Sunday, May 11, 2008

Beehoon Sup Abang Rosli Pasar Tani Taiping






Beehoon Sup Abang Rosli Pasar Tani Taiping

”Behghoon Sup”, kata orang kampong emak aku (Batu Kurau).

Pagi Jumaat lepas aku ke Gerai Beehon Sup Abang Rosli Pasar Tani Taiping. Ada dua gerai Beehon Sup di Pasar Tani ini iaitu gerai mula-mula masuk kawasan medan atau Tapak Pasar Tani ini dan hujung sekali iaitu Gerai Abang Rosli yang kebetulan bernikah (kali kedua selepas kematian isteri pertamanya) sama hari dengan aku 10 tahun dulu.

”Biasa ke?”, tanya Abang Rosli kepada aku. Aku menunjukkan signal ibu jari.

”Seorang saja hari ini?”, aku hanya senyum saja,

”Biasa” maknanya; Beehoon Sup Daging Tanpa Tulang Campur Perut Sup Lebih!

”Biasa” juga bermakna memang keraplah aku ke gerai Abang Rosli ini. Semasa aku bekerja di Silverstone (1990 – 2004) di sinilah aku bersama-sama Suhaimi, Manjoi, Kamal, Din, Nadzri, dan kadang-kadang bersama boss besar (En. Jamil) datang untuk minum pagi. Izaham dan boss seorang lagi (En. Rahim) memilih sikit nak makan di sini sebab bau dagingnya amat kuat!

Beehon Sup ”biasa” sampai dan rasanya tetap sama ketika aku menikmatinya bersama-sama kawan sekerja dahulu. Tapi tekakku seolah-olah enggan menghabiskannya. Cili Jeruk dan Sambal Kicap yang ada juga tidak dapat memberahikan aku. Mungkinkah sebab tiada lagi kekawan menemani aku.

(Di sini juga ada Sup Ayam. Pilihan orang rumah aku ialah Ketiaw Sup Ayam)

Antara gerai Beehoon Sup lain pilihan aku.

Gerai Stesen Keretapi (pagi) kepunyaan geng UBAT (Utan Bara Adventure Team) yang sentiasa penuh dengan kakitangan kerajaan (Gambar 3). Gerai ini juga punyai cawangan di Food Court Budin KFP di hadapan Sekolah Cina, Kamunting (trafic light) yang dibuka sebelah malam. Manakala di sebelahnya pula Gerai Beehoon Sup yang dibuka sebelah malam dan kini mempunyai cawangan di Kamunting sebelah kedai karpet (dulu Yawata) yang juga dibuka sebelah malam (Gambar 4). Hanya ada Sup Ayam di sini.

Terdapat juga Beehoon Sup RM 1.00 bersebelahan Petronas Kamunting (Gambar 5). Isinya berpatutanlah dengan harganya sebab itu tak heran kalau orang makan 2 mangkuk.

Gerai Kereta Tolak (Basikal Roda 3) di kepala jalan masuk Kampung Jana (hadapan Masa Cathering) juga boleh tahan. Di sini petang sahaja.

Gambar 1, Beehoon Sup Tanpa Tulang Campur Perut Sup Lebih di Gerai Abang Rosli Pasar Tani Taiping. Gambar 2, Pasar Tani Taiping dengan Gerai Abang Rosli dalam dan hujung sekali

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: