Wednesday, December 31, 2008

Jujurkah mereka? Ikhlaskah mereka?



Jujurkah mereka? Ikhlaskah mereka?

Ahad lepas adalah kelas terakhir aku semester ini untuk pelajar-pelajar Msc. OSH Management Cohort 4 UUM/NIOSH. Ini bermakna aku sudah selesai mengajar 4 kumpulan (Cohort 1 – 4) semenjak aku menjadi pensyarah di UUM ini dengan purata satu kumpulan sebanyak 35 orang. Untuk program Msc. OSH Management ini, pelajar dikehendaki menjalani 3 semester dan aku mengajar dua subjek dengan satu subjek (OSH MS) di Semester kedua dan satu subjek lagi (ERM) di Semester ketiga.

Biasanya di setiap penghujung kelas terakhir, aku meminta semua pelajar-pelajar aku memberi sepatah dua pandangan mengenai kursus yang mereka pelajari dan juga mengenai diri aku sebagai pengajar mereka.

Alhamdulillah setakat ini hampir kesemuanya memberi pandangan-pandangan positif. Tetapi apabila aku berkongsi pandangan-pandangan ini dengan orang rumah aku seorang itu dan juga dengan anak jantan seorang itu, mereka berdua melontarkan persoalan baru kepada aku untuk direnungi; jujurkan pandangan-pandangan itu? Ikhlaskah pandangan-pandangan itu?

Bagaimanapun aku yakin dengan pandangan-pandangan mereka itu.

Malah aku juga ingin berterima-kasih kepada ”seorang-dua” pelajar terutama dari Cohort 3 KL yang kerap menegur aku kerana beberapa ”pronounciation” yang kadang-kadang pekat ”kemelayuan”. Ada slanga-slanga ’keKelantanan”, dan kadang-kadang ”kePatanian @ keBatu-Kurauan”.

Penghubungan aku dengan pelajar cohort-cohort sebelum ini masih berterusan walaupun masing-masing sudah mengenggam ijazah master mereka. Kadang-kadang ada yang mengutus khabar mengenai diri mereka. Sianu-anu sudah promote jadi Regional Manager termasuk incharge di Asia Tenggara, sianu-sianu bertiga pula sudah menjadi pensyarah di UMP. Sianu-anu baru seminggu jadi Manager di industri solar di Kulim Hi-Tech. Sianu-anu pula baru tukar mata belalang. Sianu-anu pula ke hulu hilir dengan Camry.

Apa yang boleh aku ucapkan ialah alhamdulillah. Manafatkan ilmu yang dipelajari dan juga dikongsi untuk diri sendiri dan orang ramai.

Sebenarnya inilah khabar dan berita yang sentiasa aku tunggu-tunggukan. Kalau dulu semasa di industri perkilangan, berita bonus dan kenaikan gaji yang aku tunggu-tunggu tapi semasa bergelar pensyarah ini, inilah khabar dan berita yang memberi kepuasan yand tidak terhingga dan sukar digambarkan kenikmatannya.

Aku juga sehingga kini dari masa ke semasa sering dihubungi oleh beberapa “head hunter” untuk mendapatkan tenaga-tenaga kerja sebagai pengamal OSH ini.

Hari ini juga seorang sahabat lama yang kini seorang pengurus syarikat audit dan persijilan antarabangsa menelefon aku bertanyakan jika ada mana-mana pengamal OSH yang ingin menyertai syarikatnya. Klik di sini untuk keterangan lanjut.

Semoga berjaya pelajar-pelajarku!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Keterangan gambar.

1. Cohort 1 semasa Site Visit ke Logi Petronas Sg. Udang.
2. dan 3. Cohort 2 semasa konvo Oktober 2008.

Tuesday, December 30, 2008

Sudah 12 tahun berkahwin


Sudah 12 tahun berkahwin

12 tahun lalu pada 29 Disember aku secara sah menjadi suami kepada isteri seorang aku itu.

Semalam 29 Disember 2008 tiada apa-apa keraian. Cuma dalam perjalanan balik dari Prai, kami tiga beranak perkena Bawal Goreng Kak Yah Din di Juru lagi. Lebih kepada meratah bawal kerana paginya kami semua ”heavy breakfast” di Sunway Hotel. Kami juga bersarapan bersama-sama Imuda, artis/kartunis itu. Sempat juga aku mengucapkan takziah kepadanya kerana baru kematian bekas isterinya.

Malamnya kami bercadang untuk keluar ke Taiping Sentral. Mungkin sekadar minum-minum dan menonton wayang. Memandangkan cuaca hujan sepanjang petang melarat ke malam, kami membatalkan sahaja hajat tersebut. Kebetulan masing-masing kami sibuk mengemas rumah kerana keesokan hari (hari ini) kontraktor rumah kami (Ah Chai) akan datang membuat sedikit pengubahsuaian dan membaiki bumbung rumah.

Akhirnya kami merancang untuk ke Taiping Sentral malam ini. Tiga tiket untuk kami anak-beranak telah dibeli. Tajuk wayang yang akan ditonton ialah ”Brainscan, Aku dan Topi Ajaib”.

Sebenarnya aku dan anak jantan seorang aku itu ”agak malas” kalau hendak menonton wayang Melayu. Paling akhir filem Melayu yang kami tonton bersama ialah ”Senario The Movie Episode I”. Biasanya aku dan anak jantan seorang aku itu akan menonton filem Inggeris. Manakala orang rumah seorang aku itu akan menonton filem Melayu dengan ditemani oleh adiknya.

Memandangkan ”outing” kami malam ini adalah ”family outing”, aku dan anak jantan aku seorang itu mengalah untuk menonton filem Melayu. Sementelah promosi cerita ”Brainscan, Aku dan Topi Ajaib” ini sedikit banyak memikat hati kami sekeluarga.

Selamat Menyambut Ulangtahun Perkahwinan yang ke 12, isteri aku. Semoga ikatan yang terjalin antara kita berdua akan berpanjangan sehingga hayat.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Saturday, December 27, 2008

Senarai Maahad sekitar Taiping

Senarai Maahad sekitar Taiping

Maahad Tahfiz Qiam
Batu Hampar, Pantai Remis, Perak
No. Akaun Bank : BIMB - 8059 0200 4815 3
No. Akaun Bank : MBB - 5581 8100 2814
Pegawai : Ustaz Siddik Noor (013-387 2053)

Maahad Al-Khair Lil Banat
Kamunting, Perak
No. Akaun Bank : BIMB - 8040 0100 1328 6
Pegawai : Ustaz Fakhruddin Abd Aziz (013-480 6470)

Maahad Al-Tarbiah Al-Islamiah
Batu 8, Jalan Trong, Taiping, Perak
No. Akaun Bank : BIMB - 8040 0100 1617 1
Pegawai : Ustaz Hatta Imran (05-855 2957, 019-576 2350)

Maahad Tarbiah Islamiah Balai 1
Kuala Sepetang, Perak
No. Akaun Bank : BIMB - 8040 0100 0233 4
Pegawai : En. Zaini Othman (013-520 1009)

Pengurus Rumah Anak Yatim diperlukan

Berdiri kiri gambar atas adalah En. Karim, pengusaha Rumah Anak Yatim ini.


Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Ummu Sofiah, Sungai Nyor, Trong, Taiping, Perak memerlukan seorang Pengurus bagi menguruskan urusan administrasi Pusat ini.

Berikut adalah syarat kelayakan:

-Berkelayakan seminimum Diploma akauntan, admin, atau berkaitan. Bagi kursus lain juga di persilakan memohon.
-Gaji-Minimum RM1000. Boleh di runding.
-Mesra terhadap anak yatim.
-Tempat tinggal, makan dan minum di sediakan.
-Muslimin atau muslimat di minta memohon.

Memohon kepada semua pembaca agar mewarwarkan perkara ini kepada mereka yang layak.

Sila hubungi email;
kibh_joke7@yahoo.com.my
atau;
No.Hp- 0175195404–En Idris

Friday, December 26, 2008

Mee Ketam di Bagan Nyior, Juru


Klik pada gambar peta untuk saiz yang besar




Gambar-gambar atas ialah di Warung Jamu Selera dan gambar-gambar di bawah ialah Warung Pak Su


Mee Ketam di Bagan Nyior, Juru

Aku sebenarnya berniat nak bawa isteri aku seorang itu dan anak jantan seorang aku itu makan Mee Ketam di Bagan Nyior, Juru pada hari Isnin ini. Tengah belek-belek beberapa laman blog di laptop aku di Pusat Servis Proton Edar Juru Auto City ini aku terlawat blog Orang Kapong aku iaitu Serunai Malam. Dia buat posting pasai Mee Ketam ini. Sebenarnya dia ada mengajak aku (dan orang-orang kapong) yang lain makan Mee Udang ini pada 13 Disember 2008 lalu tetapi disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan tak menjadi perjumpaan TT (Teh Tarik) Orang Kapong di perantauan itu.

Pesona aku siap diganti part yang rosak itu (suis volume radio pada steering) pada pukul 5.30 petang, jadi aku mengambil keputusan untuk beli makan malam Mee Ketam ini.

Ada dua warung pilihan yang sering dikunjungi ramai. Sebenarnya ada lebih lima buah warung yang menjual menu-menu berasaskan ketam dan makanan laut ini di Bagan Nyior.

Warung pertama iaitu Warung Pak Su ini lebih selesa dengan susunan meja kerusinya yang boleh muat lebih 100 orang. Baru-baru ini ada geng kilang di Prai yang buat jamuan dekat 120 orang di sini. Warung Pak Su ini terletak 10 meter selepas sikit sahaja simpang tiga Bagan Nyior itu dan terletak di sebelah kiri jalan. Berhadapan (seberang jalan) adalah kawasan lapang untuk tempat letak kereta. Warung Pak Su ini bersebelahan rumah tauke kedainya dan sebahagian tempat duduk adalah di bawah rumah kampung ini.

Warung kedua ialah Warung Jamu Selera yang 50 m dari Warung Pak Su ini di sebelah kanan jalan. Penghujung boleh letak kereta di sebelah rumah tauke warung ini yang bersebelahan sahaja. Tempat duduk Warung Jamu Selera ini agak terhad dan terletak seolah-olah di dalam taman.

Walaupun ramai yang memilih Warung Pak Su sebagai pilihan utama mereka, aku lebih mengemari Mee Ketam Warung Jamu Selera.

Menu lain di Warung Pak Su ialah Ikan Bakar dan pelbagai makanan seafood. Manakala menu lain ialah di Warung Jamu Selera ialah Ikan Bawal.

Sepinggan Mee Ketam di Warung Pak Su (kuahnya hitam sedikit) ialah RM 10.00 dengan dua ekor ketam (seekor besar dan seekor kecil). Manakala semangkuk Mee Ketam di Warung Jamu Selera (kuahnya merah) ialah RM 6.00 dengan seekor ketam besar.

Warung Pak Su tutup pada hari Khamis dan Warung Jamu Selera tutup pada hari Rabu.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Nota:

Sebab apa dipanggil Jambatan Myanmar dan Jambatan Nepal dalam peta di atas? Nanti aku cerita. Aku cuba nak ambik gambar dulu.


Ada juga yang positif di Proton Edar Auto City

Ada juga yang positif di Proton Edar Auto City

Sekarang (26 Dis 08, 3.45pm) saya berada dalam Pusat Servis Proton Edar Auto City. Seperti biasa saya akan memilih meja berhadapan dinding pandang telus ke bahagian servis.

Saya sampai ke pusat servis ini jam hampir 3 petang. Ruang menunggu penuh sesak. Sebenarnya saya tidak membuat sebarang temujanji. Mengetahui saya datang dari Taiping dan hanya datang untuk menukar part yang rosak, Penasihat Servis yang bertugas memaklumkan cuba membantu saya tetapi akan mengambil masa. Tak mengapalah, saya akan tunggu! Terima kasih banyak-banyak abang penasihat servis!

Saya akan menghabiskan masa menunggu saya dengan melayari internet dan membuat beberapa tugasan. Oh ya! Di pusat servis ini anda boleh dapat sambungan internet wireless.

Keterangan gambar di atas;

1. Air minuman dari rumah. Sebenarnya setiap kali ke sini saya bawa air minuman sendiri.
2. Membuat ”kerja rumah” dan juga melayari internet.
3. Ruang bahagian servis (pandangan melalui dinding pandang telus)
4. Jalur sticker ini menganggu pengelihatan!
5. Hanya ada 1 meja dan 2 kerusi saja di sini. Berkongsi dengan pantri pula!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

Nota: sempat juga aku tiga beranak perkena Bawal Goreng Kak Yah Din Juru belakang Molex itu. Jam pukul 2 pm dan bawal yang tinggal hanyalah kecik-kecik sahaja.

Thursday, December 25, 2008

Lu boleh lukis olang lomen sikit-sikit saja ka?



Lu boleh lukis lambar olang lomen sikit-sikit saja ka?

Dalam perjalanan pulang dari Felda Lasah ke Kamunting, aku singgah Lembah di Kuala Kangsar. Sebenarnya malam tadi sempat aku baca posting Cikgooden pasai Lembah ini. Dia tulis Sungai Perak tapi orang KK panggil Lembah. Kalau sebut Sungai Perak, biasanya kat RR Highway tu.

Kalau datang Lembah ini (dulu kalau Ramadhan mesti datang dua tiga kali seminggu!) biasanya aku beli Popia Station. Ramai yang datang kerana Laksa dan Chendol tapi aku tak berapa suka Chendol di sini. Malah orang rumah seorang aku itu yang hantu laksa pun tak gemar laksa KK yang keras itu. Di sini juga famous Laksa Top Power dan Laksa pak Ngah.

Ada yang datang kerana Masakan Ikan Sungainya.

Oh! Rupanya ”buah tangan” aku masih tersengam di Lembah ini. Papan Tanda besar di Lembah itu adalah rekaan aku pada penghujung 90an, masa aku bujang trang-tang-tang lagi!

Masih aku ingat lagi apabila ”bapak angkat” aku seorang Cina Kontraktor Iklan di Taiping yang mendapat tender Pejabat Daerah KK untuk membina papan-papan iklan di Kuala Kangsar, dia terus menelefon aku. (Sudah mendiang dia!)

”Lukman ah! Ada urgent work la!”

‘Apa main bikin Mr. Loo?”

“Lu boleh lukis olang lomen ka?”


Apa kejadah pula bapak angkat aku ini hendak suruh aku lukis orang ”beromen”.

”Orang romen? Apa lu mau bikin Mr. Loo?” Aku gelak sakan.

”Gua talak main-main. Gua mau lu lukis olang lomen. Tapi lomen sikit-sikit saja.”

”Romenpun ada sikit-sikit ka? Ringan-ringan saya tahulah Mr. Loo!”

”Itu KK DO mau lambar olang lomen tapi lomen sikit-sikit saja.”

”DO mahu gambar orang romen? Gambar ”blue” kah Mr. Loo?”

“Bukan itu lambar la! Signboard juga! Itu lambar olang lomen mau kasi cross macam no entry punya!”


“Ohhhhhhh….. itu macam gua fahamlah. Gua ingat lu mau supply DO gambar “blue” untuk tangkap tender!”

“Talak! Talak! Gua talak buat itu macam. Tuhan Allah malah oh!”

”Pandai you cakap Mr. Loo. Itu hari you hantar buah punya banyak untuk Segari Power Plant punya boss?”

”Itu dulian dan lambutan after project completed maa! Itu punya makan talak apa!”


”Pandailah lu Mr. Loo. Esok saya hantar proposal. Lambar olang lomen saja ka?" (akupun sudah tergeliat lidah)

”Ada lagi. Semua complete set. Lu buka lu punya fax sekalang gua fax. Esok mesti siap drawing sebab stand sudah mau bikin.”

Jenuhlah semalaman aku memikirkan macamana nak lukis “lambar olang lomen sikit-sikit saja”. Tak kan aku kena refer mana-mana ”blue tape”! Sambil main-main dengan berapa program yang aku biasa (Coreldraw dan Autocad) aku teringat beberapa ”lambar olang lomen” yang dilukis di dalam tandas-tandas sekolah dan di belakang bas sekolah. Oleh kerana hendak cepat punya kerja, terhasil ”lambar olang lomen sikit-sikit saja” yang aku sendiri pun tak berapa puas hati.

Tadi apabila melihat semula ”lambar olang lomen sikit-sikit saja” itu di Lembah membuatkan aku tersenyum sendiri.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Jalan lain ke Sungai Siput dan Ipoh

Jalan lain ke Sungai Siput dan Ipoh

Tadi aku ke Felda Lasah, Sungai Siput. Pergi makan kenduri adik mak aku yang kahwin orang peneroka di situ. Ini kenduri anak jantan mereka, anak nombor dua. Pakcik aku ini bukan Ketua Kampung tapi dia ini kira-kira ”chief” juga di sana. Puas jugalah kami makan daging-daging dari rimba melalui ”chief” ini.

Aku pergi berdua sahaja. Anak jantan seorang aku itu letih! Letih main futsal berlatih nak lawan Nepal! Nanti aku cerita lain pasai international football tournament di kawasan perumahan aku ini.

(Minggu lepaspun aku berdua sahaja di rumah. Anak jantan aku itu hampir seminggu di rumah orang tua aku!)

Sebelum itu ada member cakap ada jalan alternatif ke Sungai Siput dari Susur Keluar highway Kuala Kangsar. Jenuh aku fikir kat manalah jalan alternatif ini. Rupa-rupanya ikut jalan Kati. Kalau aku tahu ikut jalan ini lebih baik aku ikut Padang Rengas saja! Aku sebenarnya sudah beberapa kali melalui jalan ini.

Dulu (masa bujang) hinggalah setahun dua lepas, aku memang pantang dengar jalan alternatif. Mesti nak cuba. Orang rumah seorang aku itu dan anak janta seorang itu memang tahu sangat benar feel aku. Mesti nak cuba test try jalan-jalan alternatif.

Setahun dua ini sibuk di atas highway saja selang seminggu ke KL dan minggu yang lain ke Prai.

Kenduri macam biasa aja. Tapi melihatkan budak-budak kecil Felda berebut-rebut mengangkat dan mengatur pinggan serta mengedar bunga telur itu cukp ”mengiburkan” aku. Sekurang-kurangnya terubat juga kenangan dan kerinduan aku.

Cuma aku tak sempat jenguk sapalah yang basuh pinggan!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Terima kasih Proton Edar Juru Auto City

Terima kasih Proton Edar Juru Auto City

Petang semalam saya menerima sms dari Proton Edar Juru Auto City.

Sebelum ini saya menerima sms dari bank mengingatkan saya (memberi amaran?), tunggakan ansuran Atos saya sudah masuk tiga bulan. Atos yang telah saya jual 6 bulan yang lalu ini masih belum ditukar nama dan syarikat kereta terpakai yang membelinya sudah ”buat taik” dua kali. Dan bank tetap menghubungi saya walaupun telah dimaklumkan yang Atos tersebut telah dijual kepada Syarikat Ramli Motor di Baling. Sayapun sudah feed-up nak telefon Pak Aji Ramli ini. Nak cakap lebih-lebihpun dia ini Pak Aji, tak kan tak tahu hukum hakam ini.

Sms dari Proton Edar ini pula memaklumkan alat ganti untuk suis radio pada steering kereta Pesona saya telah ada di Pusat Servis mereka. Saya membuat aduan mengenai kegagalan suis ini semasa menghantar kereta saya untuk diservis pada dua minggu lepas. Sepertimana kunjungan-kunjungan terdahulu, alatgantinya tiada dalam stok dan saya terpaksa menunggu dua, tiga minggu.

