Monday, April 14, 2008

Meracau malam lagi


Meracau malam lagi

Sahabat aku itu (agak berumur tapi aku tidak mengenalinya) menyeluk tangannya ke dalam paya dan di tangannya tergenggam kepala seekor ular. Anehnya ular tersebut hanya mendiamkan diri dan sedikitpun tidak menakutkan aku.

Sahabat aku itu menetak kepala tersebut dengan parang. Ular itu mengelepur ke dalam paya.

Air paya berkocak deras.

”Dia akan timbul! Sekarang giliran kau”, sambil menyerahkan parang itu kepada aku.

Ular itu timbul semula. Kali ini kepalanya bercabang dua. Anehnya juga, ia tidak menakutkan sedangkan selama ini aku amat takut dan geli kepada binatang reptilia ini (sempat pula ingat nama spesisnya!)

Aku menangkap kepala ular tersebut. Entah bagaimana, kedua-dua kepala dalam gengaman aku. Lalu aku tetak kedua-dua kepala tersebut. Ular itu mengelepur ke dalam paya.

Air payak berkocak deras. Kali ini agak menakutkan aku.

”Apa ni bang? Meracau yang bukan-bukan”, sayu di telinga aku. Ingatkan ”superwoman” atau ”catwoman” datang menyelamatkan aku! Rupa-rupanya orang rumah mengejutkan aku.

”Badan abang panas ini! Esok ambil MC la”, sambil menarik selimut menutupi badan aku yang sememangnya tidur berlenggeng itu.

Ini adalah warisan keturunan (pusaka? Atau puaka?). Setiap kali bapa aku, aku atau anak jantan seorang aku demam atau jatuh sakit, sama sahaja kami bertiga akan meracau di dalam tidur. Tak kira siang atau malam. Tapi malam lebih menjadi-jadi. Bukan sahaja kami akan berdepan dengan segala makhluk aneh tetapi pakej akan menjadi lengkap dengan meracau tak ketentuan malah adakala boleh bangun duduk atau berjalan tanpa sedar.

Semasa bapa dua malam di hospital Januari lepas, dia juga meracau. Aku yang pernah 10 hari di dalam ICU kerana diserang demam panas melampau awal 90an dahulu, lagi hebat racauannya. Nantilah bila aku sihat-sihat nanti akan aku siratkan kisah ini.

Aku ke klinik pagi tadi. Jumpa doktor. Ambil ubat demam, selsema, batuk dan antibiotik.

MC? Aku masih lagi steady! Nak kekalkan rekod tahun lepas yang seharipun tak ambil MC.

Sampai ke pejabat aku telefon mak aku.

Macam biasa ini pesan mak aku;

“Minum air masak suam banyak. Mandi kerap dan banyak-banyak sikit. Nak tidurlah itu basuh-basuh kaki dan baca-bacalah apa yang patut!”

lukmanw@gmail.com

http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment