Sunday, February 21, 2010

Kaya Orang Melayu!



Kaya Orang Melayu!

Kata Dr Rozmey, "saya amat beryakinan tinggi 2 Alam mampu mengutip RM 12 juta kerana filem ini bukan dibuat main-main."

Kata Datuk Raja Non Chik Zainal Abidin, "perkiraan itu berdasarkan nilai keseluruhan perkampungan berkenaan selepas dibangunkan yang dianggarkan RM20 billion dengan dibahagikan kepada kira-kira 5,000 pemilik, jadi RM4 juta seorang."

Kaya Orang Melayu!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Saturday, February 20, 2010

Pelbagai menu sarapan




Pelbagai menu sarapan

Menu berat seperti Nasi Goreng, Behoon atau Ketiaw Goreng untuk sarapan di Hotel Mega Miri tidak begitu menepati cita-rasa saya tetapi menu sampingannya memang sedap.

Saladnya ada pelbagai. Ada Urap Jagung dengan Anggur dan Kismis! Walaupun tiada Kelapa Parut bergaul Gulam/Garam, Urap Jagung ini memang sedap dijamah dengan ramuan Salad yang lain.

Buah-buahan pencuci mulutnya hebat! Rasanya di sinilah hampir semua buah-buah tempatan pernah dan selalu dihidangkan kecuali durian! Pagi ini sahaja ada Buah Naga (jenis Merah dan Puteh), Jambu Batu, Tembikai, Betik, Nenas, Mata Kucing dan Cempedak.

Ianya dihidangkan tidak serentak. Habis satu jenis akan digantikan dengan buah jenis yang lain.

Bulan lepas saya bersarapan dengan Nangka dan Rambutan.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Bersarapan dengan Porridge


Bersarapan dengan Porridge

Inilah satu-satunya sarapan di hotel yang tak pernah aku jemu-jemu. Ada yang panggil Bubur Nasi. Ada yang panggil Porridge.

Entah mengapa inilah kegemaran aku dari semenjak kecil lagi. Seingat-ingat aku mula suka sangat makan Bubur Nasi ini semasa ”bergelandangan” di KL pertengahan 80an. Dua tempat menjadi tumpuan geng motor ketika itu. Satu di Chow Kit dan satu lagi Bangsar. Kalau di Bangsar di hadapan KFC itu menunya lengkap dengan Ikan Bilis Goreng, Lobak Asin yang dipotong kiub kecil, Kangkung Goreng, Telur Masin, Ikan Isi Jeruk dan beberapa lauk tambahan lagi. Ramai juga selebriti-selebriti terkenal masa itu makan di sini. Tetapi rasanya sudah tak ada abang penjual bertopi seiras Ito, Blues Geng sekarang ini.

Awal tahun 2000 dulu ada kawan kepada kawan bawa aku makan malam Bubur Nasi Berlauk di gerai papan di tepi jalan di KL. Tempatnya aku tak pasti. Rasanya macam Kampung Baru tapi mungkin tempat lain. Apa yang ingat dekat dengan traffic light dan terpaksa buat u-turn. Di sini Bubur Nasi dihidangkan dengan pelbagai lauk-pauk ikan, ayam dan daging!

Di Hotel Mega di Miri ini Porridge-nya tidak terlalu lembik seperti di tempat lain. Aku lebih suka yang lembik. Tapi di sini ramuannya hebat. Ikan Bilis Goreng jenis halus. Lobak Asinnya tidak terlalu masin. Begitu juga dengan isi Ikan Masinnya. Pokocok-nya tidak keras. Minyak Lenga-nya ada dua jenis. Di sini satu-satunya Porridge yang pernah aku jumpa ada Telur Rebus. Malah di sini juga Prridge dihidangkan tanpa Daun Sup.

Macamanapun Porridge ini masih tidak dapat lawan Porridge yang dimasak dengan Udang dan campuran irisan daging yang selalu aku
makan di rumah.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangtbesar.blogspot.com













Minum petang di Pekan Changlung







Minum petang di Pekan Changlung

Kalau anda dalam perjalanan ke Bukit Kayu Hitam (Danok/Hat Yai?) atau ke Padang Besar ataupun Langkawi dan melalui Pekan Changlung bolehlah singgah minum petang di Warung Mee Mohd Ali atau Warung Mee Kari Ghulam.

Warung Mee Mohd Ali ini terletak bersebelahan Public Bank di belakang Restoran Hameediah Pokok Ceri di persimpangan lampu isyarat Pekan Changlung.

Selain terkenal dengan Mee Gorengnya, menu Mee Rebus dengan hirisan daging juga digemari ramai.

Bersebelahan warung ini juga terdapat sebuah gerai menjual Pisang Goreng dan beberapa gorengan lain seperti keledek, sukun, cempedak dan lain-lain buah mengikut musim.

Bersebelahan Pasar Basah Changlung pula terdapat Warung Mee Kari Ghulam. Selain Mee Kari saya juga suka makan Ketiaw Ting di sini.

Kedua-dua warung ini ditutup pada hari Rabu memberi ruang untuk peniaga Pasar Malam.

Warung Mee Mohd Ali berniaga bermula jam 4 petang hingga waktu Magrib. Manakala Warung Mee Ghulam dibuka awal pagi sehingga tengahari dan tutup seketika sebelum dibuka semula jam 5 petang hingga waktu Magrib.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/


Friday, February 19, 2010

Bila ayah nak kerja kilang semula?


Bila ayah nak kerja kilang semula?

Itulah yang terpacul dari mulut anak jantan aku seorang itu apabila selesai menonton tv siries CSI: Crime Scene Investigation semalam dengan episod teraju utamanya Dr. Raymond Langston (Laurence Fishburne) menggantikan Gil Grissom (William Peterson).

Secara jujur saya lebih mengkagumi ketelitian Grissom, tetapi dua tiga episod kebelakangan ini mula menonjolkan watak Dr. Langston terutama episod minggu lepas menunjukkan beliau menunggang sebuah superbike.

(Fishburne sebelum ini lebih terkenal dengan watak Morpheus dalam filem The Matrix.)

Dalam episod perkenalan di mana Grissom dan pasukannya menyiasat satu kejadian peniruan pembunuhan bersiri yang melibatkan salah seorang seorang pelajar Dr. Langston, saya sudah mengagak Dr. Langston akan menyertai CSI dan mengambil-aleh tempat Grissom.

Dari seorang pakar bedah dan pakar DNA, Dr. Langston menukar karier sebagai Pensyarah di sebuah kolej dan seterusnya mengembangkan kepakarannnya menyelesaikan kes-kes forensik dalam CSI.

Adakah aku seorang pengamal OSH yang menukar karier sebagai Pensyarah di sebuah IPTA akan kembali mengembangkan kebolehan aku menyelesaikan permasalahan-permasalan berkaitan OSH di industri?

Itulah yang ditanya oleh anak jantan aku seorang itu yang mempunyai minat sama menonton siri-siri CSI ini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Kalau aku lebih mengkagumi Grissom (kini Dr. Langston), anak jantan aku seorang itu pula meminati Detektif Mac Taylor (Gary Sinise yang terkenal dengan Leftenant Dan dalam Forest Gump) dalam CSI:NY, manakala orang rumah aku seorang itu meminati ke-cool-an Horatio H Caine (David Garuso) dalam CSI:Miami.

Syurga buku di Chow Rasta













Syurga buku di Chow Rasta

Ada yang memanggilnya Bazar Chow Rasta dan ada yang memanggilnya Pasar Chow Rasta. Kalau pergi Penang tak beli Jeruk Pala di Chow Rasta macam tak sah pergi Penang. Itu kata orang dulu-dulu, sekarang di Chow Rasta bersepah pelbagai jeruk dari dalam dan luar negara. Malah jeruk-jeruk ini juga boleh didapati di mana-mana ceruk merata tempat sekarang ini di Malaysia.