Ini bukanlah kali pertama kereta Pesona baru saya bermasalah (factory defect). Memanglah bukan kerosakan enjin atau cesi utama tapi kerosakan remeh-temeh ini yang menyakitkan hati.

Saya senaraikan kerosakannya semenjak dibeli pada penghujung September 2008.

1. Salur muncung tangki petrol bengkok. Untuk memenuhi satu tangki kena tunggu lebih ½ jam dan kena pegang pula trigger pam, tak boleh lepas. (Part kena tunggu dua minggu. Dua kali tukar part baru betul.. Sebelumnya foremen kata bukan salur muncung yang bengkok!)

2. Reverse alarm kadang-kadang berbunyi, selalunya tak berbunyi dan tiba-tiba berbunyi walaupun tiada sebarang halangan di belakang kereta semasa mengundur. (Mula-mula mekanik adjust saja. Problem lagi baru diganti. Part sampai problem pula sebab warna tak sama bumber dan kena hantar cat).

3. Pintu hadapan sebelah kiri tidak boleh dibuka menggunakan alarm kereta.

4. Bonet belakang sukar dibuka menggunakan kunci.

5. Bonet belakang sukar dibuka menggunakan tuil dari dalam kereta.

6. Air hujan masuk melalui celahan pintu belakang sebelah kanan.

7. Pintu hadapan sebelah kanan tidak boleh ditutup menggunakan alarm kereta.

8. Angin masuk melalui celahan pintu belakang sebelah kanan. (Selepas di-adjust kerana masalah no. 6)

9. Suis radio pada steering kereta tidak berfungsi sepenuhnya.

Boleh dikatakan untuk 9 masalah di atas, 9 kalilah saya menghujungi Pusat Servis Proton Edar Juru Auto City. Setiap satu kunjungi mengambil masa lebih tiga jam di mana biasanya saya sampai beberapa minit sebelum pukul 8 pagi dan beredar hanyalah selepas pukul 11 pagi.

Memanglah seperti kata rerakan saya, Pesona itu masih dalam jaminan waranty. Kalau rosak pergi sajalah tukar. Tetapi bayangkan berapa banyak masa yang saya habiskan menunggu di pusat servis. Lebih-lebih lagi terpaksa pula berebut suratkhabar dengan salesman Proton Edar. Kalau ada air pembasah tekak kira OK jugalah.

Agak-agaknya selepas ini apa pula yang rosak?

Macamanapun terima kasihlah Proton Edar Juru Auto City. Sekurang-kurangnya saya tak payah telefon dua, tiga kali tanya bila part itu sampai.

Esok lusa saya pergilah melawat awak. Kali ini saya bawa suratkhabar dan air panas sendiri (sebenarnya sebelum inipun saya bawa air panas sendiri!)

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Klik di sini untuk mengetahui kegunaan lain sms

Tuesday, December 23, 2008

4,749 bakal diberhenti



4,749 bakal diberhenti
Oleh Herman Hamid dan Au Yeong How, Utusan Malaysia

Kuala Lumpur 22 Dis. – Trend pemberhentian pekerja diramal serius tahun depan dengan seramai 4,749 pekerja akan diberhentikan oleh 102 majikan dalam tempoh tiga bulan pertama setelah mengambil kira kelembapan ekonomi dunia.

Jumlah pemberhentian pekerja itu adalah angka rasmi yang dilaporkan oleh majikan, kebanyakannya dalam industri elektronik kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) setakat ini.

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pula menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan hilang pekerjaan tahun depan ekoran keadaan ekonomi yang diramal pada suku tahun pertama dan kedua 2009.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengulas isu itu berkata, kerajaan kini dalam perancangan untuk menyediakan program latihan semula kepada pekerja yang diberhentikan bagi membantu mereka mendapat pekerjaan baru.

Menurutnya, mereka yang terlibat dengan program latihan semula kendalian Kementerian Sumber Manusia itu nanti akan turut menerima elaun bulanan sepanjang tempoh latihan dijalankan.

“Selain itu, para pekerja yang diberhentikan juga harus kembali memasuki pasaran buruh kerana memang terdapat kekosongan kerja dalam negara kita sekarang ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan dan Dialog Bersama Ulama dan Umara di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri mengakui wujudnya penurunan permintaan terhadap produk elektronik negara berikutan krisis ekonomi global yang dihadapi kini.

“Memang ada penurunan permintaan dalam pasaran Amerika Syarikat (AS) khususnya dan ini menyebabkan sesetengah syarikat memikirkan untuk mengecilkan jumlah pekerja mereka bagi mengurangkan kos,” jelasnya.

Terdahulu di Petaling Jaya, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, pada Januari ini sebanyak 35 majikan akan memberhentikan 3,111 pekerja diikuti Februari, tiga majikan memberhentikan 1,523 pekerja manakala Mac, 64 majikan bakal memberhentikan 115 pekerja.

Beliau menegaskan, di bawah seksyen 63 Akta Kerja 1955, majikan yang ingin memberhentikan pekerja, memberhentikan secara sukarela atau sementara dan mengurangkan gaji perlu melaporkan kepada JTK sekurang-kurangnya 30 hari sebelum berbuat demikian.

“JTK akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan tegas sekiranya ada majikan yang gagal melaporkan sebarang pemberhentian pekerja,” katanya.

Subramaniam menambah, di samping mengemukakan laporan pemberhentian, majikan juga hendaklah membayar faedah pemberhentian kerja seperti ditetapkan dalam Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Kerja (Faedah-Faedah Penamatan dan Hentikerja Sementara) 1980 di bawah Akta Kerja 1955.

“Pekerja yang berkhidmat kurang daripada dua tahun perlu dibayar 10 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.

“Mereka yang telah berkhidmat selama dua tahun tetapi kurang dari lima tahun pula perlu dibayar 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan,” katanya.

Pekerja yang telah berkhidmat selama lima tahun atau lebih pula kata beliau, hendaklah dibayar 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.

Sunday, December 21, 2008

Tiada lagi budak pembasuh pinggan kenduri kahwin

Tiada lagi budak pembasuh pinggan kenduri kahwin

Semalam 4 buah rumah kenduri menjemput, 2 pakai kad, 2 lagi pakai sms saja. Aku pergi 2 sahaja. Itu tak termasuk kenduri kahwin Mawi-Ekin! Macamanapun orang rumah seorang aku itu pergi juga kahwin Mawi-Ekin – dia pergi jenguk dalam Astro!

Hari ini 3 kenduri. Aku pergi 1 saja, rumah abang Hanafiah Mamak di Bukit Jana. Aku tahu kalau kenduri abang Hanafiah, mantan tauke kedai makan ini mesti ada Kurma Kambing. Kebetulan kenduri anak bongsu dia, tentu meriah sakan.

