Monday, October 26, 2009

Pemandangan di udara yang menguja




Pemandangan di udara yang menguja

Kalau naik kapalterbang, biasanya kalau boleh aku memilih untuk didudukkan di bahagian tengah badan kapalterbang, di mana aku boleh melihat pergerakan sayap kapalterbang ini semasa menaik dan menurun. Tidak kiralah sama ada tepi sekali di bahagian tingkap atauun di kerusi tengah ataupun di tepi laluan.

Melihat bilah-bilah kecil di tepi sayap yang mengelopak naik, turun dan naik semula ini benar-benar mengujakan aku.

Teringat kata-kata bekas pensyarah aku semasa di USM, iaitu seorang Prof. Madya dari India yang dialek "air" (udara) disebut "ayeer" dalam kelas subjek Fluid di mana aku terpaksa repeat paper Fluid I tiga kali (tapi Fluid II sekali saja) dan Thermo score pula!

Teringat lagi aku terpaksa bergelut dengan angka-angka dan persamaan-persamaan formula untuk menyelesaikan permasalahan yang melibatkan "drag, terminal velocity, buoyancy force" dan sebagainya.

Mengingatkan aku dengan pengelibatan dalam rekabentuk motosikal dan kereta lumba (termasuk F1) yang mengambil kiraan faktor-faktor aerodinamik ini.

Mengingatkan aku terhadap anak jantan seorang aku itu yang setahun dua sebelum ini ingin tahu semua teknologi ini, dan kini mula mendalami prinsip pembakaran enjin dua-lejang dan empat-lejang.

Adakah dia akan menjejaki aku sebagai mechanical engineer atau automobile engineer? Ataupun seperti yang pernah disuaranya sebagai aerospace engineer?

Aku tidak kisah hatta apapun yang ingin dicapainya. Insya-Allah aku dan kami suami-isteri akan merestui serta mengalakkannya.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Syabas Pusat Servis Proton Edar Juru



Syabas Pusat Servis Proton Edar Juru

Kini dilengkapi dengan Penyedia Air Panas dan kelengkapan membuat minuman seperti Nescafe, Teh, Gula dan Krimer.

Bolehlah saya mmenunggu sambil membuat kerja dengan laptop saya dan menikmati minuman panas. Cuma wireless connection terlalu lembab dengan "received" cuma 350 (manakala sent 10,438). Nasib baik saya bawa Celcom Broadband!

Ini lebih baik jika dibandingkan kunjungan saya pada bulan Mei 2009 lalu. Klik di sini untuk posting sebelum ini.

Syabas Pusat Servis Proton Edar Juru.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Rothmans Penang GP 1984

Klik di sini untuk cerita lanjut.

Gambar-gambar yang tidak disiarkan.

Berlatar belakangkan papan tanda acara (kamera cokai!)

Makan malam 2 burger kongsi 4 di kedai keluarga Khairul Anuar (Punjab) di Simpang

Selepas makan malam di Nasi Kandar Kassim depan Gama

Mana lagi kalau tak di dalam Komtar

Bersama Kamrul Ariffin, sekarang di Qatar

Dulu tengok race, sekarang organise race!

Bersama Zainal Abiddin KS Mohd, baru ditemui setelah artikel ini disiarkan

Paling best tengok kereta accident

Tembok bangunan yang belum siap masa itu - rasanya hotel sekarang ini

Thursday, October 22, 2009

Pagi di Nat Arau, Tengahari di Anjung Keli dan Malam di Kedai Kopi Cerita







Pagi di Nat Arau, Tengahari di Anjung Keli dan Malam di Kedai Kopi Cerita

Pagi semalam kami tiga beranak di Nat (Pasar Pagi) di Arau. Ada temu janji dengan seorang peniaga di sana untuk mengambil 15 jersi bola pasukan anak jantan seorang aku itu. Harganya amat-amat menarik dan designnya juga hebat ada 3-line ala-ala Adidas lagi.

Tengaharinya kami ke Anjung Keli di Jalan Behor Pulai, Kangar. Belakang ILP Kangar. Biasanya kalau di Kangar kami ke Warung Pokok Sawa di Jalan Mata Air, Beseri. Tapi kunjungan pertama kali aku ke Anjung Keli bulan lepas dibawa geng-geng Kelab Sukan Motor Perlis sempena Cub Prix di Kangar ke sini menjanjikan diri aku untuk membawa isteri dan anak pula kelak.

Kunjungan pertama kali di bulan lepas itu jam sudah hampir pukul dua dan di dalam rintikan hujan sekejab lebat dan sekejab rintik. Pelanggan sesak! Mereka yang sedang menjamu mungkin berlengah-lengah menanti hujan reda.

Kunjungan semalam jam baru 11.45 pagi. Ruang parking masih lapang tapi di dalamnya sudah mula sesak. Agak payah untuk mengambil gambar di talam hidangan. Bersesak dengan pelanggan yang ”agak kepayahan” untuk membuat pilihan kerana menunya banyak.

Mungkin kerana namanya Anjung Keli, Ikan Kelinya dimasak dengan pelbagai menu. Ada bakar, goreng (garing!), goreng bercili dan gulai. Ada juga pelbagai ikan lain yang dibakar termasuk ayam dan daging yang dibakar, percik, goreng dan masakan berkuah. Begitu juga dengan pelbagai sayur kampung seperti keladi, nangka, umbut pisang, cendawan serta ulam-ulaman. Sambalnya pelbagai jenis termasuk Budu dan Cencaluk.

Kami makan bertiga, empat Nasi Puteh, tiga ekor Keli yang masing-masing digoreng garing, goreng bercili dan dibakar, sepinggan Daging Masak Merah, sepinggan sayur dicampur-campur, sepinggan pelbagai Ulam dan satu jag Sirap Lengkong. Selepas makan ditambah satu bekal bawa pulang botol besar Cola Radix dengan kesemuanya ialah RM 38.00.

Orang rumah aku seorang aku pula kemudiannya beli Jagung Rebus Sagat bergaul kelapa parut dan sebungkus buah-buahan potong campur. Pisang Goreng, pelbagai bubur dan tapai juga ada dijual untuk pembasuh mulut atau minum petang.

Menariknya juga di sebelah warung ini terletak Restoran Chicken Rice Kiosk dengan pelanggannya yang boleh tahan ramainya. Suatu pemandangan yang asing apabila melihat pekerja-pekerja di Restoran Chicken Rice Kiosk ini membawa pinggan sendiri datang membeli nasi dan lauk-pauk di Anjung Keli ini! Kadang-kadang kalau berniaga bersebelahan ini bukan sahaja tauke tapi antara pekerjapun turut bermasam muka!

Bulan depan hendak cuba Daging Bakar dan Ayam Percik pula! Parking juga agak bermasalah di sini. Kalau nampak sesak di perkarangan kedai, lebih baik parking di tepi jalan!

Malamnya dalam perjalanan pula ke Taiping, kami singgah di Bertam Perdana. Orang rumah seorang aku itu ada urusan dengan sepupunya iaitu Hajah Kamaliah, tauke R-Zac Cosmectic. Kebetulan selang sebuah dengan kedai R-Zac ini ialah restoran yang baru dibuka iaitu Kedai Kopi Cerita.

Semasa hendak membelok ke Bertam Perdana ini (belok ke kiri selepas rumah tol Bertam. Kalau ke kanan ke Warung Ikan Bakar Din Pekan Kepala Batas) aku sudah terpandang sebuah banner yang menyatakan tawaran RM 1.00 untuk secawan Kopi-O (atau Teh-O) dan seset Roti Kahwin, RM 2.00 untuk set Beehon Goreng dan RM 3.00 untuk set Nasi Lemak.

Rupa-rupanya hanya tawaran set RM 1.00 untuk sepanjang masa. Manakala tawaran set RM 2.00 dan RM 3.00 hanyalah untuk sarapan sehingga 11.00 pagi.

Sementara menunggu orang rumah aku seorang itu dengan urusannya, aku dan anak jantan seorang aku itu siap bedal dua set seorang Kopi-O dan Roti Kahwin.

Untuk makan malam, kami order Chicken Chop Black Pepper, Laksa dan Nasi Ayam. Menu yang diorder untuk makan malam biasa-biasa saja. Tapi Kopi-O sedap tak pahit seperti kebanyakan Kopi Thiam. Begitu juga Roti Kahwinnya amat enak.

Menariknya di Kedai Kopi Ceritanya ini pertugas lelakinya berkemeja puteh lengan panjang dan bersongkok hitam tinggi ala 60an. Manakala pertugas perempuannya berkebaya ketat yang sudah tentu sejuk mata memandang!

Kedai Kopi Cerita ini juga memiliki banyak benda-benda klasik seperti set tv 70 an, beberapa LP, mesin kira dan sebagainya.

Kedai ini juga menyediakan wi-fi percuma serta pelbagai bahan bacaan untuk dibawa terutama beberapa naskah harian surat khabar pelbagai bahasa dan majalah kenderaan. Surau juga disediakan di tingkat atas.

Minggu depan nak singgah perkena tawaran set Nasi Lemak pula. Agaknya sampai bila tawaran ini dioffer?

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/









Klik pada rajah untuk saiz lebih besar.

Saturday, October 17, 2009

Tok Guru Zaman Dahulu vs Tok Guru Zaman Sekarang!


Tok Guru Zaman Dahulu vs Tok Guru Zaman Sekarang!

Kalau dulu hutan diredah, gunung didaki, sungai diseberangi, lurah dituruni semata-mata untuk menuntut ilmu. Tok guru-tok guru pula ada yang tak bergerak-gerak. Terkaku bertapa di dalam gua, di dalam gunung, di dalam hutan belantara!

(Kalau tok guru terkaku macam ini sekarang, mahu kena baling kasut!)

Bekalan dibawa cuma sebutil kain sarung berisi sehelai dua persalinan dan sebilah keris tersisip di pinggang. Tersandang lagi kain pelekat.

Kini tok guru pula meredah lebuhraya, turun-naik kapal terbang, terkandas di air-port lima, enam jam. Pikul dua, tiga kotak buku teks setebal Yellow Pages! Nasib baik student di Miri tak sampai 20 orang. Kalau macam student di KL dan Prai yang dekat 40 orang itu, mahu terkalih bahu dan tercabut tangan memikul dan membimbit serta mengkelek kotak-kotak buku teks itu.

Itu tak termasuk satu beg persalinan berisi dua helai long sleave dan slack untuk dua hari mengajar serta sekeping dua kad plastik tersisip dalam dompet duit. Tersandang juga beg laptop!

Terkandas di Airport Alor Setar empat jam. Terkandas di di KLIA satu jam. Penerbangan ke Miri jam 9 malam dengan perut berkeroncong minta diisi. Nasib baik naik MAS ada juga Nasi Briani Kari Ayam diikuti dua cawan Orange Juice, secawan kopi panas dan maneka ”cookies” lagi.


Punyalah lapar! Bila dah licin baru ingat nak ambil gambar.

Kalau ada jalan darat dari Semenanjung ke Miri memang aku akan berkereta saja! Boleh juga singgah memanjang di perjalanan. Mulut rasa pahit boleh singgah beli Mempelam Muda di R&R. Atau Jagung Rebus di jalan lama.Sitiawan ke Kuala Selangor. Atau Cendol Pak Mat di Tanjung Malim yang dulunya di Kuala Kubu Baru.

Bila perut berkeroncong boleh singgah tengahari Ikan Bakar Tasik Raban di Ipoh. Petangnya pula boleh perkena Mee Rebus Tapah.

Nasib baik naik MAS boleh juga rasa Kuih Deepavali! Tahun lepas dan tahun-tahun sebelumnya perjalanan aku ke Likas dan Kuching (Cubprix) dengan Air Asia Cuma meneguk air liur melihat pramugari! (Tahun ini cubprix di Likas dan Kuching dibatalkan kerana kos penerbangan yang meningkat naik.)

Aku sampai Miri jam 11.15 malam. Setibanya di hotel mata pula tak mahu lelap. Check laptop, email mencurah masuk. Ada yang minta disiapkan segera Track Plan untuk Cub Prix Round 9 yang dijangkakan berlangsung di Johor Bahru. Semasa bermalas-malasan di atas katil, aku terlelap.

Hari ini jam belum pukul 6 pagi, cahaya matahari sudah mulai menyimbah masuk ke dalam bilik hotel yang kebetulan tirainya tidak ditutup semalaman.

Pukul 8 pagi, aku menghubungi seorang kenalan sesama Izzuddin mengajak bersarapan di hotel. Bersembanglah aku dengannya hingga 10 pagi. Sambil reccee-reccee ke mana hendak “merayau” di Miri ini. Kerja-kerja juga, bersantai-santai juga!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Nota: bila pula nak merasa special menu macam Xplorer dalam kapalterbang ini?

Friday, October 16, 2009

Sebab apa aku malas naik kapal terbang?


Sebab apa aku malas naik kapal terbang?

Hampir tiga tahun aku di UUM, sekalipun tak pernah naik kapalterbang Alor Setar - KL walaupun ditugaskan mengajar di KL hampir selang seminggu setiap bulan. Sampai aku dapat surat pertanyaan mengapa tak naik kapalterbang sedangkan dasar company mengalakkan tidak pekerja menggunakan kenderaan sendiri. Biarpun aku tidak boleh claim millage dan toll (hanya tambang ganti yang ciput!) aku lebih rela memandu sama ada ditemani oleh keluarga atau berseorangan. Itupun kalau nak claim tambang-ganti ini punyalah banyak paper-work!

Tapi hari ini, apa yang aku paling cuba elakkan, akhirnya terjadi juga kepada aku. Aku tersadai di airport Kepala Batas. Flight MAS ALor Setar - KLIA 3.20pm delay hingga 5.20pm. Mujurlah flight MAS KLIA - Miri jam 8.15pm. Harap-harap itupun tak delay.

