Tuesday, September 30, 2014
Menu bujang Kedai Siam ketika travel solo
Menu bujang Kedai Siam ketika travel solo
Ayat biasa
"Sini tak dop Tauge Ikang Masing!'
"Kailan Ikan Masin ada tak?"
"Kailang Ikang Masing ado"
"Masak sama cuma ganti Kailan tu dengan Tauge."
'Nanti sayo tanyo Tukang Masak."
"Tukang masak kato boleh"
Malam tadi special diet, Nasi Puteh + Tauge Ikan Masin + Kerabu Mangga
Gulai Kambing Nasi Jagung Yusuf Jan Changlung
Gulai Kambing Nasi Jagung Yusuf Jan Changlung
Dulu, Gerai Nasi Jagung Yusuf Jan ini tepi Hotel T (Tadop) sebelum Pekan Changlung selepas Petronas/Fly Over depan Balai Polis. Sebab itu hampir setiap hari, dari dalam perjalanan dari Taiping sebelum sampai tempat kerja, aku singgah breakfast (termasuk makan tengahari) seawal jam 7.00 pagi. Biasanya aku ambil Gulai Kambing yang sudah pasti pilihan aku portion Rusuk. Kalau jemu makan kambing, baru aku ambik angsa atau itik dan kadang-kadang ayam kampung.
Sekarang sudah pindah ke seberang jalan bersetentangan Masjid Changlung, selepas sekolah kalau dari Pekan Changlung. Sebab malas nak buat U-turn pada waktu pagi, aku hanya singgah bila nak balik Taiping sahaja. Bagaimanapun gerai baru ini lebih luas dan lebih selesa. Malah ruang letak kereta pun luas
.
Menurut Yusuf Jan yang mirip Ito, Penyanyi Blues tu, dia masak kambing seekor untuk 2 hari. Kalau hujung minggu boleh sampai 1 ekor sehari.
Menu lauk-pauknya berserta Nasi Jagung dan juga Nasi Puteh tesedia seawal 7.00 pagi dan berakhir sekitar 4 atau 5 petang. Cuma side dishnya ada 2 sahaja iaitu Jelatah dan Parpadom. Kadang-kadang ada Bergedel. Lain semua lauk-pauk.
Sunday, September 28, 2014
Pot baru di Prai
Pot baru di Prai
Selalu sebelum menoreh di Prai, sarapan dahulu di Medan Penjaja sebelah Market Seberang Prai. Biasanya perkena Tosai, Apom Manis dan Serabai. Pagi tadi parking sebelah Petron sesak dan Serabai tepi jalan pun tak ada jual. Cuba pot baru. Try perkena Nasi Kerabu. Tengahari nanti nak cuba Moi Sup Perut pula
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
Saturday, September 27, 2014
It is a journey not a destination
It is a journey not a destination
“It is a journey not a destination”, ianya perjalanan dan
bukannya destinasi.
Hari ini perjalanan dua beranak bagaikan berguru dengan
alam, cabaran adalah tugasan (ujian) dan kepuasan adalah keputusan
peperiksaannya.
Seawal pagi kami sudah menyedari tayar depan kekurangan
angin. Dua, tiga kedai motosikal di Kamunting dijenguk tapi masih belum berbuka
pintu. Menggunakan pam kaki yang dibawa, kami meneruskan perjalanan dengan
harapan boleh sampai di Pekan Batu Kurau untuk pemeriksaan seterusnya.
Di Batu 11 selepas Changkat Larah, kekurangan angin amat
terasa. Kami berhenti dan bercadang untuk menukar tukar tiub. Sebuah motosikal
(penunggangnya Abang Ali dari Sempeneh) berhenti menjengah kami. Memandangkan
aku tahu ada sebuah kedai motosikal di Batu 14 sebelah sungai, aku membonceng
Abang Ali ke sana.
Abang Ali menemankan aku menukar tiub di kedai tersebut dan
menghantar aku kembali ke Batu 11. Terima kasih Abang Ali. Rupa-rupanya Abang
Ali juga sedang berkira-kira untuk membeli Suzuki GT250 yang tersadai di Anak
Kurau. Aku pernah mempelawa tuan GT ini menjualnya kepada aku tetapi dia masih
sayang walaupun sudah tersadai dan banyak parts yang sudah hilang atau rosak.
Kami meneruskan perjalanan ke Batu Kurau. Sampai di pekan,
sebuah Exora menghonkan aku dari belakang. Rupa-rupanya kepunyaan bekas rakan
sekerja di kilang tayar dulu. Makan pagi percuma kami dua beranak dibelanja
oleh rakan ini. Ayahnya Bomoh Patah yang terkenal di Batu Kurau.
Kemudian kami mengekori geng scrambler ke Sempeneh. Mereka
ini adalah marshal acara basikal yang akan berlangsung di Batu Kurau esok. Kami
menempuh deruan hujan dalam perjalanan dari Sempeneh ke Astaka Batu Kurau,
tempat pendaftaran peserta.
Dalam perjalananan pulang ke Kamunting, GT meragam sikit
dengan tiba-tiba hilang kuasa. Rasanya overheating (?), jangkaan pam 2T tidak
berfungsi dengan lancar. Singgah sebentar Batu 11 berhampiran tempat tayar
pancit awal pagi tadi.
Rehat seketika di sebuah pondok bas sebelum meneruskan
perjalanan pulang.
Tidak sia-sia GT250 Model C (1978) The Sojer ini dilengkapi
dengan Beg Saddle dan peralatan asas menyenggarakan motosikal.
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
Friday, September 26, 2014
Pak Hashim (arwah), Roti Canai & Daging Cincang
Pak Hashim (arwah), Roti Canai & Daging Cincang
Bila umur sudah menghampiri jumlah jari sebelah tangan ini, dengan
kesihatan yang agak kurang memuaskan, banyak makanan yang cuba aku jauhi.
Mungkin sudah terlambat tetapi sekurang-kurangnya berharap agar kesihatan tidak
begitu terganggu di masa-masa mendatang.
Kadang-kadang ingatan dengan seseorang yang menyebabkan aku
menjamah semula sesuatu makanan itu. Pagi tadi dalam perjalanan ke Parit
Buntar, aku singgah di Restoran Selamat bawah flyover Bagan Serai. Minggu ini
aku berbendang semula setelah minggu lepas seminggu berterusan menoreh di Prai.
Tugasan bendang ini pula perlu dihabiskan sementelah big boss DOSH (semasa
presentation di Kuantan) telah memberi teguran walaupun membina tetapi agak
keras. Sesuatu yang perlu pasukan aku mengakui terdapatnya kealpaan kami
sendiri.
Restoran Selamat ini diperkenalkan kepada aku oleh rakan
sekerja di kilang tayar iaitu arwah Pak Hashim Abdul Rahman yang baru meninggal
dunia awal bulan September 2014 di rumahnya Kampung Pinang, Kamunting. Sebenarnya
pada awal tahun ini aku bertemu Pak Hashim di surau R&R Tapah Selatan. Selepas
solat Magrib, sempat aku bergurau dengannya, aku luahkan kekaguman aku terhadap
kelibat Pak Hashim yang sudah 2 kali pencen (pencen askar dan pencen kerja
kilang) tapi tampak gagah kalau dibandingkan dengan aku. Isterinya yang ada
bersamanya ketika itu hanya tersenyum mendengar kata-kata aku.
Aku tidaklah rapat sangat dengan arwah yang tugasnya lebih
sebagai pentadbir pejabat tetapi arwah banyak membantu aku terutama hal-hal
pentadbiran.
Arwah yang mengesyorkan aku menu Roti Canai dengan Gulai
Daging Cincang di Restoran Selamat ini. Rasanya kali pertama aku makan bersama
arwah sekitar pertengahan tahun90an. Walaupun sudah berberapa tahun
kebelakangan ini aku tidak lagi singgah di restoran ini, Roti Canainya dan juga
Gulai Daging Cincang ini masih terasa sama seperti dahulu. Taukenya masih sama cuma
penebar Roti Canainya sudah bertukar orang.
Jamahlah aku seorang diri Roti Canai bergu dengan Gulai
Daging Cincang sambil terkenangkan arwah.
http://orangecilorangbesar.blogspot.com/
Thursday, September 25, 2014
Nasi Lemak UK
Nasi Lemak UK
Biasanya di mana-mana Stesen Bas adalah nadi kehidupan di bandar.
Tetapi Stesen Bas Taiping kini hanyalah nadi yang tenat.
Bagi generasi lahir 60an macam aku, sudah tiga buah stesen
bas aku ketahui ujudnya di Taiping. Bermula sebelah Bangunan Larut Matang yang
semeriah-meriahnya sehingga era 90an. Kemudian berganti di tapak sekarang
berhampiran Pasaraya Taiping Jaya atau lebh tepat belakang Arkib Mara.
Sehinggalah pada awal 2000an terbinanya Stesen Bas Kamunting.
Hari ini kebetulan aku berkunjung semula ke Stesen Bas
Taiping. Paling akhir aku sini ialah September tahun lepas yang kebetulan bulan
terakhir kepada kebanyakan syarikat sebelum berakhirnya operasi perkhidmatan
bas ulang-alik mereka.
Tenatnya nadi stesen bas ini berjangkit ke perkhidmatan sokongan
sekeliling di stesennya. Hanya tinggal seuah dua sahaja gerai yang lesu
menungguh pelanggan. Makcik Penjual Kueh ini kelihatan selesu-lesunya. Bulan
September tahun lepas dia hanya mampu meraih tidak sampai RM 10.00 sehari,
tetapi sekarang tidak berani aku bertanya. Jam sudah hampir 12 tengahari tapi
kueh masih berbaki banyak.
Aku mengambil sebungkus Nasi Lemak yang bertulis UK dan dan
memesan secawan Teh-O. Harga sebungkus Nasi Lemak UK ini (Udang Kacang) hanyalah
70 sen dan secawan Teh-O hanyalah 80 sen.
Sampai bilakah nadi di sini akan berdenyut?
Tuesday, September 23, 2014
RUSH Niki Lauda & James Hunt
RUSH Niki Lauda &
James Hunt
Walaupun Formula One (F1)
adalah kemuncak acara motorsport, ianya bukanlah minat saya. Saya hanya sekali
shaja berada di Trek F1 Litar Sepang semasa berlangsungnya F1 Malaysia. Itupun
kerana saya bertugas di acara sokongan F1. Malah dalam siaran langsung di tv
pun tidak pernah saya menontonnya sehingga selesai.
Tetapi saya “tertengok”
film RUSH di Astro beberapa hari lepas dan terpaku sehingga selesai. Terasa
juga kehangatan di pipi walaupun tiada butiran air mata yang mengalir.
RUSH (2013) adalah film sport drama biographical
berkaitan dua orang pelumba F1 iaitu Englishman, James Hunt (Chris Hemsworth) dan Austrian, Niki Lauda (Daniel Bruhl)
RUSH memfokuskan F1 Musim 1976 di mana Lauda mendesak
komiti F1 membatalkan German GP susulan hujan lebat. Bagaimanapun desakan Lauda
untuk membatalkan perlumbaan di Trek Nurburgring yang sememangnya terkenal
dengan bahayanya diabaikan setelah Hunt menyakinkan komiti bahawa pembatalan
tersebut lebih menguntungkan Lauda yang telah mendahului kutipan mata.
Dalam perlumbaan tersebut, lengan ayun kereta Ferrari
Lauda patah dan menyebabkannya terbabas melanggar tembok lalu terbakar. Kepala,
muka serta paru-paru Lauda mengalami kebakaran darjah ketiga yang
menyebabkannya terlantar di hospital selama enam minggu.