Sebenarnya pagi tadi aku ke Pasar Lambak Rope Walk di Lorong Kulit belakang Stadium. Entah mengapa Apek Buku Lama dan Ane Buku Lama itu tidak meniaga hari ini. Setelah pusing lebih kurang 15 minit, aku terus ke Chow Rasta.

Semasa aku belajar di USM Penang dahulu di tahun 1995 dan 1996 (2 tahun di USM Penang, 3 tahun di USM Tronoh dan 3 tahun di USM Transkrian), di Chow Rasta inilah tempat aku membeli buku-buku Engineering. Kebanyakannya buku terpakai tetapi masih dalam keadaan baik. Malah buku-buku yang masih berbalut plastikpun banyak. Jangan hairan kalau terjumpa buku-buku bercop perpustakaan. Tidak pasti sama ada buku-buku bercop perpustakaan ini dicuri keluar ataupun memang buku-buku yang telah dilupuskan.

Berbeza dengan buku-buku atau majalah yang dilambak berselerak di Rope Walk, buku-buku di sini tersusun kemas dan rapi. Kebanyakannya tidak boleh dijangkau oleh pelanggan. Tetapi dengan bantuan penjual, sebarang jenis dan tajuk buku boleh dikenalpasti dengan mudah dan segera.

Sebut sahaja nama buku atau jenis buku, peniaga-peniaga “senior” ini seolah-olah perpustakaan yang mempunyai sistem cataloging tersendiri. Malah kalau anda ragu-ragu mereka sendiri akan mencadangkan beberapa nama dan jenis buku.

Jangan terperanjat juga jika tingkah-laku anda menyebabkan mereka akan “menawarkan” buku-buku yang ehem-ehem isinya!

Kebanyakannya buku dalam Bahasa Inggeris. Tapi buku-buku dalam Bahasa Malaysia juga tidak kurang banyaknya.

Situasi penjualan sekarang nampaknya agak malap. Semalap deretan kedai-kedai lain di tingkat satu Chow Rasta ini. Kedai-kedai buku ini rasanya dimiliki oleh dua, tiga peniaga yang sama. Penjual-penjual kain baju dan kasut lainnya lebih banyak duduk dari melayan pelanggan.

Bagaimanapun harga-harga buku di sini jauh berbeza dengan harga di Rope Walk. Harganya agak tinggi menghampiri 75% nilai sebenar buku baru!

Aku terserempak dengan tiga kanak-kanak darjah 4 yang hendak membeli Kamus. Mereka membayar RM 9.00 untuk dua buah Kamus yang lusuh malah edisinya pula lama. Itupun jenuh aku membantu menawarnya dari harga yang diletakkan iaitu RM 14.00! Kalau di Rope Walk, aku hanya membayar sekitar dua atau tiga ringgit untuk sebuah Kamus sebegini. Malah di rumah dan di pejabat aku sekarang ini sudah ada lebih 10 buah kamus pelbagai penerbitan dan bahasa yang aku beli di Rope Walk.

Seperti biasa di bahagian hadapan Chow Rasta ini adalah peniaga jeruk-jeruk dan cenderahati. Di bahagian dalamnya ialah pasar basah menjual ikan dan sayur. Manakala di sebelah kanannya dahulu terdapat beberapa buah Restoran Nasi Kandar yang terkenal seperti Nasi Kandar Chow Rasta dan Nasi Kandar Globe, tetapi sekarang telah bertukar-milik dan menu ke Nasi Padang.

Sebelah tengaharinya pula hingga ke malam, di sini sibuk dengan gerai-gerai tepi jalan yang terkenal dengan Tauhu Rendang, Air Sarbat, Teh Halia, Laksa dan sebagainya.

Di sebelah kiri Chow Rasta pula kini terdapat beberapa peniaga Melayu yang menjual pelbagai jeruk-jeruk dan beberapa makanan tradisional Melayu.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/