Punyalah awal aku keluar dari kampus pagi tadi. Seawal jam 8.30 am. Selepas sarapan di Changlung (Mee Kari Gulam dan sekeping Roti Canai) aku ke Alor Setar. Mengambil kesempatan bank-bank dibuka hari ini walaupun Kedah bercuti hari Jumaat, aku selesaikan semua hutang-hutang rumah, hutang orang rumah seorang aku itu (hutang ni kena bayar regularly sebab nanti mudah nak ambik pula!) , hutang kereta dua biji dan master card (yang banyak digunakan semasa buat master di UKM dulu!). Maklumkan gomen gaji awal! Kalau tak buat macam itu, terpakai pula nanti!

Manakala hutang Mara, hutang Celcom dan satu lagi credit card aku on-line sahaja. Hutang kereta itu tak boleh on-line lagi sebab ada hal bertindih (kereta lama sudah lama dijual tapi "pembeli haram jadah" tak tukar-tukar nama lagi dan balok-liat nak bayar)!

Kebetulan salah satu kereta yang dibeli menggunakan hire-purchase bank di Alor Setar ini. Apa lagi siap ambil geran kereta. Manalah tahu kalau ada member ajak masuk Siam senang sikit nak pergi dengan kereta!

Sebelum ke bank-bank itupun sempat aku buat jejak-kasih cari seorang rakan semasa di UM (sama-sama kena tendang keluar!) di Langgar sebab nak bayar hutang RM 100.00 (baki beli motor Yamaha RXS motor pertama aku dari dia) yang dipinjam semasa tahun 1985 dulu! Kalau pinjam dari Ah Long memang sah kena potong tangan ni! Bukan tak nak bayar tapi sudah beberapa kali pergi cari tak jumpa! Hari ini aku nekad cari sampai jumpa! Hal ini aku cerita lain kali sebab panjang lagi hikayatnya.

Urusan semua selesai jam 1.00pm. Aku singgah Kedai Nasi Kandar seberang jalan Pekan Rabu yang berkongsi dengan kedai Cina itu (sebelahnya kedai gambar Fuji kalau tak silap aku!). Kedai ini ramai yang rekomen dan aku pernah perkena sekali. Sampai saja tengok periuk-belanga dah naik van rupanya Nasi Kandar situ hari Jumaat sampai pukul 12.30 tengahari saja. Hari lain sampai 2 petang.

Jam dah satu lebih aku terus pergi solat Jumaat di masjid dekat simpang ke Air Port. Perkena pisang tiga biji sebab cadangnya nak skip lunch. Lepas solat bergegas masuk check-in. Pukul 3 pm ada pengumuman flight delay 2 jam! Penumpang sila pergi ambik kupon makanan di kaunter Mas.

Satu kupon untuk satu pinggan Mee Goreng dan satu Air Mineral. Aku bodek awek di kaunter kafeteria tu tukar dengan Sandwich tapi tak dapat! Aku order Teh Panas (RM 2.50) dan cari meja tepi dinding.

Try wireless airport, hampeh! Ada signal tapi malap saja! Nasib baik ada broadband. dan nasib baik semalam baru beli bateri laptop baru. Kalau tidak sebelum ini jenuh cari power-point pantang bila jumpa bangunan. Ada satu Restoran Mamak di KL itu siap charge RM 1.00 sekali cucuk. Terus aku bangun cari restoran lain. Di Mc Donald dan KFC pula sekarang ini banyak sudah tutup power-point ini! Wireless free tapi power-line kena bayar!

OK, aku nak makan Mee Goreng pula!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Thursday, October 15, 2009

Potong? Atau Potong Zaka?



Potong? Atau potong zaka?

Sat-sat tadi iklan di atas tersiar di antara Bulletin TV3. Tiba-tiba aku teringat kawan aku Cina Geng Satu Company. Lama sungguh tak berjumpa atau bercakap dengannya. Nama saja satu company tapi tak pernah berselisih batang hidung.

Jenuh aku telefon tapi yang dapat ialah mesej dalam Bahasa Cina. Tak "One Malaysia" betul kawan aku Cina Geng Satu Company ini. Biasanya mesej henpon dia dalam Bahasa Malaysia, kadang-kadang Bahasa Inggeris - kali ini Cina pula!

Aku dial lagi nombor henpon kawan aku Cina Geng Satu Company ini. Sama juga! yang kedengaran ialah mesej dalam Bahasa Cina.

Apabila berseorang-seorangan di malam Jumaat di rumah felo dalam kampus ini, menjadi tak keruan pula!

Cadang nak ajak dia minum Teh Tarik di Restoran Yasmin Pekan Changlung. Boleh sembang pasai "potong zaka" dan "geng songkok puteh" lagi!


lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Zhuhai, China atau Miri, Sarawak


Zhuhai, China atau Miri, Sarawak

Malam semalam takala jarum jam bersatu menghampiri 12 tgh malam, aku dikejutkan dengan deringan telefon. Agak awal aku melelapkan mata semalam. Mungkin satu-satunya channel tv yang boleh ditonton dalam rumah felo di Sintok ini iaitu TV3 menayangkan cerita berkaitan Sundelbolong, menyebabkan aku lebih rela memaksa kelopak mata agar bercantum. Lebih-lebih lagi aku keseorangan! Kalau naik seram nanti nak peluk sapa!

Aku menjawab telefon; rupa-rupanya seorang rakan mengajak aku ke Zhuhai, China hujung minggu ini untuk Asia Grand Prix. La, ajak macam nak keluar minum Teh Tarik Mamak saja!

"Kalau passport kau masih hidup 6 bulan lagi, esok pagi fax mukasurat 2 ke pejabat aku dan flight dari KLIA pagi Jumaat 9 pagi. Hari Selasa flight balik sampai malam."

Sebenarnya rakan aku ini memang mengenali aku yang sentiasa "available" kalau nak travel ini. Hanya dua, tiga tahun kebelakangan ini sahaja banyak sangat halangannya. Kena minta kebenaran ketua pejabat sebulan awallah dan sebagainya,

Berbeza semasa di swasta dahulu, pantang dapat telefon Mr. Douglas Choong, Setiausaha Kelab Motor DiRaja Perak. Dia ni bukan ajak lagi tapi terus bagi jadual bila nak pergi! Biasanya dengan beliau, kami menggunakan jalan darat pergi membuat persediaan reccee sama ada untuk acara rally atau expedition. Biasanya kami ke negara-negara Asean (Kerapnya ke Thailand, Mynmmar, Loas dan Vietnam serta setahun sekali ke China) Semasa di swasta dulupun juga cuti aku tak pernah cukup, malah sentiasa dengan "advanced leave" dan "unpaid leave".

Kebetulan aku tak pernah ke Zhuhai, perjalanan aku ke China (semuanya jalan darat) lebih ke Utara (hingga sempadan Tibet) melalui laluan barat (Thailand, Mynmmar dan Loas) dan ke bahagian Tengah Selatan iaitu Kungming dan Dali melalui Vietnam.

Masalahnya minggu ini aku mengajar di Miri. Tiket Mas sudah dibeli (pejabat beli!) dengan harga hampir RM 2,000.00 untuk pergi-balik. Lebih mahal dari tambang Mas ke China! Siapa nak menjawab dengan ketua pejabat kalau tukar jadual. Kelas pula tak boleh diganti hari lain! Marah student yang ada datang sejauh Kuching dan Bintulu. Bukan cikgu saja naik belon tapi student juga naik belon bah pergi kelas!

Tiba-tiba aku teringat antara perjalanan terawal aku untuk menjadi "race official" ini pada tahun 1985 atau 1986. Kali pertama diajak oleh seorang rakan yang dikenali di Trek Lumba Batu 3 untuk menjadi pegawai bendera di satu acara Go Kart di Kajang. Dua, tiga hari sebelum pergi sibuk kelebek motor. Siap servis sendiri karburator Yamaha RXS yang asyik "overflow".

Malam menjelang siap dengan beg tepi tilam. Jam loceng sampai dua disetkan. Dalam beg ada bekal air dalam botol Coco Cola. Manalah ada air mineral waktu itu. Sebelahnya minyak 2T. Terfikir juga nak bawa minyak petrol spare! Baju hujan dan tuala "Good Morning" terlipat dalam beg. Masa tidurpun termimpi-mimpi pegang bendera.

Sebenarnya bukan jauh sangat dari Bangsar ke Kajang ketika itu. Tapi keghairahan itu tidak dapat digambarkan!

Mana pilihan aku? Zhuhai atau Miri? Gambar di atas jawapannya.

Tanya rakan aku yang menelefon; "Kau pernah pergi Miri?"

Aku jawab tidak pernah.

"Miri itu syurga malam terutama untuk orang Semenanjung dan Brunai!"

Syurga malam? Tak faham aku!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/.

Monday, October 12, 2009

Bapaku Seorang YB

Klik pada gambar untuk saiz besar.

Bapaku Seorang YB

Pagi tadi aku keluar rumah jam 4.30 pagi.

Aku cuma singgah buang hajat kecil dan “bayar hutang” di rumah Tol Sungai Dua. Ingat nak berenti di Gurun tapi tandas R&R di situ tidak menepati cita-rasa aku!