Tanpa menghiraukan
nasihat doktor, Lauda kembali berlumba dalam GP Itali dan berjaya menduduki
tempat keempat dan mendahului pelumba lain dalam kutipan mata keseluruhan manakala
Hunt gagal menghabiskan perlumbaan.
Kemuncak musim 1976 ialah perlumbaan terakhir di GP
Jepun yang berlangsung dalam hujan lebat. Lauda menarik diri dalam pusingan kedua dengan alasan cuaca yang membahayakan
pemanduan. Hunt menamatkan perlumbaan tempat ketiga yang membolehkannya
bergelar juara musim 1976 dengan kelebihan satu mata sahaja di hadapan Lauda.
Walaupun bermusuhan di dalam trek, Hunt tetap
menghormati Lauda. Malah Hunt (selepas satu sidang media) membelasah seorang
wartawan yang dengan sengaja menyoal kesetiaan isteri Lauda, Marlene Knaus (Alexandra Maria Lara) dengan kecacatan muka Lauda.
Selain dari jalan cerita yang digarap dengan penuh
emosi, film ini dirakam dari sudut-sudut yang menarik (dari dalam dan sisi
kereta) penuh mendebarkan dan menaikkan adrenalin penonton terutama semasa
perlumbaan terakhir di GP Jepun.
Pastinya saya akan menonton lagi jika berpeluang. Bagi
saya Lauda dan Hunt ibarat perkisahan Hang Tuah dan Hang Jebat di mana Lauda
adalah Tuah dan Hunt adalah Jebat.
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
Wednesday, September 17, 2014
Getah Posman
Getah Posman
Hujung tahun 70an, getah
bulat besar ini sememangnya ditunggu-tunggu aku setiap kali melintasnya Pakcik
Rani, posman berbasikal di kampung aku ini.
Kadang-kadang (sebenarnya
kebiasannya) tiada surat pun yang diterima. Aku tanpa malu-segan akan menghulurkan
tangan kepada Pakcik Rani.
Walaupun tanpa sepatah suara,
Pakcik Rani tahu apa yang aku inginkan. Biasanya dia tidak menghampakan dengan
memberikan aku seutas getah bulat besar ini.
Ketika remaja, aku pernah
menjelajah pekan Taiping mencari kedai yang menjual getah bulat besar. Hampa
bila dimaklumkan tiada yang menjualnya.
Hari ini aku menerima sebeban
surat yang diikat dengan getah bulat besar ini.
Inilah alat permainan aku
semasa kecil sehingga belasan tahun. Pakcik Rani (arwah) bagaikan “Santa claus”
pada aku dengan basikal ada begnya, cuma dia tidak berjambang sahaja.
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com
Monday, September 15, 2014
Program Amal Transformasi Hero To Super Hero, Pusat Jagaan Anak Yatim & Miskin Nurul Iman Kamunting, Perak 13 – 14 September 2014, Hotel Perdana Taiping
Program Amal Transformasi Hero To Super Hero, Pusat Jagaan
Anak Yatim & Miskin Nurul Iman Kamunting, Perak 13 – 14 September 2014,
Hotel Perdana Taiping
Alhamdulillah selesai sudah Program Amal Transformasi Hero
To Super Hero, Pusat Jagaan Anak Yatim & Miskin Nurul Iman Kamunting, Perak
13 – 14 September 2014, Hotel Perdana Taiping kelolaan KOMUNITI amal TAIPING
(KaT).
Program ini adalah acara kemuncak projek KaT tahun 2014 ini
kepada Rumah Nurul Iman yang bermula dari akhir tahun 2013 (persediaan kembali
ke sekolah 2014), penambahbaikan infrastruktur asrama (sudut bacaan, ruang
tuisyen, ruang makan, tempat wuduk, wiring dan piping, dan water dispenser),
sahur/iftar sebulan Ramadhan 2014 dan persediaan raya.
