Thursday, May 12, 2016

Ada yang masih serba kekurangan











Ada yang masih serba kekurangan

Terkedu hati ini bila mendengarkan kata-kata salah seorang pelajar SK Assumption, Perai ini apabila ditanya gurunya mengapa tidak mahu menjamah Nasi Ayam yang diberi. Jawabnya, Nasi Ayam itu hendak dibawa pulang untuk diberikan kepada ibunya.

Teringatkan cerita dari Monier, NGO Warga Kilang. Dalam satu siri amal mereka di Baling sekitar pertengahan 2000, seorang anak asnaf tidak mahu menjamah ayam goreng KFC kerana ingin membawa pulang ke rumah berkongsi dengan adiknya tidak pernah makan ayam goreng KFC ini.

Pagi tadi seramai 61 orang pelajar SK Assumption, Perai dibawa oleh Skuad Senyum menaiki ETS dari Georgetown ke Taiping dan melawat Zoo. Ini adalah susulan dari program Free Canteen yang dianjurkan oleh Skuad Senyum awal tahun dahulu di sekolah yang sama. Semasa program tersebut, Skuad Senyum mendapat banyak maklumbalas mengenai pelajar-pelajar dari keluarga Poor Urban ini. Antaranya mereka tidak pernah menaiki keretapi walaupun sekolah mereka hanya bersebelahan dengan jalan keretapi. Malah ramai dari mereka tidak pernah keluar jauh dari persekitaran tempat tinggal mereka. Ada juga yang berterus-terang tidak pernah menjamah Milo, Juice Tembikai dan sebagainya.

Perancangan awal seramai 100 orang pelajar dari Tahun 1 hingga Tahun 6 akan mengikuti lawatan ini. Tetapi ramai ibu bapa atau penjaga yang keberatan untuk membenarkannya. Walaupun kesemua perbelanjaan ditanggung, ibu bapa atau penjaga ini tidak sampai hati melihat anak mereka turut serta dalam lawatan ini tanpa wang saku.

Usaha Skuad Senyum (berpusat di Alor Setar) ini amat membanggakan. Lawatan ini juga disertai oleh beberapa orang guru  dan Pelitawanis, badan amal TNB yang turut membuat sumbangan. Terima kasih kepada Hamba Allah warga Taiping (melalui Komuniti Amal Taiping) yang membuat sumbangan Nasi Ayam, Air Mineral, Ais Krim dan peralatan menulis kepada semua peserta lawatan. Rapid Taiping menyediakan perkhidmatan bas percuma dari Stesen Keretapi Taiping. Manakala ETS dan Zoo Taiping memberikan harga tiket istimewa.


*Tiba-tiba teringat kepada anak-anak yatim dan miskin Nurul Iman, Kampung Pinang sewaktu mereka menyertai Kem Jadi Diri anjuran Komuniti Amal Taiping (KaT) di Hotel Perdana Taiping pada tahun 2014. Dalam suatu latihan, semua anak-anak ini diminta menamakan tempat yang mereka ingin sangat untuk pergi melawat. Terkedu hati kami sebagai penganjur apabila membaca jawapan di dalam satu kertas yang diberi. Seorang anak itu ingin sangat melawat Muzium. Zoo dan Parit Buntar! Apabila ditanya mengapa? Jawabnya, dia tidak pernah keluar dari Taiping walaupun sudah berumur 10 tahun. Apabila ditanya cita-cita. Jawabnya (1) Polis, (2) Askar) dan (3) Nelayan! Rujuk link di sini.

No comments:

Post a Comment