Saturday, August 07, 2010

M. E. R. D. E. K. A























M. E. R. D. E. K. A

Saya mengenali dan menjadi rapat (bercinta?) dengan orang rumah saya seorang itu melalui aktiviti-aktiviti luar. Kami sama-sama aktif dalam pelbagai aktiviti terutamanya rekreasi seperti mendaki gunung, sukan terutama sukan bermotor yang sudah tentu salah satunya cub prix.

Saya juga aktif dalam kegiatan kerja sosial meliputi semua peringkat umur. Bagaimanapun semasa pengelibatan saya dengan kanak-kanak tabika di Taiping sebelum kami berkahwin, saya tidak berkesempatan berjumpa orang rumah saya!

Apabila telah berkahwin, pengelibatan saya lagi aktif dalam aktiviti kanak-kanak tabika ini. Sambutan kemerdekaan ini umpamanya adalah salah satu idea dan usaha saya bermula dari tahun 2000. Setiap tahun kami mengadakannya di Perpustakaan Awam Taiping. Bagaimanapun kebelakangan ini saya hanya bertindak sebagai jemputan dan hakim sahaja.

Selain dari pertandingan Koir Lagu Patriotik, kanak-kanak juga bersaing menunjukkan bakat mereka dalam mendeklamasikan sajak , poem dan bercerita. Poem dan bercerita menggunakan Bahasa Inggeris.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, acara berakhir dengan sambutan hari lahir kanak-kanak yang dilahirkan pada bulan Ogos.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/



SAJAK PATRIOTIK

1. Tabika Perpaduan Taman Mewah
Tajuk Sajak : Sumpah Anak Merdeka
Nama Peserta : Nur Farah Syahida Binti Sani


SUMPAH ANAK MERDEKA

Kau tidak dapat merasakan
Betapa manisnya buah kemerdekaan
yang kau semai dulu
Dengan perih jerih perjuangan mu
yang kini bercambah subur
Yang kini berbuah makmur

Tahun demi tahun
Semakin merimbun
Tumbuh membesar
Teguh mengakar

Menjadi milik kami generasi kini
Yang akan terus dipelihara dijagai
Dengan ikrar setia sumpah janji
Yang tidak sesekali dimungkiri

Disinilah nanti
Jatuh bangun kami
Hidup dan mati
Ditanah Pertiwi
Bumi yang dicintai


2. Tabika Perpaduan Kampong Boyan 1
Tajuk Sajak : Sumpah Anak Merdeka
Nama Peserta : Ahmad Nor Zikrie Bin Rozaini

Aku Anak Merdeka


Aku anak merdeka
Disini aku dilahirkan
Disini aku dibesarkan
Disini taat setia dicurahkan

Aku anak merdeka
Harapan nusa dan bangsa
Harapan ayahbunda
Air setitik menjadi tasik
Tanah sekepal menjadi gunung
Negeri bertuah ini
warisan nenek moyang
kaya dengan budaya

Aku anak merdeka
dihati semangat waja
Didada penuh satria
Ingin kubela nasib bangsa
Ini Tuah akan membela.


3. Tabika Perpaduan Kg. Pinang Seberang
Tajuk sajak : Merdeka
Nama Peserta : Muhamad Amsyar bin Mohd Suhaimi

Merdeka


31 Ogos..... kan datang lagi
Tarikh keramat
Yang takkan dilupakan
Kepayahan, kesusahan
hanya tinggal kenangan
kini..... tiada lagi semua itu
Kemewahan, kesenangan
Milik kita sekarang
Tak sabar rasanya
Akan ku sambutnya
Akan ku laungkan.....
Merdeka !! Merdeka !! Merdeka !!


4. Tabika Perpaduan Taman Yayasan
Tajuk Sajak : Merdeka
Nama Peserta : Muhammad Syahir Bin Ahmad Zaidi

M. E. R. D. E. K. A.


M, Malaysia kita ini yang merdeka dan berdaulat,
E, Ekonomi, pendidikan dan budaya asas kemajuan,
R, Runtuhkan rasa wasangka sesama warga,
D, Dirikan permufakatan untuk kejayaan dan maruah Negara,
E, Elakkan terjebak dalam mainan musuh,
K, Kawan-kawan semua, kita semua mesti bertanggungjawab,
A, Anugerah Tuhan yang mesti disanjung dan dipelihara

M. E. R. D. E. K. A.

Bukan sekadar ucapan tahniah tahunan,
Yang diulang-sebut hingga ke 53 sekian kalinya,

M. E. R. D. E. K. A.

Marilah kawan-kawan semua,
Kita menyebutnya di mulut dan,
Hayatinya dengan jiwa raga kita.



5. Tabika Perpaduan Kampung Boyan 2
Tajuk Sajak : Merdeka
Nama Peserta : Nur Syazira Binti Mohd Adni

Merdeka


31 Ogos
Kembali lagi
Kemerdekaan negaraku
Datang dan pergi

52 tahun aku kecapi
Aku nikmati
Aku hargai
Erti kemerdekaan

31 Ogos
Sejarahmu diputar lagi
untuk dikenang
Untuk dihayati

Wahai anak2 merdeka
Jadilah insan
Punya semangat juang
Seperti mereka
Yang tak pernah padam
Pertahankan warisan
Amanah cinta merdeka.

No comments:

Post a Comment