Baik kenduri semalam ataupun hari ini semuanya pakai “catering”. Catering dari pelbagai pelusuk. Orang Taiping ada yang panggil catering dari Titi Serong! Malah dari Ipohpun ada. Di Taipingpun cateringnya tidak kurang hebatnya juga. Catering di Simpang umpamanya kerap dipanggil ke kediaman Khir Toyo, mantan MB Selangor dahulu.

Bila pakai catering semuanya dalam pakej. Khemah pun pakej. Bentara pun pakej. Tukang basuh pinggan pun pakej.

Entah mengapa malah sehingga ke hari ini, aku lebih suka jadi ”orang dapur” kalau ada kenduri-kendara ini. Banyak-banyak position, aku paling suka basuh pinggan. Kalau di rumah sendiri, orang rumah aku seorang itu tak bagi aku basuh, sebab bila aku basuh tak cuci katanya! Kalau aku basuh, dia mesti basuh sekali lagi!

Ingat-ingat semasa darjah 5, aku mula bergiat jadi ”budak pembasuh pinggan kenduri kahwin” ini. Dapat sehelai tuala ”Good Morning”, duit seringgit dilipat lawa dan dipinkan ke baju sudah menjadi kebanggaan. Kalau tuan rumah yang bermurah hati itu, adalah sekotak dua rokok yang disua! Ya! Aku mula mengenal rokok semasa bergiat sebagai ”water boy” ini. Tetapi alhamdulillah aku tidak menjadi seorang perokok.

Kami mencuci dari seawal Bentara makan jam 11 pagi hinggalah menyental periuk belanga dan kuali pada lewat petang. Makanan tak terkira banyaknya kami balun. Sisa yang masih elok kami balun. Sisa lauk pengantin (biasalah pengantin malu nak makan) kami balun sepuas-puasnya. Air pula pelbagai. Dari Sirap Bandung campur Kulit Kayu Manis, Bunga Cengkih dan sebagainya. Teh panas pula berteko-teko. Kadang-kadang ada otai yang jamu kopi campur akar pokok pinang. Minum secawan, stim sejam!

Ada juga perkara-perkara yang tak elok aku belajar sebagai ”water boy” ini, terutama semasa bersekolah menengah. Bersama rakan sebaya, Man Cina (sebab matanya yang sepet), kami curi tulang pergi Kampung Jana sebelah Kedai Runcit Salam (bertentangan rumah emak Ahmad Nadzri yang menyambut menantu semalam) membeli segulung-dua ganja! Ya! Memang ganja! Tetapi kami tidaklah ”penganja tegar”, lebih kepada main-main.

(Beberapa bulan lepas aku terserempak dengan Man Cina di Surau Rumah Awam, Jalan Stesen. Hampir aku tak mengenalinya dengan berjubah dan berserban!)

Kini semuanya tiada lagi. Semuanya pakej dan pakej.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Saturday, December 20, 2008

Pusat Servis Perodua Kamunting cemerlang



Pusat Servis Perodua Kamunting cemerlang
(Perlu dicontohi oleh Pusat Servis Proton Edar Juru Auto City)

Kebetulan saya berpeluang ke beberapa pusat servis kereta mewah seperti Mercedes, BMV dan kereta import lain seperti Toyota dan Honda sama ada di KL atau di beberapa buah ibu negeri. Pusat Servis Toyota umpamanya begitu cemerlang dengan pendekatan mesra pelanggannya. Bukan sahaja pelanggan utama iaitu pemandu malah seisi keluarga juga mendapat layanan sebaiknya.

Bermula dengan kemudahan mesin membuat kopi dan teh serta kuih dan biskut menyambut pelanggan, seterusnya masa menunggu menjadi leka dengan siaran tv berbayar Astro, pelbagai surat khabar berbilang bahasa, majalah-majalah kereta untuk si lelaki, majalah-majalah wanita atau susunatur perabut untuk si perempuan.

Kanak-kanak kecil pula pasti bergembira dengan minuman kegemaran Milo dan menghabiskan masa sama ada mewarna atau mencuba beberapa peralatan pemainan di sudut kanak-kanak. Terdapat juga set bacaan kanak-kanak dengan pelbagai bahan bacaan.

Ruangan pameran dan dinding pandang telus ke bahagian servis disusun-atur menarik. Malah bilik air dan tandasnya amat terasa kebersihannya.

Apabila saya membeli Myvi, saya terkejut melihatkan pendekatan mesra pelanggan ini juga diamalkan di Pusat Servis Perodua di Kamunting dan berharap ianya menjadi satu standard di seluruh Pusat Servis Perodua yang lain. Agak jauh berbeza semasa saya menggunakan Kancil pada awal tahun 2000an dahulu.

Mengapa saya melahirkan penghargaan ini?

Pada masa yang sama saya telah mengunjungi beberapa buah Pusat Servis Proton Edar (di Ipoh dan Juru Auto City) dan mendapati ianya jauh berbeza dengan pusat servis ”adik” mereka di Perodua ini.

Tulisan ini bukanlah untuk mengaibkan mana-mana pihak. Ianya sebagai peluang untuk menambahbaikan perkhidmatan (rooms for improvement). Malah saya sendiri telah mengisi borang cadangan meluahkan pandangan saya di Pusat Servis Proton Edar Juru Auto City.

Semuanya yang ada di Pusat Servis Toyota yang saya nyatakan di atas turut disediakan di Pusat Servis Perodua Kamunting. Kunjungan pertama kali saya sekitar tiga bulan lalu agar mengejutkan apabila mendapati keempat-empat Penasihat Servis di Pusat Servis Perodua Kamunting ini adalah wanita! Bukannya bermakna saya memandang rendah wanita di arena automobil ini tetapi masih terdapat sedikit kesangsian.

Setelah berurusan tiga kali servis dengan penasihat-penasihat servis wanita yang berbeza, saya dapati mereka ini tidak kurang hebatnya dengan penasihat servis lelaki di pusat servis yang lain.

Tidak saya nafikan penasihat-penasihat servis (semuanya lelaki!) dan mekanik-mekanik di Pusat Servis Proton Edar Juru Auto City memang menjalankan perkhidmatan mereka dengan cemerlang tetapi ”suasana” di pusat servis itu sendiri yang muram dan mengecewakan saya.

Ketiga-tiga kali saya hadir untuk servis Pesona saya (dan tiga kali lagi untuk penggantian alatan rosak) di Pusat Servis Proton Edar Auto City mengalami ”suasana” yang sama walapun di awal kehadiran saya sebelum itu telah saya isikan dan masukkan borang cadangan ke dalam peti cadangan. Itupun saya dapati kertas cadangan saya tiada hanya setelah dua kali servis selepasnya! Tidak saya pasti sama ada cadangan saya dibawa ke perhatian pihak pengurusan ataupun hanya dibakulkan sampahkan untuk membersihkan peti cadangan itu.

