Sunday, May 11, 2008

Hari ini Hari Ibu


Hari ini Hari Ibu

Aku tidak pernah menyambut Hari Ibu. Malah aku tidak pernah mengucapkan ”Selamat Hari Ibu” kepada emak aku. Mungkin kerana aku tiada ibu. Aku hanya ada seorang emak walaupun ada ramai nenek (tok aku ada 7 isteri!).

Hanya kini aku ada seorang emak lagi. Iaitu emak mertua yang kebetulan hari lahirnya pada hari ini juga!

Melihat anak jantan seorang aku itu sibuk ke sana sini secara diam-diam membeli hadiah mug dan bekas lilin (salah satu kesukaan isteri aku), aku terpanggil untuk mengucapkan sesuatu kepada emak aku. Tapi apa yang patut aku ucapkan?

Ketika aku berumur 12 tahun (darjah 6), rambutku masih lagi diminyaki dan disikat oleh emak sebelum ke sekolah setiap pagi. Ketika aku balik ke rumah setelah gagal dari UM, emak (malah bapak) tidak menyambut aku dengan kemarahan apatah dengan kata-kata nista. Ketika aku balik ke rumah setelah ”penat bergeladangan” di KL juga tidak disambut sebarang sindiran atau perlian.

Emak benar-benar memahami aku, anak jantan seorang dia ini.

Ada beberapa peristiwa kecil entah mengapa masih di benak kepala aku.

T-shirt free pertama kali aku terlibat sebagai flag marshal di satu perlumbaan go-kart di Kajang pada tahun 80an dilempar emak sebagai pengesat kaki kerana terlalu lusuh akibat kerap dipakai. Sedangkan itulah t-shirt kesayangan aku. Masih teringat tidak tidur malam kerana menyiapkan motosikal ketika itu aku menyewa bilik di Damansara sedangkan Kajang tidaklah sejauh mana. Tanpa elaun dan sebagainya tidak seperti marshal ketika ini, hanya setelah t-shirt hitam puteh sebagai cenderahati dari penganjur.

Jeans Levis pertama aku juga dijadikan emak sebagai kain buruk kerana kedua-dua belah lutut telah koyak rabak akibat terjatuh motosikal di hadapan Muzium Negara. Menangis juga aku ketika itu lebih-lebih lagi emak memotong jeans itu menjadi dua bahagian!

Ketika bergeladangan di KL juga, setiap kali aku balik rumah emak akan menyuakan RM 5.00. Itu maknanya dia menyuruh tanpa kata agar aku memotong rambut aku yang sentiasa terurai-rurai keluar dari topi keledar jika sedang memecut motosikal aku.

Banyak lagi peristiwa besar yang hanya akan aku kongsikannya dengan isteri dan anak jantan seorang aku itu.

Di samping aku amat berterima kasih terhadap kasih sayang yang ditunjukkan oleh emak kepada isteri dan anak jantan seorang aku itu. Aku tidak ada masalah untuk mengutamakan siapa dahulu dalam hal ini.

Berikut adalah satu catatan yang amat menarik yang aku terima melalui mailing list group. Aku juga pernah membacanya dalam beberapa laman blog. Malangnya penulis asalnya tidak dapat aku kesan untuk disampaikan penghargaan.


(Dedikasi aku juga kepada isteri aku, seorang ibu yang melahirkan dan sama-sama membesarkan anak jantan seorang aku itu.)

Ibuku seorang pembohong

Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.

Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : ""Makanlah nak ibu tak lapar."


PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata: "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan."

PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata: "Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata: "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi."

PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata: "Minumlah nak, ibu tak haus!!"

PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata: "Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan lelaki."


PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata: "Jangan susah-susah, ibu ada duit."

PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara. Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang."

PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa seksanya penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata: "Jangan menangis nak, ibu tak sakit."

PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu..

No comments:

Post a Comment