Sunday, August 30, 2009

PANDUAN SUMBANGAN DERMA BERBUKA PUASA, MORE DAN SAHUR DI KEDAH

PANDUAN SUMBANGAN DERMA BERBUKA PUASA, MORE DAN SAHUR DI KEDAH

Panduan ini disediakan oleh Dr. Nadiyah Bt. Elias, Pensyarah Kauseling, Kolej Sastera & Sains, UUM yang juga seorang pengiat aktiviti amal yang aktif.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud "Sesiapa yang menyediakan makanan untuk berbuka puasa kepada orang yang berpuasa maka ia mendapat pahala puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu" (H.R Tirmizi)

Berikut senarai tempat-tempat jika anda ingin menyumbangkan makanan berbuka, more atau sahur. Sila hubungi dahulu pengurus tempat tersebut sebelum menghantar makanan, supaya tidak membazir makanan atas sumbangan bertindan, dan sekolah boleh menjimatkan perbelanjaan makan.

Madrasah Puan Azizah / Hj Ani (depan Shell Jalan Kodiang, Jitra) bersama Madrasah Ustaz Yusof (menantu) (belakang Masjid Lama Jitra), serta cawangan Madrasah di Alor Star. Hantar ke mana-mana cawangan, pihak sekolah akan mengagihkan sendiri sumbangan tersebut.
Bilangan pelajar dan pengajar: 95 orang (boleh buat genap seratus)
Pelajar mula bercuti mulai 25 Ramadhan.
Hubungi: Ustazah Azizah: 019 5720189 / Ustadz Hj Ani 019 4776225
Rumah: 04 9163845

Madrasah Tahfiz Darul Ulum Al Hilmiah Titi Besi
Bilangan pelajar dan pengajar: 180 orang
Pelajar mula bercuti mulai 12 Ramadhan & 26 Ramadhan (antara 13 – 26 Ramadhan tinggal 120 orang shj)
Hubungi: Ustazah Mariam/ Ustadz Bakar 04 7145668
Atau akaun bank (Ustaz Abu Bakar): BIMB 02039010003690


Madrasah Tahfiz Al Munir: Bukit Pinang
Bilangan pelajar dan pengajar: 200
Pelajar mula bercuti mulai 25 Ramadhan
Hubungi: Ustazah Aminah/ Tuan Syed Zainal Abidin 0134851010 / 0124671005


Maahad Tarbiyyyah Islamiyyah, Dehrang:
Bilangan pelajar dan keluarga pendakwah: 350 unit/kepala atau 80 keluarga
Tiada cuti
Hubungi: Ustazah Zaharah/ Ustadz Amir: 0194640596


Pondok Tanjung Kapur:
Pelajar terdiri dari pelajar lelaki bujang yang masak sendiri, dan wanita warga emas yang masak sendiri.
Bilangan pelajar dan pengajar: 200 orang
Pelajar mula bercuti hanya selepas Solat Raya
Hubungi: Ustazah Rosnani: 019 4949310 / Ustaz Sabri: 019 4949314

Pondok Buluh Nipis
Hubungi: Ustaz Ibrahim Mat Isa: 019 4667957
Atau akaun BIMB 02039010051030

Tiada rahsia antara kami berdua

Kanan, Ustaz Aminuddin B. Isa, bersama Muhammad Nur Hakim B. Lukman

Tiada rahsia antara kami berdua

Semasa remaja penghujung belasan tahun, hubungan bapa dengan aku menjadi renggang terutama apabila aku gagal di tahun kedua pengajian aku di UM. Walaupun ketegasan bapa terhadap aku semasa kecil sangat ketara, perhubungan kami agak erat ketika itu.

Bapa tidak memarahi aku di atas kegagalan ini tetapi dia lebih banyak berdiam diri. Mungkin dia terkilan dengan kegagalan aku lebih-lebih lagi dia terpaksa mengadaikan ”geran pencen” kepada seorang Chettiar Benggali di Taiping untuk membiayai yuran kemasukan dan pengajian tahun pertama aku di UM.

Alhamdulillah setelah beberapa tahun aku ”bergelandangan” di KL, kembali ke Taiping dan kemudiannya bekerja di sebuah kilang berhampiran rumah, hubungan aku mula rapat dengan bapa sementelah aku kembali menyambung pelajaran di peringkat ijazah.

Rasanya perhubungan bapa dengan aku bertambah rapat apabila aku meninggalkan industri perkilangan setelah hampir 20 tahun bergelumang di dalamnya dan menyertai bidang akademik. Pada masa yang sama kini aku berkesempatan meluangkan masa dengan bapa terutama dengan sesi temu-janji bulanan dengan doktor yang kebetulan dapat aku aturkan pada hari Jumaat di mana hari tersebut adalah hari rehat aku.

Perbezaan begitu ketara antara aku dengan bapa jika dibandingkan antara aku dengan anak jantan seorang aku itu. Perhubungan aku dengan anak jantan seorang aku itu bukan sahaja sebagai ayah dan anak malah dipereratkan dengan hubungan seorang abang dan adik serta perhubungan seorang teman permainan. Banyak perkara yang boleh kami lakukan bersama, bermain bersama dan berkongsi bersama. Pada masa yang alhamdulillah dia masih menghormati, mempunyai perasaan segan, malu dan juga takut kepada aku.

Perbezaan yang paling ketara ialah aku hampir tidak tahu mengenai latar-belakang bapa semasa mudanya. Ada sedikit catatan sejarah dari emak dan rakan-rakan bapa. Tetapi rasanya anak jantan aku itu mengetahui hampir semua catatan sejarah hidup aku. Bermula dari catatan sejarah aku semasa kecil dan remaja yang banyak menyerupai ”perangainya” sekarang ini sepertimana yang sering diceritakan opahnya itu. Malah aku juga sering menceritakan sejarah silam aku semasa remaja di zaman persekolahan menengah dan seterusnya di zaman anak muda aku.

Anak jantan aku itu tahu jatuh-bangun dan beberapa kegagalan aku di IPTA, jerit-perit aku yang memulakan zaman pekerjaan sebagai operator kilang dan menyambung pelajaran secara sambilan di hujung minggu di USM untuk ijazah pertama seterusnya di UKM untuk ijazah sarjana.

Ibunya sering menceritakan kepadanya bagaimana hampir setiap saban hujung minggu mereka berdua ditinggalkan selama 8 tahun (1995 – 2003 di USM) dan kemudiannya bersambung pula hampir 2 tahun (2003 – 2004 di UKM). Ibunya menceritakan bagaimana ketika seusianya baru sebulan dua, dia ditinggalkan hampir sebulan kerana ayahnya terpaksa menghadiri minggu intensif untuk kelas dan kerja-kerja makmal di USM. Inilah juga yang berlaku untuk tempoh sebulan pada setiap tahun pengajian ayahnya di USM. Ibunya menceritakan lagi bagaimana ayahnya mengulangkaji pelajaran di malam-malam peperiksaan dengan sebelah tangan menghayun buaian. Ibunya juga menceritakan lagi bagaimana cemasnya ayahnya seketika apabila dia demam pada minggu-minggu peperiksaan ayahnya sedang berlangsung.

Pembelajaran itu tiada titik noktahnya! Anak jantan seorang aku itu sedia maklum yang ayahnya telahpun bergelar pelajar PhD semenjak masih bergelar pekerja kilang lagi dan insya-Allah bakal meraih gelaran doktor setahun-dua lagi.

Anak jantan aku itu mengetahui bagaimana ayahnya memulakan pekerjaan hanya sebagai operator pengeluaran dengan bersijilkan SPM dan kemudiannya dengan kegigihan bekerja dan kesanggupan berjerit-perit belajar sambilan di hujung minggu berjaya meningkatkan jawatan ke juruteknik, penyelia, pegawai, jurutera, jurutera kanan hinggalah ke jawatan pengurus.