Pelanggan yang hadir di Pusat Servis Proton Edar Juru Auto City seolah-olah terpaksa berebut dengan satu naskah akhbar Utusan Malaysia, satu naskah Star dan satu naskah akhbar Cina. Bukan mereka berebut sesama pelanggan tetapi ”berebut” dengan jurujual-jurujual yang ada! Tolonglah berlanggan lebih dan janganlah berebut dengan pelanggan! Sama sahaja jurujual lelaki mahupun jurujual perempuan!

Di Stesen Servis Perodua Kamunting terdapat dua naskah Star, satu naskah NST, satu naskah Berita Harian dan satu naskah Utusan Malaysia. Ketiga-tiga kali kunjungan saya ke sana tidak pernah saya melihatkan jurujual-jurujual Perodua ”berebut” akhbar dengan pelanggan-pelanggan.

Stesen tv dengan tiga, empat siaran percumanya yang membosankan kecuali siaran berita. Jauh berbeza dengan dokumentari-dokumentari Astro yang boleh ditonton di Pusat Servis Perodua Kamunting.

Bahan bacaan lain juga menghampakan. Sudahlah kebanyakannya hanyalah bacaan-bacaan ringan seperti kisah-kisah mistik dan hantu, ada di antaranya keluaran beberapa tahun yang lepas. Malah tiada satupun majalah kereta! Pergilah ke mana-mana masa kini tak kira bengkel bawah pokok ceri ke, stesen servis lima bintang ke, mesti ada senaskah dua majalah kereta atau sekurang-kurangnya ”Motor Trader”. Boleh juga pelanggan berangan-angan sementara menantikan kereta siap diservis.

Ini jauh berbeza dengan Pusat Servis Perodua Kamunting. Di rak-raknya tersusun pelbagai bahan bacaan seperti majalah kereta, majalah wanita, majalah susunatur perabut, tumbuhan dan bungaan dan sebagainya. Malah terdapat rak di ruang menunggu dan pada masa yang sama terdapat rak yang lain di ruang pameran.

Di Pusat Servis Proton Edar Juru ini jangan harap minuman panas pembasah tekak! Yang ada hanya air minuman tong yang kadang-kadang tidak diisi semula!

Susun atur dan perabutnya di ruang pameran, ruang pandang telus dan ruang istirehatnya entah apa-apa! Set sofa ada yang tercabut sisinya dan tiada yang ambil peduli. Dinding pandang telus ke bahagian servis paling amat mengecewakan. Ianya berkongsi pandangan dengan pantri kakitangan dan bilik Pengurus Servis. Malah hanya tersedia dua buah kerusi dengan cahaya suram dengan sebuah meja yang tidak pasti apa kegunaannya.

Kalau pelanggan yang membawa anak kecil lagi membosankan. Mujurlah ada McDonald dan Restoran Nasi Kandar Pelita untuk mengisi perut dan ”membuang masa”.

Kalau saya mahu saja terus ke Gerai Bawal Goreng Kak Yah Din di belakang Molex itu. Tetapi kalau kereta sedang diservis tak berdayalah pula!

Bilik air dan tandasnya amat mengecewakan. Sudahlah berkongsi dengan mekanik-mekanik, kebersihannya masih boleh dipertikaikan.

Patutlah sejam dua menunggu di Pusat Servis Proton Edar Juru Auto City seolah-olah seharian rasanya. Jauh berbeza menunggu di Pusat Servis Perodua Kamunting, dua jam seolah setengah jam sahaja.

Apa yang saya ingin sarankan di sini ialah kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap Pusat Servis Proton Edar Juru Auto City, belajarlah dari ”adik” mereka iaitu Pusat Servis Perodua Kamunting. Tidak perlulah ”benchmark” Toyota atau kereta import yang lain. Janganlah malu merendah diri sebagai abang kepada Perodua. Bukannya jauh dari Juru ke Kamunting kalau nak buat lawatan sambil belajar.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Klik di sini untuk artikel berkaitan.


Keterangan gambar di Pusat Servis Perodua Kamunting

1. Keselesaan membaca pelbagai akhbar sambil menghirup teh panas
2. Kalau datang hari Rabu dan Khamis ada sarapan percuma
3. Bekas baki minyak enjin dan alatganti yang lain dikembalikan dengan diisi dalam beg plastik

Sahabat lama terima menantu

Sahabat lama terima menantu

Hari ini aku dan anak jantan seorang aku itu memenuhi undangan sms sebelum ini dari seorang sahabat di kilang tayar dahulu untuk meraikan majlis terima menantu sulongnya di Kampung Jana, Kamunting.

Sahabat aku ini kira orang lamalah di kilang tayar itu. Kilang baru naik bumbung dia sudah berkerja. Malah beliaulah yang juga menumpangkan aku setiap pagi ke tempat kerja di tahun pertama aku di sana. Selalunya dengan motosikal dan sekali-sekala kalau cuaca ”biasa” kami naik kereta. Di Taiping ini kalau turunnya hujan dianggap fenomena biasa. Cuaca menjadi luar biasa jika hujan sudah lama tidak membasahi bumi Taiping ini.

Kami sampai belum lagi mencecah pukul 12 tengahari tapi undangan sudah sesak dalam beberapa khemah. Kebetulan aruah orang tua sahabat aku ini tokoh terkenal di Kamunting ini.

Set hidangan terbahagi dua. Set biasa Nasi Minyak dengan Ayam Masak Merah, Daging Masak Hitam, Kurma Daging dan Air Asam. Manakala Set pilihan ialah Nasi Puteh, Gulai Lemak Pisang, Ikan Pekasam, Ikan Masin, Ulam Pegaga dan Timun serta Sambal Kelapa (Sambal Nyior kata orang sini!)

Pencuci Mulut ialah Oren Sunskit dan Pembasuh Mulut pula ialah Air Oren dan Bubur Gandum.

Set cenderahati pula buntil jaring (net) dengan pelbagai kuih tradisional.

Selamat Menerima Menantu buat Sdr. Ahmad Nadzri Hj. Ismail.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Khamis yang serba serbi tak menjadi!

Khamis yang serba serbi tak menjadi!

Seperti biasa, perjalanan ke KL dirancang terlebih dahulu. Biasanya apa yang dirancang serba menjadi tetapi tidak di hari Khamis baru-baru ini.

