Wednesday, May 21, 2008

Selamat Hari Guru (Bhg. 2)


Selamat Hari Guru (Bhg. 2)
Cita-cita yang tidak tercapai


Ada dua orang cikgu yang benar-benar ingin aku berjumpa. Seorang cikgu sekolah rendah aku semasa darjah 1 (1974) iaitu Cikgu Dollah (Abdullah) dan seorang lagi cikgu sekolah menengah aku semasa Tingkatan 4 dan 5 Sains iaitu Cikgu Moi Poi Yeen, cikgu Kimia dan Biologi serta cikgu kelas untuk tahun 1983 dan 1984.

Cikgu Dollah antara cikgu yang pertama menanyakan aku dan murid-murid lain di dalam kelas mengenai cita-cita kami apabila besar kelak.

Maka kedengaran suara satu-satu yang ingin menjadi seorang doktor, engineer, lawyer, pilot, arkitek (tidak pasti yang menyebutnya tahu apakah jawatan sebenar arkitek ini), peniaga (satu-satunya anak cina di dalam kelas) dan suara ramai yang lain ingin menjadi cikgu, jururawat dan tentera.

Apabila sampai ke giliran aku; berikut adalah jawapan aku;

”Saya ingin menjadi Budak Penjual Buku di Kedai Buku.”. jawab aku dengan sejujur-jujurnya.

Tercenggang Cikgu Dollah, sambil merenung aku, dia menanya lagi.

”Cita-cita lain?”

“Saya berminat menjadi Penyuluh Nombor Tempat Duduk Dalam Panggung Wayang.”.

Sebaik saja habis aku menyebutnya, satu kelas ketawakan aku. Salah seorang yang paling kuat ketawakan aku ialah Ibrahim Mamak, kawan rapat aku dan juga pernah jadi “musuh ketat” aku! Entah di mana dia sekarang.

“Diam, semua diam!”, jerkah Cikgu Dollah.

“Cuba kamu beritahu sebab apa kamu nak kerja Jual Buku dan Suluh Nombor Tempat Duduk dalam Panggung Wayang?”, tanya Cikgu Dollah kepada aku.

“Kalau jual buku, saya boleh baca komik dan buku secara free! Kalau suluh nombor pula, saya boleh tengok wayang free.”, jawapan jujur dan ikhlas aku.

“Kamu ini badan sahaja besar tapi hati kecik.”, kata Cikgu Dollah sambil geleng-geleng kepala. Sekali lagi kelas menjadi riuh dengan tertawa rakan-rakan sekelas aku.

Hari ini aku tak pasti sama ada Cikgu Dollah masih ingat perbualan kami di tahun 1974 itu tapi masih ada beberapa kawan yang akan tertawa lebih kuat kalau kami sama-sama mengenangkan kisah itu.

’Tak tercapailah cita-cita kamu itu, Lukman!”, kata Pok Li yang kini Manager di Silverstone ketika aku berjumpanya tahun lepas.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangorangbesar.blogspot.com/

Gambar ini dilukis di tangga di Sekolah Menengah Convent Taiping

No comments:

Post a Comment