Aku langsung tidak tahu bagaimana hubungan bapa dan emak aku bermula sehingga melangsungkan perkahwinan tetapi anak jantan seoang aku itu tahu bagaimana ayahnya mula bertemu dengan ibunya di padang permainan, di kawasan rekreasi, di atas beberapa gunung dan bukit serta pelbagai aktiviti luar lagi. Dia juga dimaklumkan bagaimana kemudiannya ayahnya mula jatuh cinta kepada ibunya semasa bersama-sama bertugas dalam satu acara perlumbaan motosikal di mana ayahnya sebagai Chief Scrutineering dan ibunya sebagai Race Control mengendalikan Lap Scorer.

Anak jantan seorang aku itu juga tahu pengelibatannya ayahnya dalam arena motorsports sehinggakan telah menjelajah jalan darat ke sempadan Tibet. Ibunya juga menceritakan bagaimana ayahnya hampir setiap minggu membawa mereka 3 beranak ke mana-mana ceruk pelusuk berlangsungnya acara motorsport di Malaysia malah kadang-kala menyeberangi sempadan ke Thailand. Bermula dari seawal usia mencecah 1 tahun sehinggalah ke hari ini. Sehinggakan menjadi usikan sesama rakan motorsport bahawa ayahnya tidak boleh lelap mata tidur malam kalau tak bawa bantal peluk.

(Ada rakan dengan minat yang sama mendaki pula bertanya mengapa ayahnya begitu aktif memanjat gunung dan bukit sebelum berkahwin tetapi hampir langsung tidak berbuat demikian setelah berkahwin. Adakah kerana ayahnya sudah ”memiliki gunung dan bukit” yang lain? Seringkali usikan beginilah yang diterima oleh ayahnya.)

Semalam anak jantan seorang aku itu menghadiri satu bengkel persediaan UPSR dan juga pra-peperiksaan sekolah menengah agama di Kuala Kangsar yang dianjurkan oleh alumni Sekolah Menengah aku. Seorang Ustaz Fasilitator mengenalkan dirinya dan memberitahu beliau juga dikenali sebagai Amin Solat semasa bergelar pelajar sekolah menengah yang sama aku belajar dahulu. Pada masa yang sama beliau menanyakan kepada semua pelajar kenapa agaknya beliau digelar begitu. Lantas anak jantan seorang aku itu mengangkat tangan dan memberitahu jawapannya.

Sebenarnya aku sendiripun tidak menyangka Ustaz Aminuddin senior aku ini yang akan mengendalikan bengkel tersebut. Tetapi kisah beliau yang digelar kami sebagai Amin Solat seringkali aku menceritakannya kepada anak jantan seorang aku itu.

Di samping itu juga aku sering menceritakan bagaimana aku dikenali sehingga kini oleh junior-junior aku semasa bersekolah menengah dahulu sebagai seorang ”event management” dan juga menjalankan bisnes kecil-kecilan. Pada aku biarlah aku diingati oleh junior-junior aku dengan sedemikian rupa daripada diingati sebagai kaki buli dan ragging.

Berbeza pandangan anak jantan seorang aku itu terhadap diri aku apabila perkhabaran sebenar yang didengarnya dari Ustaz Amin sendiri dan dari beberapa kiriman email junior aku. Dia begitu bangga kerana telah mendengarnya sendiri perkhabaran-perkhabaran dari mulut ayahnya sebelum mendengarnya kembali dari orang-orang lain. Begitulah kebanggaannya yang diceritakan kepada ibunya selepas kami tiba di rumah hari ini.

Rasanya tiada apa yang aku sorokkan dari anak jantan seorang aku itu. Harapan aku apa yang diceritakan itu yang baik jadilah teladan dan apa yang jahat (nakal sebenarnya) biarlah jadi sempadan.

Terus terang aku katakan, ada cerita-cerita itu kadang-kala ada juga ditokok-tambah tetapi jalan ceritanya tetap sama. Permulaan sama dan akhirnya sama. Sudah pasti ada yang berbeza mungkin dalam perjalanan itu ”terseleweng” sedikit. Adalah adegan-adegan curi tulang seperti ”berhenti perkena teh tarik dalam perjalanan” tidak dimasukkan dan juga beberapa siri iklan komersial yang terpaksa dimasukkan untuk menampung kos perbelanjaan cerita!