Pukul 11 pagi, setelah membayar yuran pengajian (habis bonus gomen aku!) dan mendaftar semester hadapan 2008/2009 di UKM untuk pengajian PhD aku, kami tiga beranak ke rumah kedai berhadapan Bangunan Niosh (belakang Petronas) di Bandar Baru Bangi itu. Seorang sahabat sebelum ini telah mengesyorkan untuk mencuba Nasi Bryaini Gam Anja. Jenuh ”bertawaf” tapi yang jumpa hanyalah empat lima restoran mamak dan satu restoran kelate.

Ada juga hasrat untuk ke Restoran Nasi Bryaini Gam Muar dekat TNB/Uniten tapi orang rumah seorang aku itu kata tak payahlah.

Akhirnya kami mengambil keputusan ke Chow Kit. Sekali lagi hampa melihatkan Gerai MZ Ayam dan Ikan Percik cicah Budu campur Tempoyak di hadapan International Hotel (Hotel Koperasi Polis) di Chow Kit itu tutup. Mungkin penguasahanya balik Kelantan atau bercuti sempena cuti sekolah ini.

Kami menerpa pula ke tepi Kedai Photostat dan Salinan Plan Bormas di tepi Stesen Monorail Chow Kit. Di sini biasanya terdapat sebuah gerai tolak Apek yang menjual Rojak Buah campur Sotong Basah dan Char Kuih.

Hampa juga melihatkan kawasan gerai tolaknya kosong!

Sebelum check-in Hotel Vistana (Hotel Kualiti penuh!) kami singgah Gerai Nasi Padang berdekatan Stesen Bas Perkeliling. Sekali lagi kami hampa kerana gerai tersebut tutup.

Setelah check-in aku ke OUM mengambil kertas peperiksaan semester lepas untuk disemak. Pelbagai prosedur penyerahan menyebabkan masa berlarutan hingga 4 petang.

Kembali ke hotel baru kami makan tengahari. Itupun dibeli dari sebuah gerai yang kebetulan kelate juga!. Makanannya pun bolehlah tahan. Cuci calat kami tiga beranak! Mungkin sudah kelaparan.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Wednesday, December 17, 2008

Tongkat bukan lagi untuk silumpuh


Tongkat bukan lagi untuk silumpuh

Kunjungan saya ke Pusat Servis Proton Edar di Auto City Juru pagi tadi membuktikan dua perkara;

1. Tongkat bukan lagi untuk silumpuh.
2. Seawal 11 pagi sudah boleh makan Bawal Goreng Kak Yah Din Juru

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Saturday, December 13, 2008

Mata ini tertipu lagi!


Mata ini tertipu lagi!

Malam tadi orangrumah aku seorang itu mengemas bilik belakang yang memerangkap bilik setor. Banyaklah ”barang-barang pusaka” yang dikeluarkan dan ditimbang-cara samada untuk disimpan semula, diberi kepada orang lain ataupun dibakulsampahkan sahaja.

Aku terkejut melihatkan sepotong kek dalam bekas plastik yang dikeluarkan oleh orangrumah seorang aku itu dari sebuah beg kertas cenderahati perkhawinan. Malah tarikh perkahwinan pasangan yang tertera di atas bekas plastik itu adalah pada bulan Ogos lalu.

Menghairankan aku ialah bentuk kek tersebut masih elok dan tiada tanda-tanda sudah basi atau seumpamanya.

Orangrumah aku seorang itu hanya tergelak-besar bila aku merunggut kenapa menyimpan kek tesebut begitu lama.

Rupa-rupanya ianya bukanlah kek sebenar tapi hanyalah sehelai saputangan yang dilipat bersegi seolah-olah sepotong kek dan di atasnya pula diletak sebutir buah strawberry olok-olok.

Mata ini tertipu lagi!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Friday, December 12, 2008

Hotel SSL Traders, Jalan Kamunting Lama




Hotel SSL Traders, Jalan Kamunting Lama

Hari ini Hotel SSL Traders dibuka dengan rasminya. Walaupun bangunan baru di Jalan Kamunting Lama ini belum lagi siap sepenuhnya, hotel ini telah mula beroperasi hari ini.

Tidak pasti sama ada Hotel SSL Traders ini berhubung kait dengan Hotel Traders Penang (Shangri-La). SSL pula adalah singkatan nama seorang pemaju yang berjaya di Taiping.

Hotel ini juga pada asalnya dirancang mempunyai bangunan yang lebih tinggi tetapi atas dasar keselamatan kerana bertentangan dengan kem askar, pembinaannya hanya dibenarkan sekadar 3 tingkat.

Mungkin selepas sebarang acara yang diadakan di Taiping tidak lagi bermasalah dengan bilik penginapan peserta.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/


Update 22-Oct-2009

1. Flemington - at Lake Garden + swimming pool
Tel: 05 820 7777

www.flemington.com.my

2. SSL Traders - town outskirts (4 km to town)
Tel: 05 808 0000

www.ssltraders.com

Thursday, December 11, 2008

Buah tangan kenduri

Buah tangan kenduri

Biasanya bila kita pergi ke rumah orang atau majlis orang, kita bawa buah tangan. Tak kiralah sama buah bertangkai ataupun biasanya kertas bergambar agong.Itu semuanya dikira buah tangan.

Kebelakangan ini sudah menjadi tradisi, penghujung pula dibekalkan buah tangan apabila selesai majlis. Biasanya di awal majlis, penghujung menghulur kertas bergambar agong yang disisip dalam sampul surat atau sampul duit raya.

Apabila bersalam untuk meninggalkan majlis, tuan rumah pula akan mengedarkan beg kertas yang dalamnya terisi bunga telur, kuih tradisional seketul dua atau kek sekeping dua. Ada juga lengkap dengan sapu tangan.

Agaknya 5 dan 6 tahun lagi bagaimana pula tradisi kunjung mengunjungi ini?

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Makan bawal lagi hari ini!

Klik pada gambar untuk saiz yang besar

Makan bawal lagi hari ini!

(Ramai yang email kat aku menanyakan laluan ke Gerai Bawal Kak Yah Din Juru ini. Malah ada yang menelefon!. Untuk memudahkan, entry kali ini aku bubuh peta laluan. Kalau tak jumpa lagi, berhenti sahaja kereta dan tanya orang – terutama yang pakai baju uniform kilang, mesti dia orang tahu di mana gerai ini)

Tengahari tadi aku sekeluarga, isteri aku seorang itu, anak jantan seorang aku itu, mak dan bapa aku perkena Bawal Kak Yah Din ini. Kami sekereta dari Sintok jam 9.30 pagi dan sampai 11.30 pagi. Saja bawa mak dan bawa aku dua malam menginap di rumah felo di dalam kampus.