Prelude program pada petang Jumaat 12 September 2014 dengan
sesi taklimat, penyerahan t-shirt acara dan peralatan lain.
Pagi Sabtu 13 September 2014 seawal 8 pagi, anak-anak ini
mendaftar diri Dewan Wawasan 5, Hotel Perdana Taiping. Program bermula dengan
taklimat keselamatan dan asas pertolongan cemas dan diikuti dengan LDK 1 iaitu
pembentukan kumpulan (rekabentuk nama dan logo serta identiti kumpulan) serta
pembentangan. Acara selingan ialah penyerahan sekeping”Biskut” kepada setiap
ketua kumpulan sebagai tanda simbolik barang amanah yang perlu dijaga sehingga
akhir program.
Program kedua ialah ceramah Kerjaya Sebagai Pensyarah dari Puan Siti Nurasyikin Bt. Shamsuddin, Pensyarah
UITM Seremban.
Acara perasmian
program dilakukan oleh Tuan Hj. Ust. Mat Isa B. Adam, Pegawai Penyelaras Masjid
Daerah Taiping. Seterus makan tengahari dan diikuti Solat Zohor.
Acara sebelah petang hari
kedua bermula dengan LDK 2 iaitu deklarasi cita-cita serta impian anak-anak
ini. Ada cita-cita dan impian anak-anak ini yang begitu sayu untuk dibaca oleh
fasilitator, dengan target mereka sekadar untuk berkunjung tempat sekitar
Taiping sahaja. Anak-anak ini kemudiannya dicabar untuk mendapatkan kembali
kertas cita-cita dan impian mereka yang telah ditampal di abahagian tinggi di
dalam dewan.
Acara selingan ketiga
ialah pemeriksaan identiti kumpulan barang amanah “Biskut”. Ada kumpulan yang
sudah kehilangan tali riben identiti kumpulan dan ada “Biskut” yang sudah
pecah. Setelah denda dikenakan kepada kumpulan yang berkenaan, program
diteruskan dengan LDK 3.
LDK 3 kemudiannya
berbentuk kerjasama kumpulan untuk membentuk satu rantaian dari kertas yang
boleh dimasuki oleh semua peserta. Jika LDK 1 ada anak-anak (terutama Tahun 1
dan 2) yang masih tidak berani bercakap di khalayak ramai, LDK 2 ini terdapat
anak-anak yang dikenalpasti cepat putus asa dan tidak boleh menerima kekalahan
semasa bertanding.
Acara selingan kedua hari
pertama ialah beramai-ramai mengecop tangan (hand/palm print) di atas sepanduk
sebagai tanda solidariti kebanggaan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia serta solidariti
simpati/takziah kepada mangsa MH370 dan MH17.
Acara selingan ketiga
ialah acara menyambut hari lahir dengan sumbangan kek hari lahir dan cup cake
sumbangan.
Acara seterusnya ialah
minum petang, Solat Asar, riadah di kolam renang sebelum makan malam dan
diikuti Solat Magrib. Kuliah Magrib oleh Tuan Hj. Ust. Mat Isa berbentuk santai
motivasi bertemakan persaudaraan dan persahabatan.
Selepas kuliah,
anak-anak berpeluang berkongsi kerjaya sebagai jurutera yang disampaikan oleh En.
Mohamad Redzuan B. Hj. Abdullah Zawawi , Penolong Pengurus Jabatan Kejuruteraan,
Silverstone Berhad.
LDK 4 sebelah malam
berbentuk permainan cabaran menyampaikan maklumat bertulis dan bergambar.
Walaupun rata-rata anak-anak ini bersemangat menjayakan LDH 3 ini terdapat juga
ahli pasukan yang menyalahkan ahli lain yang tidak dapat menyampaikan maklumat
yang tepat. Malah masih ada lagi ahli yang cepat putus asa dan enggan
meneruskan cabaran.
Selepas minum malam
dan Solat Insyak, semua peserta berehat menyegarkan badan untuk acara keesokan
hari.
Hari kedua bermula
dengan Kulian Subuh oleh Tuan Hj. Ust. Mat Isa yang masih berbentuk santai
motivasi dengan bertemakan buang sifat buruk dan simpan sifat baik serta
mengingati/menyayangi diri sendiri, ibu/bapa dan keluarga walaupun sudah tiada.
Selepas sarapan pagi, dalam
LDK 5 anak-anak bergabung tenaga untuk merekabentuk bekas telur yang akan dapat
mengelakkan telur pecah jika dijatuhkan dari tempat tinggi serta diikuti
perbentangan. Masih ada ahli-ahli yang tidak bersatu-padu menyebabkan ada telur
yang pecah sebelum bekas telur dibuat lagi. Alhmadulillah semasa perbentangan,
sudah ternampak aura anak-anak ini yang mampu bersuara di hadapan khalayak
ramai. Ujian Pecah Telur yang pertama menyaksikan ksemua bekas telur yang
direka oleh 4 kumpulan ini berjaya. Fasilitator mengadakan ujian kedua dengan
peralatan hanya cawan kertas dan surat khabar. Ujian kedua hanya sebuah
kumpulan sahaja yang berjaya merekabentuk bekas telur yang mampu menahan telur
itu dari pecah selepas dijatuhkan dari tempat tinggi.
Acara selingan ialah
group photo anak-anak sebagai tanda solidariti kebanggaan Hari Kemerdekaan dan
Hari Malaysia serta solidariti simpati/takziah kepada mangsa MH370 dan MH17.
Seterusnya diikuti
dengan penyerahan cenderahati dari anak-anak kepada semua guru-guru dan ustazah
yang mengajar tuisyen, fardhu ain dan mengaji kepada mereka. Kemudian anak-anak
bergambar dengan semua guru-guru dan ustazah, fasililator dan komiti yang
terlibat sebelum mendaftar keluar daro hotel.
Program bersambung
dengan piknik makan tengahari di Taiping Lake Garden. Acara piknik dimeriahkan
dengan kehadiran Bobo Clown (019 5545521) yang mengenakan hanya separuh bayaran
dari kadar biasa. Di samping anak-anak berpeluang bermain Bubble Giant yang
ditaja oleh Giant Bubble Putrajaya (013 5016267). Selain dari Nasi Ayam,
anak-anak juga menerima sumbangan ais krim dan Burger Bakar Tuu! Diaaa! yang
ditaja.
Pukul 2.00 petang
program Program Amal Transformasi Hero To Super Hero. KaT sebagai
penganjur dan pengelola program ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada;
Pengurusan Pusat Jagaan Anak Yatim & Miskin Nurul Iman
Kamunting, Perak yang mengizinkan kami menjalankan program ini,
Warga-warga Malaysia yang berkerja di Syarikat Aramco, Saudi
Arabia yang merupakan penyumbang utama program ini (dan juga program-program
lain di Nurul Iman),
Syarikat Superbike Crew yang menyumbangkan t-shirt hari
pertama,
Syarikat TWMR yang menyumbangkan caps (topi),
Syarikat Chuan Sin Berhad yang menyumbangan air minuman
Spritzer Pop Doraemon,
Giant Bubble Putrajaya
Nelson Supplier (Pengasah pensil)
Juga Hamba Allah yang menyumbangkan Burger Bakar, Pakaian
Dalam (singlet, seluar dalam, sapu tangan & stokin), Kek Hari Lahir &
Cup Cake, dan pelbagai sumbangan lain. Tidak dilupakan jutaan terimakasih
kepada semua media masa dan media sosial yang telah menyiarkan semua promosi
berkaitan program ini.
Hanya Allah sahaja yang mampu membalas sumbangan tuan/puan
dan kami serta anak-anak ini mendoakan agar tuan/puan sentiasa dimurahkan-Nya
rezeki. Amin