Adakah anda bersedia berkongsi cerita-cerita sebegini dengan anak anda sendiri?

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Thursday, August 27, 2009

Anak murid yang “menggoda”!

Anak murid yang “menggoda”!

Jangan salah faham tajuk posting kali ini! Lebih-lebih lagi di bulan puasa ini.

Rasanya orang rumah seorang aku itupun sudah lali dengan kerenah rakan-rakannya (malah adik beradiknya) yang selalu menimbulkan soalan-soalan yang bukan-bukan.

“Tak panaskah tengok Che Abang dalam trek itu?”
“Percayakah Che Abang dok sorang-sorang di Sintok tu? Dekat dengan sempadan pula tu!”
“Tak rasa apakah bila Che Abang dikelilingi dengan student-student yang dekat-dekat boleh jadi mak budak tu?”

(Bayangkan dengan 25 ribu jumlah pelajar, hampir 75% dari 22 ribu adalah pelajar perempuan. Manakala 3 ribu lagi adalah pelajar sambilan/PPJJ).

Beberapa orang anak murid aku ini benar-benar mengoda aku. Biasanya mereka ini adalah sama jantina dengan aku. Jangan pula salah faham sekali lagi! Baca habis-habis posting ini.

Sorang tu baru-baru ini buat presentation dalam kelas. Masa dia buat presentation tu sajalah aku cuba pejam mata dan menghayati kata-tuturnya. Betul-betul ”sebijik” macam aku dengar Berita CNN.

Sama juga dengan seorang lagi bekas anak murid aku yang berlainan jantina dengan aku pada semester lepas. Aku rasa macam dalam kelas Mind Your Language pula apabila bekas anak murid aku iras-iras Ning Bazura ini present paper dia. Jangan pula salah faham dua kali lagi! Dia ini sudah mak budak!

Tapi dua orang anak murid aku ini benar-benar mengoda aku. Sorang tu dengan gambar-gambar pemandangannya yang boleh dilihat di sini. Dan sorang lagi itu Kapten Askar yang mengajak aku scubadiving dengannya. Malangnya aku ini phobia kepada air terutama laut smentelah pernah lemas (hampir maut!) akhir tahun 80an di sebuah sungai berhampiran Banding, Perak.

Terima kasih ajalah Kapten!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/




Saturday, August 22, 2009

Kita sahur dengan Aishah lagi!


Kita sahur dengan Aishah lagi!

Sesiapa yang biasa dengan Radio Sinar FM tentu pernah terdengar ungkapan Salleh Yaakob ini.

Itulah yang berlaku kepada kami tiga beranak di sebuah hotel di Seberang Jaya awal pagi tadi. Kami bersahur dengan Aishah dan juga anak lelakinya. Malah turut ditemani oleh Yasin, Zainal Alam, Tam dan beberapa artis dari AF yang kebanyakannya aku tak kenalpun. Turut bersama ialah Kumpulan Nasyid Firdaus di mana salah seorangnya kebetulan adalah rakan sepensyarah.

Turut bersama-sama menikmati ”sahur lauk-pauk sejuk” ini ialah krew RTM dan berapa media cetak lain yang terbabit dengan Pilihanraya N11 Permatang Pasir.

Hairannya tidak kelihatan ”beberapa ahli politik” dari kedua-dua parti bertanding yang turut menginap di hotel ini semasa bersahur. Mungkin mereka bersahur bersama-sama penyokong masing-masing!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Lupa juga hendak diceritakan, orang rumah seorang aku itu ”masam muka” sikit apabila ”pe-make-up-pe-make-up artis” yang bersahur sekali ini duduk di meja bertentangan aku. Entah mengapa ”hitam-mata-puteh-ku” menjadi besar di awal-awal pagi ini apabila bertentangan muka dengan mereka ini yang hanya berpijamas dan duduk pula bersilang-kaki! Ramah betul mereka dan tidak sudah-sudah memberi senyuman. Bukankah senyuman itu sedekah! Nasib baik aku tak bawa kamera semasa bersahur ini, kalau tidak mahu juga bergambar dengan mereka sejantina dengan aku ini!

1 Malaysia



1 Malaysia

Di mana boleh dilihat wajah-wajah 1 Malaysia?

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Pegang puasa



Pegang puasa

Kebiasaannya selepas berkeluarga ini, aku dan isteri seorang aku itu dan kemudian dengan anak jantan seorang aku itu akan mula berpuasa atau “pegang puasa” di rumah sendiri di Taiping. Biasanya juga adalah satu dua lauk istimewa dari emak aku dan satu dua lagi dari mak mertua aku. Itu dah jadi empat, lima lauk!

Pegang puasa kali ini nampaknya kami tiga beranak di sebuah hotel di Seberang Prai. Esok (sebenarnya pagi nanti) aku ada kelas di Prai dan bersambung ke hari Ahad. Maknanya bersahur di hotel sebanyak 3 kali. Biasanya kalau berbuka (semasa berperjalanan sebegini) kami lebih suka membeli satu dua lauk dan kuih di Pasar Ramadhan berdekatan dan kemudiannya bersila di dalam bilik hotel.

Itupun tengahari tadi ada juga yang dibekalkan oleh mak aku. Se-tupperware Rendang Ayam Pencen, Ayam Goreng Kunyit Ketul Kecil (kesukaan anak jantan seorang aku itu) dan Perut Bulat Muda Cecah Air Asam. Perut Bulat Muda itu sudah “cuci calat” tengahari tadi. Rendang dan Ayam Goreng masih berbaki untuk dibawa ke hotel.

Selamat “pegang puasa” kepada Muslimin dan Muslimah. Jangan pula ada yang ”terlepas pegang”!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Satu ikat, 8 keping cuma RM 2.00




Satu ikat, 8 keping cuma RM 2.00

Kalau beli 3 ikat dengan 24 keping pula harganya RM 5.00!

Itulah Petai Padi yang dijual oleh Pakcik Nan ini. Bila aku tanya sebab apa murah sangat? Jawabnya petai banyak sangat sekarang ini.

Seingat-ingat aku, Pakcik Nan ini sudah mula berjalan kaki membimbit dua raga sayur-sayuran kampung seawal 80an. Dia tinggal di Changkat Jering tetapi jualannya meliputi rumah ke rumah sekitar Taiping dan Kamunting.

Pakcik Nan akan menaiki bas seawal pagi selepas Subuh dan kembali ke rumahnya sekitar Asar.

Dahulu ada lima, enam orang dari Changkat Jering dan juga Batu Kurau yang menjaja sayuran kampung seperti Pakcik Nan. Kini hanya tinggal Pakcik Nan keseorangan dalam jualan dari rumah ke rumah ini.

Agaknya sampai bila Pakcik Nan akan menjaja sebegini?


lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar,blogspot.com/



Mee Goreng Mamak Chai Leng Park






Mee Goreng Mamak Chai Leng Park

Biasanya Mee Goreng Mamak ini dari jauh sudah nampak “berminyak”. Selain tauhu goreng, mesti ada cucur goreng. Meenya pula mesti bersalut-salut dengan telur goreng. Kerak kuali juga mesti ada untuk menjadi pelengkap.

Berhadapan gerai Rojak Chai Leng Park, ada sebuah gerai Melayu (Ismail Pasembur) yang terkenal dengan Mee Goreng Mamak ini. Rasanya Restoran Mamak “pure” pun tak boleh lawan Mee Goreng Mamak ini.





Selain dari Mee Goreng Mamak terdapat juga Pasembur (namapun Gerai Ismail Pasembur). Tapi biasanya kalau nak makan ala-ala Pasembur, aku lebih suka beli Cucur Udang campur-camupur dengan Tauhu Goreng dan maneka Gorengan Makanan Lauk di gerai bersebelahan Ismail Pasembur ini. Mungkin Kuah Kacangnya yang menyedapkan lagi Cucur-cucur Gorengan ini. Cucur Udangnya pula tak ada kuchai, yang kebetulan aku tak suka makan kuchai sebab selalu terlekat celah gigi.

Di antara Gerai Ismail Pasembur dan Gerai Cucur-cucur Gorengan ini pula Gerai Laksa yang boleh dikatakan sedap juga (kata orang rumah seorang aku itu le!). Tapi kunjungan kami tiga beranak baru-baru ini pada jam 4 petang, gerai ini sudah tutup kerana sudah kehabisan laksanya!

Sebelum Gerai Ismail Pasembur pula ada Gerai Karipap pelbagai isi. Bagi aku, bolehlah rasanya! Tapi aku tahu ada seorang Amoi Kerani Kilang di Prai itu selang dua hari mesti datang beli bungkus Karipap Ayam dengan geng-geng dia.

Gerai-gerai di sini dibuka seawal 10 pagi dan biasanya mula lenggang sekitar 4 petang.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar,blogspot.com/





Thursday, August 20, 2009

Into the wild




Into the wild

Mengembara melihat dunia luar adalah salah satu idaman aku. Malah semenjak berusia belasan tahun aku sudah mengembara hampir seluruh Semenanjung Malaysia. Semuanya dengan menumpang apa jua kenderaan yang sanggup memberhentikan kenderaan mereka apabila melihatkan aku mengacukan ibu-jari. Ya! Aku mengembara secara hitch-hike! Berkumpulan paling ramai 4 orang tapi kami berpecah menjadi 2 kumpulan dan kerap-kali aku hanya mengembara berseorangan.

Aku mula mengembara seawal 1980 semasa Tingkatan 1. Bermula dengan percubaan balik kampung dari Ipoh ke Taiping dan seterus pantang cuti sekolah ada saja perjalanan yang tidak dirancang.

Tahun 1983, kami berempat (aku, Abu, Zainal dan Kamarul) panjat pagar sekolah waktu malam dan menumpang pelbagai kenderaan (kereta, lori dan bas) untuk ke Pulau Pinang menyaksikan Penang GP. Untuk ke Batu 3, Shah Alam jauh! Ada bas ekspress yang berhenti mengambil kami di tengah malam tetapi menurunkan kami kemudiannya kerana pemandu mengenakan tambang! Berjumpa dengan seorang Cabin Crew MAS di Penang, siap belanja makan malam! Pelbagai lagi kenangan pahit dan manis dengan pengembaraan yang hanya membawa tidak sampai RM 10 seorang!

(Kalau 1983 ketika itu aku hanya melihat Bulldog Kuan, Presiden Penang Motors Sport Club menganjurkan perlumbaan, pada penghujung 80an aku sudah mula bergabung dengannya terlibat dalam penganjuran. Disember 2009 ini pula akan menyaksikan trek Padang Kota Lama itu direka-semula oleh aku untuk Pusingan Terakhir perlumbaan motosikal Petronas Cub Prix dan satu lagi acara kereta yang akan diumumkan kelak)

Kini, Abu mengajar di Kajang dan Kamarul di syarikat minyak Qatar. Manakala Zainal (Zainal K.S.Mohammad) masih belum dapat dihubungi.

Paling akhir aku mengembara secara hitch-hike ini ialah awal penghujung 80an. Bersama-sama Ampandi Omar (junior aku dan juga Juara Roda Impian) dan aruah Nailil Murad. Semasa itu aku bekerja di majalah Roda-Roda, manakala Ampandi dan aruah Nailil masih di maktab. Kami mengembara secara hitch-hike dari KL (Brieckfields) ke Teluk Kemang, Port Dckson setelah jemu asyik bermotosikal di hujung minggu. Dalam satu perjalanan tu, seorang wanita dengan anak kecil seusia 4, 5 tahun sanggup memberhentikan keretanya mengambil kami bertiga tanpa perasaan syak-wasangka!

