Sunday, May 04, 2008

Lawatan Amal sempena cuti Hari Buruh (Bhg. I)






Lawatan Amal sempena cuti Hari Buruh 1 Mei 2008 (Bhg. I)

“Besok sudah berlalu, untuk berbangga atau untuk dikesali. Esok belum pasti tiba. Dengan itu nikmati hidup hari ini. Jangan bertangguh atau berlenggah.”

Maksud jangan bertangguh atau berlenggah ini bukanlah untuk menikmati keseronokan hidup hari ini dengan berpoya-poya dan keseronokan yang seolah-olah tiada penghujungnya.

Jangan bertangguh atau berlenggah itu adalah saranan untuk menikmati kehidupan hari ini dengan berkongsinya sesama insan yang lain terutamanya dengan mereka yang kurang bernasib baik.

Itulah yang aku ucapkan dengan ringkas setelah dijemput oleh sdr. Monier Mat Din, Setiausaha NGO Warga Kilang di Masjid Tiak, Kupang, Baling sebelum membuat penyerahan sumbangan kepada 10 fakir miskin di sekitar kampung tersebut.

Petikan asal itu aku sudah lupa sumbernya. Malah ianya juga senada dengan hadis (?) yang bermaksud; Bekerjalah kamu seolah-olah akan hidup seribu tahun lagi. Beribadatlah kamu seolah-olah akan mati keesokan hari.

“Jemput Tok Mulu (penghulu) bagi sepatah dua kata’, kata Monier. Dah mula lekat gelaran Tok Mulu dalam NGO Warga Kilang ini. Masuk ini dah tiga group aku jadi Tok penghulu dengan dua lagi sesama group bikers dan group 4x4.

Perjalanan 1 Mei lalu bermula seawal pagi selepas sholat subuh di rumah aku di Taiping. Jam 6.30 am aku sudah mengenakan “T&G” aku di Rumah Tol Kamunting sebelum keluar semula di susur keluar Bandar Baru.

Aku tiba Stesen Petronas Taman Seluang, Lebuhraya BKE jam 8.00 pagi dan sudah kelihatan banyak kenderaan. Rupa-rupanya terdapat beberapa kumpulan di mana selain Warga Kilang, terdapat lebih enam VW klasik dari Kedah dan Penang yang sedang bersedia untuk berkonvo ke Terengganu dan beberapa kumpulan lagi hendak pergi makan kenduri di Kelantan.

Pukul 8.45 am kami bergerak ke KHTP, Kulim Hi-Tech untuk bergabung dengan sekumpulan lagi Warga Kilang di sana. Di sini kami memutuskan untuk berkongsi kenderaan dengan keutamaan MPV supaya konvo kami tidak terlalu banyak kenderaan. Penyertaan hampir 40 orang dapat diselaraskan dengan pengunaan beberapa MPV, 4x4, dan kereta. Antara yang hadir ialah mereka dari Intel, Fuji, Venture, Jabil, Osram, Flextronics dan beberapa kilang lain. Turut hadir ialah bekas-bekas pekerja kilang yang kini bekerja di TNB, UUM (aku), mengusahakan perniagaan sendiri dan beberapa orang NGO dari USM serta kelab kereta, Proton Club Dot Com (ProCC) dan kelab kembara, Prokem. Ini termasuklah juga beberapa orang lagi yang hanya dikenali di alam siber, mailing list group, Warga Kilang.

Sebelum memulakan perjalanan, sedikit taklimat dari Sdr. Monier dan juga taklimat cara-cara berkonvo oleh wakil ProCC serta taklimat keselamatan dari aku.

Persinggahan pertama kali di Karangan, rumah Kak Zaiton. Dari jauh kami semua merasa gembira melihatkan bumbung baru rumah Kak Zaiton berwarna biru yang telah siap seminggu sebelum kedatangan kami itu.

Perpisahan kami pagi itu diiringi titisan air mata Kak Zaiton. Semoga sumbangan kami berupa beras, tepung, gula, garam, susu, minyak masak, dan berapa barangan mentah laih dapat meringankan tanggungan Kak Zaiton bersama tujuh anak-anaknya untuk sebulan dua mendatang ini. Kak Zaiton juga memaklumkan beliau sudah mula bekerja sambilan dengan mengadakan kelas tution untuk kanak-kanak di kawasan perumahan berhampiran rumahnya.

Persinggahan kedua di rumah anak-anak yatim tujuh beradik di Sungai Kob. Di sini kami mendapat perkhabaran sedih apabila dimaklumkan Farah, tiga tahun iaitu anak perempuan kakak sulong anak-anak yatim ini (Fatahiyah, 24 tahun yang juga ibu tunggal) disahkan mengalami masalah jantung berlubang.

Kedatangan kami juga disambut jiran mereka yang merupakan seorang Imam di masjid berdekatan. Kebetulan Imam ini adalah salah seorang ayah kepada rakan di Warga Kilang dan bekerja di Silverstone bersama aku dahulu. Tetapi beliau tidak dapat bersama lawatan ini disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Keterangan gambar 1, 2 dan 3 di rumah Kak Zaiton
Gambar 4 di rumah tujuh anak yatim di Karangan
Gambar 5, Farah, 3 tahun penghuni terkecil di rumah ini yang mengalami masalah jantung

No comments:

Post a Comment