Aku sampai Sintok jam 8.00 pagi. Sudah beratur mahasiswi-mahasiswinya untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Manakala mahasiswa-mahasiswanya yang boleh dibilang dengan jari itu masih asyik berkubang di atas tilam.

Perjalanan tiga jam pagi tadi aku ditemani oleh Meor Pesta Jiwa. Sebenarnya aku hanya kenal Meor Lantera Jiwa. Kadang-kadang aku confuse Meor mana yang sms dengan aku ini!

Dalam tiga jam itu aku replay lagu Bapaku Seorang YB dekat 10 kali. Lirik oleh Pyanhabib ini mengasyikkan. Bukan melekakan! Kalau leka mungkin kereta aku sudah masuk parit atau langgar divider jalan! Iramanya ”masuk” sekali bagaikan Petai Bakar dicecah dengan Sambal Tempoyak! Sepinggan nasi mesti tak cukup!

Entah mengapa bila mendengarkan lagu ini aku terbayang-bayang Iwan Fals dengan lagunya Surat Buat Wakil Rakyat. Cuma membezakannya Pyan sudah mula mendeklamasikan sajak Bapaku Seorang YB seawal 1986 manakala lagu Iwan Surat Buat Wakil Rakyat diterbitkan pada tahun 1987.

Mendengar saja lagi kedua pilihan aku iaitu Rakyat Bersatu, aku boleh teka liriknya dari Hishammudin Rais. Turutan liriknya bagai rangkap yang dikomennya dalam Tukar Tiub!

Iramanya pula ”catchy”. Bagi seorang yang buta muzik macam aku ini, irama ”jingles” (kalau tak salah pendengaran aku!) adalah muzik yang berseni untuk orang marhean macam aku.

Aku cuba ”menelan” lagu Membenarkan Kebodohan lirik oleh Abdullah Jones. Lagu yang ketiga aku minat ini bagaikan ubat pahit bak empedu yang masih aku sangsi-sangsi keberkesanannya.

Ada lagu yang dinyanyikan oleh suara perempuan yang kemudiannya aku ketahui melalui kulit album namanya Mei Chern. Lagu Awas! Api Perempuan Ini (dan juga Shuhada Memali, lirik oleh Amin Iskandar) terlalu jauh untuk aku memberi komentar.

Lagu-lagu lain (bagi seorang yang buta muzik seperti aku) adalah biasa-biasa saja!

Walaupun ada di antara kita yang masih berkeluh-kesah dengan tetangga yang baru ditimpa malang bencana, aku masih mengharapkan Meor (dengan lirik oleh Meor sendiri atau Pyan atau rerakan yang lain) menghasilkan lagu semirip Negara

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar,blogspot.com/

Nota awal; Sekitar jam 4.30 petang tadi, semasa di dalam bilik pejabat aku, terlintas seorang pelajar (juga kawan) dari Indon. Aku sengaja mendengarkan lagu Bapaku Seorang YB kepadanya. Mati-matian dikatakan lagu terbaru Iwan Fals yang pastinya sambungan dari lagu Surat Buat Wakil Rakyat!

Nota akhir; kos RM 20.00 (courier + RM 5.00) untuk album sebegini, dengan gabungan rerakan yang terbaik dan ahli dalam bidang masing-masing – aku tidak tampak dimana hasilnya untuk dikutip!

Akhir kata; lebih dari berbaloi mendapatkannya! Klik sini untuk selanjutnya.

Anak seorang. Anak-anak ramai!



Anak seorang. Anak-anak ramai!

Kadang-kadang aku pernah terkilan dengan ketentuan ilahi dan rezeki aku setakat ini hanya memiliki seorang anak lelaki. Dialah sulong. Dialah bongsu. Dialah abang. Dialah adik. Tapi dia bukan kakak!

Mungkin juga pengaruh bapa aku yang tegas ”laksana seorang askar”, aku terbawa-bawa dalam pembentukan peribadinya. Sementelah aku terbabit dalam pengajaran subjek berkaitan keselamatan ini.

Bagaimanapun aku yakin dia memahami pendirian aku itu.

Pemahaman ini diterimanya dan diterjemahkan dengan menjadikan rumah aku sebagai ”pot” pertemuan sesama rakan sebayanya.

Di rumah aku itulah mereka ber-PS2 di hujung-hujung minggu. Dari Piala Dunia ke Liga Inggeris. Dari MotoGP ke F1 hinggalah ke Grand Theft Auto yang mana anda perlu menjiwai watak penjenayah untuk mendapat mata kemenangan. Takut juga aku dengan game sebegini!.

Jemu dengan PS2, mereka akan membedek notebook lama aku yang aku wariskan kepada anak jantan seorang aku itu. Jemu dengan komputer, mereka di atas loteng yang dijadikan perpustakaan mini dengan membelek ratusan komik, majalah, novel, encyclopedia dan sebagainya. Sudah tentu komik The Adventure of Tin-Tin menjadi pilihan mereka.

Kalau ada apa-apa aktiviti sekolah seperti pertandingan sepanduk, projek kampung, projek kitar semula dan sebagainya, rumah aku itu bertukar menjadi bengkel kerja seni dan pertukangan tangan mereka.

Dua, tiga bulan sehingga menjelang beberapa hari sebelum UPSR rumah aku menjadi ”pot” singgahan mereka mengulangkaji dan membuat soalan-soalan UPSR tahun-tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama orang rumah aku seorang itu menyediakan kudapan-kudapan dan se-jag dua minuman. Kalau dia sibuk, aku mengambil-alih tugasnya! Bukan memasak tetapi start motor keluar pergi beli kuih!

Bila bilal mengazankan seruan, mereka bersama-sama ke surau berhampiran untuk bersolat.

Dua-tiga minggu ini selepas UPSR, rutin mereka bertukar. Aku pula kini menjadi driver mereka. Awal pagi sudah tercegat di hadapan rumah dan kemudian aku hantar mereka bersesak dalam satu kereta ke Padang Esplanade atau Lake Garden untuk berlatih bola. Ada yang mengayuh basikal dan ada juga yang dihantar ibubapa ke rumah aku. Syarat aku mudah sahaja, pastikan ibubapa masing-masing mengetahui dan mengizinkan pergerakan mereka. Malah aku juga mengambil nombor telefon ibubapa mereka.

Kalau jemu di padang. Mereka bertukar ke gelanggang tertutup futsal. Dengar khabarnya masa mendatang untuk mencuba pula paintball!

Kehadiran aku diterima oleh mereka. Awalnya agak keberatan mereka untuk berbual-bual sewenang-wenangnya dengan kehadiran aku dalam kelompok mereka semasa perjalanan. Lama-kelamaan tembok itu runtuh dengan sendirinya.

Biasanya apabila matahati sudah tegak di kepala, aku mengambil mereka semula. Sebelum pulang biasanya kami singgah untuk membasahkan tekak. Memandangkan ada seorang-dua yang ”tidak lalu” minum cendol, kami biasanya perkena Ais Kacang (ABC) di Taiping.

Memang betullah anak aku seorang tapi anak-anak aku ramai!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar,blogspot.com/

Hari ini Isnin 12-Okt-2009


Hari ini Isnin 12-Okt-2009

1. Seawal jam 4.30 pagi aku telah keluar rumah. Biasanya kalau Sabtu dan Ahad aku mengajar sama ada di Kuala Lumpur, Prai atau Miri, hari Isninnya baru bermalasan berperjalanan pulang ke rumah di Taiping. Keesokan harinya Selasa barulah aku bermalasan pula pulang ke Sintok.

2. Hari ini seluruh warga UUM akan keluar mengundi. Begitu juga dengan semua warga-warga IPTA yang lain di Malaysia. Kebetulan pula hari pengundiannya hanya selang sehari dengan hari pengundian DUN 31 Bagan Pinang. Kebetulan pula aku dilantik menjadi Pegawai Pengurus Pemilihan. Kebetulan pula aku pernah dua kali menjadi kerani Pusat Pengundiaan semasa Pemilihanraya Umum Malaysia di Kamunting dahulu.

3. Hari ini juga aku menyambut hari lahirku yang ke 42. Sebelum tidur semalam, anak jantan aku itu menyuakan sekeping kad dan sebungkus hadiah berbalut. Seperti biasa tertera dalam kad itu dua ucapan dari anak jantan seorang aku dan juga dari isteri seorang aku itu.

4. Sewaktu aku menaip posting ini, aku keseorangan dalam bilik pejabat aku. Walaupun hari ini hari cuti perjalanan aku, aku lebih rela bersendirian di dalamnya. Di dalam email aku diucapkan, dalam "pigeon hole" terselit kad ucapan dari ketua jabatan. Adakah mereka yang menghantar ini mengenali diriku? Ataupun hanya disediakan oleh kerani yang berkenaan.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com.com/

Musykil aku, kalau Pak Menteri menempelak pelajar-pelajar UM, UKM dan UPM yang berura-rura memboikot e-election dengan teguran mereka ini tidak celek arus IT, mengapa pula Pak Menteri yang sama membatalkan sistem e-election yang sepatutnya digunakan semasa pemilihan UMNO yang lalu!