Dahulu aku pernah berazam apabila dewasa kelak dan setelah mempunyai kenderaan sendiri, akan aku tumpangkan mana-mana pengembara hitch-hike ini. Tetapi azam hanya tinggal azam! Ada juga sekali-dua aku terserempak dengan pengembara hitch-hike ini sama ada orang asing atau tempatan tetapi perasaan keraguaan sentiasa ada di sanubari aku. Malah aku juga diberitahu banyak syarikat-syarikat lori ketika ini mengadakan polisi melarang pemandu mereka mengambil pengembara jalanan ini.

Dua, tiga minggu lepas, aku ”tertengok” cerita Into The Wild, arahan Sean Penn ini di Astro. Cerita ini berkisahkan anak muda Amerika, Christopher McCandless yang mengambil keputusan ”mencari kehidupan lain” dengan mengembara. Ini adalah kisah benar yang ditulis oleh Jon Krakauer berdasarkan catatan yang dibuat oleh Chris yang ditemui mati keseorangan dalam sebuah bas tinggal di laluan pengembara di Alaskan pada Ogos 1992.

Aku pernah mengambil keputusan untuk mengembara keluar dari Malaysia setelah gagal dari UM pada tahun 1987. Perbincangan juga telah dibuat dengan seorang editor Berita Minggu ketika itu kerana kebetulan sebelum itu Berita Minggu telah menyiarkan kisah pengembaraan aku secara bersiri untuk beberapa minggu. Aku memohon untuk mendapatkan sedikit bantuan kewangan bagi tiket kapalterbang. Malangnya perbincangan kami tiada keputusan dan aku terpaksa melupakan rancangan itu.

(Malang berganda juga apabila proposal aku yang bersertakan keratan akhbar siri-siri pengembaraan aku ketika itu hilang entah ke mana!)

Pengelibatan aku dalam sukan bermotor kemudiannya membolehkan aku melihat dunia luar. Setakat ini aku pernah melalui jalan darat sehingga ke sempadan Tibet melalui negara-negara Asean dan juga Asia.

Azam baru aku mungkin setelah ”berpencen” nanti aku akan mula mengembara semula. Mungkin tidak lagi secara hitch-hike tetapi sebagai backpacker. Sudah pasti antara destinasi terawal ialah Banjaran Himalaya.

Cuma yang menjadi persoalannya ialah bersediakah orang rumah seorang aku itu mengikutnya. Kalau ajak anak jantan seorang itu pasti jadi! Perancangan aku dengan anak jantan seorang itu sedikit berbeza. Teruja dengan siri tv, Long Way Down (Ewan McGregor dan Charley Boorman) yang mengembara dari Scotland ke Afrika Selatan merentasi 18 negara, aku bercadang untuk mengembara secara bermotosikal dengan anak jantan seorang aku secara ”Long Way Up” mungkin juga sampai ke Mekah untuk menunaikan haji, insya-Allah!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/


Wednesday, August 19, 2009

Jambatan Besi Keretapi Karai












Jambatan Besi Keretapi Karai

Suatu hari itu aku sengaja memilih jalan lama Ipoh kembali ke Taiping. Sebelum sampai ke Jambatan Iskandar di Sungai Perak itu aku membelok ke kanan menghala ke Karai.

Tiba-tiba antara ingat dan lupa, aku terkenangkan semasa berumur enam tahun, orangtuaku pernah membawa aku menyeberangi Jambatan Besi Keretapi Karai ini untuk ke Jamuan, iaitu sebuah kampung kecil berseberangan sungai. Di Jamuan ini Datuk sebelah mak aku tinggal. Mak aku tidak beberapa dengan ayahnya kerana orang tua itu mempunyai beberapa isteri lain. Manakala mak aku tinggal dengan emaknya (nenek aku) di Batu Kurau. (Kebetulah Datuk sebelah bapak aku juga banyak isteri!)

Kini sudah ada jambatan baru (gambar-gambar di bawah) dan Jambatan Besi Karai ini sudah tidak beroperasi lagi sebagai landasan keretapi tetapi orang kampung masih menggunakannya untuk menyeberangi jalan.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/