rumah le”. Sekurang-kurangnya saya berkesempatan untuk bertahlil dan membaca Yasin di malam Jumaat bersama-sama jemaah kawasan perumahan saya di surau hanya selang beberapa rumah sahaja dari rumah saya.

Adakah susah menjadi isteri kepada seorang “OSH Practitioner”? Atau sifat-sifat “selamat dan sihat” ini perlu ada untuk setiap isteri untuk memastikan keluarganya selamat dan sihat?

Dalam perjumpaan mesyuarat Penaja Persatuan “OSH Practitioner” pada 23 Jun 2007 Sabtu di Wisma Perkeso, Prai, salah seorang jemputan dalam kata-kata ucapannya (bertajuk “What Next?”) menyentuh kerjaya sebagai seorang “OSH Practitioner” ini sebagai satu kerja mulia dengan salah satu kerjanya untuk memastikan orang lain agar tidak cedera. Walaupun mungkin mereka (isteri-isteri) yang mewarisi atau mengamalkan OSH di rumah masing-masing ini tidak akan bergelar “OSH Practitioner” tetapi saya pasti merekalah yang sebenarnya “OSH Practitioner”.

Dengan ini saya ingin membuat satu penyataan bahawa dengan sejujur dan seikhlasnya, saya amat-amat menyayangi dan mengasihi isteri saya tanpa berbelah bagi dari saat perkenalan, seterusnys bertunang, berkahwin, mempunyai anak dan sentiasa berdoa agar berkekalan sehinggalah akhir hayat (bukan ke anak cucu kerana mengikut perangkaan terbaru Jabatan Agama Negeri, angka penceraian di usia lanjut kini kian meningkat!).

Maafkan abang kalau abang begitu “berat mulut” untuk menzahirkan ini melalui kata-kata.

….. sekadar siratan untuk ingatan termasuk diri sendiri

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment