Tuesday, June 24, 2008

Tak panas ke tengok che abang dalam trek?


Tak panas ke tengok che abang dalam trek?

Bulan-bulan lepas, orang rumah aku melawat kawan baiknya semenjak sekolah menengah dahulu. Dia sekarang jadi tauke gerai aksesori wanita di sebuah R&R di Awan Besar. Aku sebagai driver dan anak jantan seorang aku itu pula boleh dianggap sebagai VVIP sebab dia duduk di belakang.

”Tak panas ke tengok che abang dalam trek?”, tanya kawan baik orang rumah aku ini setelah orang rumah aku menceritakan hampir saban minggu mengekori aku ke trek-trek perlumbaan.

Aku buat-buat tak dengar sambil pulun dengan anak jantan seorang aku itu makan Sate Kajang Hj. Samuri di R&R itu.

”Taklah!”, jawab orang rumah aku.

”Aku dan anak duduk dalam hotel sahaja. Adalah sekali-sekala ikut dia pergi trek. Dia pun tak suka aku dan anak berpanas kat trek itu”, secara jujur jawab orang rumah aku.

”Bukan panassss....... itu! Tak panas ke tengok che abang dengan ”umbrella-umbrella girls?”, tanya kawan baik orang rumah aku ini.

Ohhh, sudah ada orang mahu ”tuang minyak” kat orang rumah aku.

Orang rumah aku terdiam. Aku curi-curi tengok anak matanya menjeling kepada aku. Aku buat-buat tak dengar sambil terus pulun celup sate dalam kuah.

”Makan, makan, tak cukup ayah order lagi!”, sahaja aku buka tajuk cerita lain kat anak jantan aku seorang itu.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Keterangan gambar; tengok betul-betul - tak adapun diri aku dalam gambar kedua itu!

No comments:

Post a Comment