Friday, October 09, 2009

Blog Izzuddin8084 berwajah baru


Blog Izzuddin8084 berwajah baru

A. Mengapa saya menukar template Blog Izzuddin8084 (satu lagi blog kendalian saya) ini?

1. Ada seorang pengujung (menggunakan nama ”student tua”) menegur blog Izzuddin8084 sebelum ini (template 1 column) dalan stail lama dan mencadangkannya kepada beberapa column.

2. Ramai pengujung blog ini terutama dari Batch 8084 yang mahukan lebih info dari mukasurat hadapan (merujuk kepada portal) dan keberatan untuk merujuk posting-posting lama.

3. Kebetulan dalam kursus blog yang saya kendalikan baru-baru ini menggunakan 4-column template sebagai tugasan.

Kursus blog? Ya, kursus blog!

Saya sebenarnya adalah spesis ”trial & error” dalam penghasilan blog ini. Entah mengapa bermula dari orang perseorangan sesama rakan pensyarah (malah dekan!) meminta saya menunjuk-ajar kepada mereka bagaimana untuk membina blog.

Kebelakangan ini pula saya acap-kali diminta mengendalikan kursus asas membina blog. Pesertanya dari pelbagai lapisan dan lokasi. Terbaru kumpulan pemuda dari parti dot, dot, dot meminta saya mengendalikan kursus ini. Pada masa yang sama pihak dari parti dot, dot, dot (yang berbeza pendirian) juga merisik-risik saya.

Bagi saya ilmu wajib dikongsi.

Mengapa saya mengajar?

Dalam masa saya mengajar; saya belajar!

Sebelum ini saya hanya memblog dengan menggunakan template 1-column. Tetapi dalam satu tugasan bersama peserta-peserta kursus blog yang saya kendalikan baru-baru ini, kami (sudah tentu saya juga!) berjaya menghasilkan blog template 4-column.

Itulah hikmah mengajar!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Wednesday, October 07, 2009

Album Dari Rakyat Untuk Rakyat


Album Dari Rakyat Untuk Rakyat

Harga RM20.00. (+ RM 5.00 untuk kurier)

Untuk tempahan sila email;
meor67@yahoo.com, ratabratip@gmail.com atau amin@aminiskandar.com.

Sumber di sini.

Tuesday, October 06, 2009

Setahun sekali bila nafsu menjadi raja!





Setahun sekali bila nafsu menjadi raja!

Malam ahad lepas aku, isteri aku seorang itu dan anak jantan seorang aku itu ke Gerai Haram William di Taman Mayang Jaya, Petaling Jaya.

Sudah lama tak menjejak kaki di sini! Paling akhir rasanya pertengahan tahun lepas.

William sudah pasang menu tapi hanya Papan Hitam Sekolah warna hijau ditulis dengan kapur! Menarik juga!

Aku tanya William, bila hang jadi Cikgu sekolah?

William jawab; itu papan tanda parti dot, dot, dot kalau ada hajat nak bubuh iklan!

Seperti biasa favourite kami tiga beranak ialah Seafood Creamer dan Mixed Grill. Air pula Ribena biasa gelas kecil (bukan Ribena Longan) dan Fresh Orange taruk Longan dalam botol jem serta Ais Kosong 3 gelas. Mulanya nak tambah order Lasagna tapi cancell sebab sudah terbelahak!

Kesedapannya? Menjilat jari! Harganya? Dekat 10 jari!

Tengah malam (sebenarnya awal pagi) kami tiga beranak perkena pula Roti Canai Sedap di Warung Valentine Jalan Semarak, KL depan Menara Celcom.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Klik di sini untuk panduan ke Geram Haram William Taman Mayang Jaya ini

Sunday, October 04, 2009

Janji tinggal janji…………


Janji tinggal janji…………

Sememangnya saya pernah berjanji ketika remaja dahulu, apabila saya sudah mempunyai kenderaan sendiri. akan saya tumpangkan sesiapa saja yang saya jumpa mengembara di jalanan sambil mengacukan ibujari mereka minta ditumpangkan.

Tapi janji tinggal janji sahaja! Kini saya tidak berdaya memenuhi janji yang saya pernah lafazkan itu. Kecurigaan sentiasa di benak hati saya untuk menumpangkan pengembara-pengembara jalanan ini.

Itulah juga yang saya tulis dalam artikel asal yang diminta oleh wartawan NST ini. Tetapi kerana kekangan ruangan (sebenarnya kesemuanya ada 15 gambar!), beberapa perenggan terakhir tidak dapat dimasukkan.

Janganlah pula selepas ini ada yang menuntut janji ini.

Maafkan saya!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

Klik di sini untuk artikel asal.