(Nasihat aku sapa yang nak pergi gerai ini pergilah sebelum 12.00 tengahari kerana mulai 12.00 tengahari gerai ini sesak dengan pekerja kilang)

Jumaat lepas aku bawa mak mertua dan adik ipar aku. Macam biasa aku sentiasa selang selikan mertua dan orang tua aku sendiri. Belah mertua dah bawak. Belah orang tua sendiri dah bawak! Cuma bapa kena dipimpin bila berjalan. Alhamdulillah dia tidak bertongkat lagi seperti di Aidilfitri lalu.

Hari ini kami perkena 6 ekor bawal goreng (besar sikit dari tapak tangan aku) dan seketul isi ikan gulai dengan 8 bendi, 5 pinggan nasi puteh, 2 piring ulam dan sambal belacan, fresh orange, teh-o-ais, 2 air suam, 3 ais kosong. Kesemuanya RM 35.00 dengan ais kosong tak kira.

Minggu lepas perkena 5 ekor bawal goreng (sebesar tapak tangan aku), dua ketul isi ikan dengan 8 bendi, 6 pinggan nasi puteh, 1 piring ulam dan sambal belacan, 3 teh-o-ais, 4 ais kosong. Kesemuanya RM 38.00.

(Untuk perbandingan harga, 1 ekor bawal goreng, kuah gulai dengan 4 bendi, 1 nasi kosong dan 1 ais kosong di Gerai Bawal Sri Bagan ialah RM 3.50)

Hasilnya kepuasan tersandar dalam kereta dengan perut tegang!

Macamanapun minggu ini aku anak beranak on-diet program Kami makan nasi sekali sehari sahaja.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Ada yang hantar email suruh aku cuba di gerai-gerai ini di Penang, terima dan insya-Allah

* Nasi Kandar Imigrasin di Jalan Kapitan Keling
* Kari Ikan Marin di Teluk Kumbar

Biasanya kalau di Penang kami anak beranak perkena Nasi Kandar Line Clear dan Nasi Kandar Beratur. Kadang-kadang Nasi Dalca Kassim Mustafa.

Nice to Know vs Must Know (Need to Know)

Nice to Know vs Must Know (Need to Know)

Satu sub-topik dalam ERM (Emergency Response Management) yang saya ajar, sub-topik Communication (komunikasi) adalah salah satu subjek kegemaran saya.

Di hujung minggu lepas, saya sendiri mempelajari kisah kepentingan “Nice to Know” dan ‘Must Know” ini.

Kisahnya sebegini. Pergaulan saya sesama kenalan dalam motorsport dan event management ini menyebabkan saya dikenali ramai oleh manager-manager hotel. Ada di antara mereka ini yang tidak putus-putus menghubungi saya agar acara-acara motorsport dan sebagainya diadakan di hotel-hotel mereka ataupun di kawasan-kawasan berdekatan di hotel-hotel mereka. Di Taiping dan Ipoh umpamanya, pengurus-pengurus di pelbagai hotel di sana sering mengutus khabar bertanyakan bila lagi acara-acara motorsport dan sebagainya akan diadakan di sana. Bayangkan pemilik restoran dan kedai makan malah rumah tumpangan juga akan bertanyakan soalan yang sama kepada saya. Biasanya mereka semua ini akan memperoleh pulangan yang lumayan sepanjang acara berlangsung.

Oleh yang demikian seringkali juga saya sekeluarga dijemput makan malam atau menginap di hotel-hotel mereka secara percuma. Bekas Pengurus Besar Bukit Merah Laketown Resort umpamanya sering menjemput saya sekeluarga samada makan malam atau menginap secara percuma di BMLTR dan kemudiannya di Bukit Jana Golf Resort sehinggalah di tempat baru beliau di Belum Resort. Salah seorang lagi ialah Pengurus Besar Swiss Garden.

Malangnya isteri saya seorang dan anak jantan seorang saya itu sudah ”malas” bersama-sama makan malam dengan pengurus-pengurus hotel ini. Bukan kerana terlalu kerap dijemput kerana kami tiga beranak sememangnya tidak pernah menolak rezeki.

Ini kerana gara-gara biasanya samada jamuan secara buffet atau ala-carte, pengurus-pengurus ini (kadangkala ditemani pembantu mereka) akan bersama-sama semeja dengan kami dari mula makan hinggalah ke pencuci mulut. Ini menyebabkan kami tiga beranak yang sememangnya kaki makan ini serba-salah untuk ”membalun” makanan dan minuman yang ada. Kami hanya makan dengan malu alah sekadar dan penuh sopan santun.

Ini berbeza dengan pengalaman menjamu selera makan malam minggu lepas di sebuah hotel 4 Bintang di Pulau Pinang. Sebenarnya pakej yang kami tiga beranak ambil adalah penginapan dengan sarapan sahaja. Kebetulan sepupu orang rumah saya bekerja di hotel tersebut dan bertugas pula sebagai in-charge di coffee house restoran tersebut.

Sekitar jam 8 malam, dia menelefon kami agar berjumpa beliau di dalam coffee house. Setibanya di coffee house, setelah mengenalkan kami tiga beranak sebagai ahli keluarganya kepada chashier yang bertugas, kami ditunjukan sebuah meja di satu sudut.

Seterusnya sepupu orang rumah saya ini menjemput kami menjamu selera ala buffet Jepun. Dia kemudiannya meninggalkan kami untuk menyambung tugasnya. Apalagi hampir dua jam kami tiga beranak ”bebas berkampung” di coffee house tersebut. Mengikutkan menu Japan Buffet and Seafood Dinner itu adalah RM 60.00 seorang dewasa dan RM 30.00 seorang kanak-kanak. Kalau kami tiga beranak sudah RM 150.00! Itu boleh makan malam di gerai hampir seminggu.

Ini jauh berbeza pengalamannya dengan keadaan ”terikat” apabila dijemput makan malam oleh pengurus-pengurus hotel kenalan saya sebelum ini.

Betullah kata orang; pengurus-pengurus ini hanyalah mereka yang hanya ”nice to know”, yang pasti in-charge itulah mereka yang ”must know”.

Teringat pesan ayah saya iaitu; empat orang yang penting yang mesti dikenali dan dibuat kawan (dihormati) semasa di tempat kerja; 1. Jaga, 2. Kerani Gaji, 3. Kerani Setor, dan 4. Tukang Masak. Rasanya sudah saya siratkan kepentingan mereka ini di dalam posting-posting terawal blog ini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Tak mainlah dewan orang ramai

Gambar di-cut-paste dari internet.
Tak mainlah dewan orang ramai

Dewan orang ramai? Unit-unit PPRT? Maaf, pilihan kami ialah hotel.

Kalau mangsa di “International Hill” boleh dapat hotel, takkan kami di Pantai Timur pun tak boleh dapat hotel?

Klik di sini untuk cerita lanjut.