Wednesday, March 26, 2008

Kerjaya baru atau bila pencen nanti



Kemungkinan besar aku akan jadi Penulis Petisyen, Pencari Orang (dan kenderaan) Hilang serta Pemandu (Penasihat) Pelancong

(Kita dikejutkan dengan kanak-kanak Muhammad Nazrin bin Shamsul Ghazali (Yin), hilang tetapi selamat dijumpai semula. Bagaimanapun kehilangan Nurin Jazlin bt. Jazmin berakhir dengan penemuan mayat yang trajedis. Di mana pula Sharlinie bt. Mohd Nashar dan terbaru Mohammad Asmawi bin Jajaluddin? Diculik?)

Siratan sebelum ini pasai Catherine (Yow Ah Choy) lari dari rumahnya di Bukit Kiara Selangor semasa berumur 15 tahun (tahun 1943). Dia yang aku kenali melalui internet kembali ke Malaysia pada tahun 2004 untuk menjejak saudara-maranya. Walaupun gagal berjumpa adik-beradiknya, kepulangan itu terubat juga dengan penemuan beberapa jiran dan rakannya di Taiping.

Selain dari Catherine, aku juga “menyibuk” membantu beberapa veteran askar British yang pernah berkhidmat di Malaysia (sekitar 50an) dengan menemukan mereka ke tempat-tempat yang pernah mereka pergi semasa berkhidmat di Malaysia dahulu.

Antaranya mendiang Joe Glover yang menetapkan setiap dua tahun akan kembali ke Malaysia. Dia akan tinggal dua, tiga minggu di sebuah hotel di Penang dan akan datang berjumpa aku dan keluarga di Taiping, di samping mengajak aku dan keluarga bercuti di beberapa tempat di Malaysia.

Kesemua mereka ini mengenali aku melalui sebuah forum internet berkaitan dengan Bandar Taiping.

Mendiang Joe Glover sepatutnya datang lagi pada penghujung 2006 tetapi ajal menjemputnya lebih awal pada 24 Mei 2006. Antara hasratnya yang tidak kecapaian ialah ingin berjumpa dengan seorang kanak-kanak India yang banyak menolong mereka sebagai ”handy boy” pada akhir 50an. Kanak-kanak tersebut hanya dikenali sebagai ”Chocolate”. Sebagai seorang yang agak rapat dengannya, Joe Glover menghadiahkan aku dalam jumlah yang banyak photo-photo kenangan yang diambilnya semasa bertugas di Malaysia dahulu terutama di Taiping.

Ini bermakna bukan sahaja aku boleh cari orang, pemandu pelancong pun boleh!

Di samping itu aku juga ”menyibuk” diri membantu rakan-rakan yang di-black-listed-kan oleh institusi kewangan kerana menjadi penjamin dengan mencari orang yang mereka jamin.
Adalah ”rahsianya” bagaimana aku dapat cari peminjam-peminjam ini! Along? Tak, aku tak pakai Along! Dan Along pun tak pernah pakai khidmat aku. Hanya rakan-rakan sekerja.

Kerjaya lain, Penulis Petisyen.

Mungkin kerana ”kaki menyibuk” juga, semasa aku di kilang (mana-mana kilangpun), aku mesti jadi ”Penulis Petisyen” tak berupah duit (kalau teh tarik itu adalah!). Pelanggan-pelanggan aku dari serendah-rendah jawatan tukang sapu, operator kilang hinggalah pangkat menager! Yang tak minta tolong secara formal ialah CEO itupun dia pernah minta aku draft surat peribadi minta diskaun saman polis dia yang ada 9 keping!

Biasanya dia orang minta tolong aku buat surat sokongan nak minta kerja tempat lain (ini boss akulah mula, dia sign walaupun dia bukan HR Manager!). Ada juga minta surat pengesahan gaji (ini kes nak tipu gaji rendah sebab nak apply buku pinjaman!). Setakat ini surat nak kahwin dua sahaja yang belum pernah aku buat.

Aku rasa bila pencen nanti aku nak cari mana-mana meja bawah pokok depan pejabat kerajaan di Taiping itu. Sambil baca surat khabar atau sambil tulis blog boleh cari makan jadi Penulis Petisyen ini.

Kerjaya lain, Pencari Kenderaan Hilang.

Ini akan aku cerita di lain kali. Rekod terbaik aku (akhir 90an) ialah berjaya mendapatkan semula Suzuki Katana 750 cc kepunyaan Raymond (nama sebenar Abdul Rahman), yang berlakon dalam filem Azura (dia berlakon dengan Katananya juga!)

lukmanw@gmail.com
Caption photo;
Gambar adalah Menara Jam di Bandar Taiping. Wanita di sebelah Joe Glover adalah isterinya, Pat.

No comments:

Post a Comment