Monday, May 05, 2008

Ayah yang ku benci. Bhg. 7


Ayah yang ku benci. Bhg. 7

Anak jantan seorang aku itu tahu apa pekerjaan aku sekarang ini dan sebelum ini. Anak jantan seorang aku itu juga tahu apa yang aku lakukan sebelum dia lahir lagi dan di zaman bujang aku. Anak jantan seorang aku itu tahu apa makanan kegemaran aku, apa jenis filem aku suka, apa jenis jenis superbike yang pernah aku ada, apa jenis superbike yang aku suka, apa jenis Land Rover 4x4 yang aku suka dan sebagainya.

Tapi aku tidak tahu apa pekerjaan sebenar ayah aku di dalam askar. Aku tidak tahu apa-apa kisahnya dalam askar. Malah sebenarnya banyak yang aku tidak tahu mengenai ayahku.

Hubunganku semasa kecil dikekangkan dengan disiplin yang amat aku benci ketika itu tetapi itulah yang aku cuba serapkan kepada anak jantan seorang aku itu sekarang ini. Hubunganku semasa remaja pula dijauhkan terutama selepas aku gagal di Universiti Malaya. Sebenarnya aku yang seolah-olah menjauhkan diriku darinya.

Hanya sedikit yang aku ketahui mengenai ayahku semasa kecil dan remajanya dari ibuku.

Begitu juga semasa di alam askarnya, aku ketahui hanya daripada beberapa rakannya yang kini sama-sama memilih Taipiing sebagai destinasi untuk bermukim selepas pencen.

Antaranya ialah Kapt. (B) Hamzah atau lebih dikenali sebagai Hamzah Cangkul atau Hamzah Baretta. Kapt. (B) Hamzah adalah penguasa Nasi Lemak Executive dengan gerainya berhampiran padang di Tupai.

Dari Kapt. (B) Hamzah yang pernah menjadi pegawai kepada ayahku semasa di Kluang pada awal tahun 60an, aku banyak mengetahui sikap dan peribadi ayah.

Mungkin peradaban masa berbeza ketika itu menjarakkan aku dengan ayahku. Semoga anak jantan seorang aku itu tidak dijarakkan dengan peradaban masa kini.

Aku juga berdoa semoga aku dapat lebih memahami ayahku sekarang ini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/


Keterangan gambar; bersama Capt. (B) Hamzah pagi tadi

No comments:

Post a Comment