Saturday, November 21, 2009

Ubi Rebus dengan Daging Salai



Ubi Rebus dengan Daging Salai

Aku baru naik bilik setelah bersarapan lewat. Sarapan di Hotel Mega Miri ini biasa-biasa saja. Tapi menu Ubi Rebus dan Daging Salai ini tidak jemu-jemu aku memakannya.

Sarapan tadi aku hanya minum dua cawan teh, sekeping roti, 2-biji telur suku masak, semangkuk bubur nasi dan “dua kali tambah” Ubi Rebus dan Daging Salai ini. Diakhiri dengan seulas nangka, sebiji rambutan, sehiris tembikai, sehiris honey dew dan segelas Jus Nenas.

Menu beratnya seperti Nasi Goreng, Beehon Goreng, Ayam Kurma dan Sayur Campur aku tolak tepi. Melihatnya saja sudah tidak teringin!

Semasa menjamah Ubi Rebus dan Daging Salai ini tiba-tiba aku teringat
Maklong Huduh aku di Batu Kurau. Seingat-ingat lupa aku semasa kecil-kecil dulu seringkali juga akan makan Daging Salai di rumahnya. Daging Salai itu dibalut dalam upih nyior dan disimpan dalam bakul raga yang diletak atas alang rumah dapur.

“Itu peti sejuk Maklong tu!” ingat lagi aku seloroh Maklong.

Sebenarnya Daging Salai itu disimpan untuk bekalan musim hujan bila batang getah tak boleh “disembah”, bila sungai tak boleh dipukat, bila kebun tak boleh dijenguk. Tapi kerana aku adalah anak saudara kesayangannya, sudah pasti aku merasa Daging Salai itu tidak kira masa.

“Kenapa sekarang Maklong dah tak buat Daging Salai?’ tanya aku pada Maklong Huduh baru-baru ini.

“Rumah Maklong la ni mana ada alang dah nak simpan bakul raga isi Daging Salai tu. Lagipun peti ais dah ada, Kak Hawa mu simpan daging mentah dah lah!”, jawab Maklong.

Rasanya di Hotel Mega Miri inipun tak ada alang tak simpan bakul raga isi Daging Salai itu. Peti ais di hotel ini mesti punya nala besar dia untuk simpan daging mentah. Aku mesti beritahu Maklong Huduh supaya dia buat balik Daging Salai itu.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: