Sunday, April 13, 2008

Minggu ini, minggu depan, minggu-minggu depan!


Minggu ini, minggu depan, minggu-minggu depan!

“Minggu ni ada lumba motor (cub prix) di Kamunting, mak”

‘Minggu depan?”

“Minggu depan ada kelas di KL.”

”Minggu satu lagi?”

”Minggu tu ada lumba motor di Kluang pula.”

”Minggu lepas itu?”

”Ada lumba kereta (rally) di Kota Tinggi.”

“Selepas minggu itu?”

“Kena pergi jumpa penyelia PhD di UKM.”

“1 Mei kerja tak?”

“1 Mei tu pula ada geng kelab 4x4 Selangor tu nak minta tolong bawa masuk ke Hutan Belum.”

“Kalau macam tu tak apalah!”, mak menamatkan perbualan.

Entah mengapa kini sukar untuk aku mencuri waktu meluangkan masa bersama emak untuk menjengok kebun durian sekangkang kera di Batu Kurau itu.

Teringat dahulu semasa hanya bertugas sebagai juruteknik di kilang tayar di Kamunting. Walaupun hanya bermotosikal Honda Cub 70cc, hampir setiap minggu aku pulang menjengok kebun bersama emak. Senjanya dengan seguni sarat durian, manggis, rambutan dan pucuk kayu yang boleh dibuat ulam mendepang di atas raga motor hingga ke hendal. Emak pula bertengek di belakang dengan meriba satu, dua plastik bag lagi.

Pernah juga aku mengajak emak membonceng superbike. Tapi Emak sanggup naik bas loncat daripada menengek belakang superbike yang menjungkit itu!

”Yang, minggu ni Yang balik kampung dengan mak, ye!”

Sempat aku bisikkan ke cuping telinga orang rumah aku sebelum aku melelapkan mata.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Keterangan gambar;

Rumah kayu di mana tumpahnya darahku. Kini rumah kayu ini telah beganti batu bata.

No comments:

Post a Comment