NOSTALGIA Restoran Bismillah
Taiping
Rasanya sudah lebih 20 tahun
tak menikmati juadah di dalam premis makan lagenda di Taiping ini iaitu Restoran
Bismillah. Dua, tiga tahun lepas masuk sekejab jumpa kawan pelanggan tetap di
sini (Ali Motor) tapi tidak menjamah apapun.
Pagi tadi Emak beritahu Bapa (yang
sudah terlantar bedridden lebih empat tahun) teringin hendak makan Rendang Hati
di restoran ini. Malangnya hari ini tiada pula menu tersebut.
Sementelah masuk dalam restoran
ini aku terasa nak menjamah Roti Canai. Aku memesan Roti Canai dengan Kuah Dal
dan Daging Cincang. Kalau memesan Kuah Daging, hanya akan dihantar semata-mata
kuah ataupun terselit seketul daging sebagai syarat. Kalau memesan Daging
Cincang, dapatlah sepiring kuah dengan ketulan daging.
Menu yang sama dipesan ketika
80an dahulu (semasa sekolah menengah), ketika itu juga selalunya aku keseorangan
menjamahnya. Sekeping Roti Canai Garing dengan Kuah Dal dan Daging Cincang
serta secawan Teh Tarik. Semasa 80an dahulu set menu sebegini hanya berharga
tidak sampai pun RM 3.00. Tetapi hari ini set menu ini berharga RM 6.60 !
Semasa 70an (semasa bersekolah
rendah), inilah restoran mewah kepada keluarga kami. Setahun sekali Bapa bawa
kami sekeluarga Emak, Kakak, aku dan adik menjamu selera di sini. Kami “makan
luar”!
Paling menarik demi memastikan
kami menjamu makan dengan sepuas-puasnya, Emak akan bawa Nasi Puteh dalam
periuk berbalut tuala!
Kami menjamu selera di tingkat
atas. Ketika itu tiada lagi istilah Nasi Kandar atau Nasi Campur. Yang ada
hanyalah Nasi Hidang. Pelayan akan bawa banyak lauk-pauk dan sayur dalam piring-piring
kecil. Kesemuanya dihidangkan di atas meja. Bapa akan memilih dan mengasingkan
piring-piring lauk-pauk tersebut. Piring lauk-pauk yang hendak dimakan sahaja
dikekalkan di atas meja kami. Lauk-pauk lain diletakkan di meja bersebelahan
kami. Rupa-rupanya setelah dewasa baru aku tahu di Indonesia semua Nasi Minang
dihidang sebegini!
Menjamahlah kami dengan
sepuasnya. Kadang-kadang aku menjeling juga lauk-pauk yang diasingkan di meja
bersebelahan. Biasanya lauk udang, sotong dan ketam yang diasingkan Bapa! Aku hanya
menjeling tanpa bersuara. Menu ayam dan daging sudah cukup mengenyangkan kami
sekeluarga.
Itulah “makan luar” kami
sekeluarga dan hanya setahun sekali! Biasanya pada cuti sekolah bulan Disember.
Terima kasih Bapa! Membawa
kami “makan luar”. Terima kasih Emak! Bawa Nasi Puteh seperiuk untuk memastikan
kami makan dengan puas.
Klik di sini untuk satu lagi
catatan berkaitan Restoran Bismillah ini bertajuk “Kalau 80an dulu, Restoran Bismillah adalah “Taiping Central””.
Kalau 80an dulu, Restoran
Bismillah adalah “Taiping Central”. Tak sah kalau pergi Taiping tak turun di
hadapan Restoran Bismillah ini. Tak payah turun di “Bas Stand”, turun saja di
hadapan Restoran Bismillah ini.
Kalau mai pagi boleh perkena Bubur Gandum. Kalau rasa lapar walau sudah perkena nasi Goreng sepinggan bok Mak Andeh masak subuh sapie, boleh perkena Roti Canai dengan Daging Cincang dalam Restoran Bismillah.
Kalau mai pagi boleh perkena Bubur Gandum. Kalau rasa lapar walau sudah perkena nasi Goreng sepinggan bok Mak Andeh masak subuh sapie, boleh perkena Roti Canai dengan Daging Cincang dalam Restoran Bismillah.
Kalau mai belah matahari sudah naik sepengalah, boleh perkena Chendol Ais Sagat.
Lepas tu langkah jalan pergi “Market Ikan”. Kalau rasa hendak beli “Daging Sejuk”, boleh langkah lagi ke ‘Market Daging”. Kalau kuat berjalan boleh tengok kain baju di Bazar China. Tak pun belek kain pelekat di Kedai Pakistan,
Kalau lepas musim ambik padi, boleh kona ke Market Road bawa Mak Andeh belek seurat dua gelang mas.
Bila nak balik boleh singgah Bintang Tujuh tepi Market Daging beli barang dapur. Last sekali tunggu bas di depan Restoran Bismillah.
Semua ini sebelum jalan tepi Restoran Bismillah itu masih dua hala. Bas dari manapun mesti singgah di sini. Belakang restoran pula ‘Stand Teksi” (Taxi Stand?). Selepas jalan jadi sehala, Cnendol pecah kongsi, ada Chendol Bismillah dan ada Chendol Ansari. Masing-masing tuntut nama Chendol Bismillah Asli!
Kini Taiping Sentral di Jalan Istana Larut, tapak istana Syarifah Salmah, isteri Almarhum Sultan Idris, ibu kepada Raja Razman dan Raja Rashid, kawan aku itu.
Bas memang tak lalu dan tak singgah di Taiping Sentral ini. Pak Su Mat dari Bendang Luas, Ijok dan Mak Lang Hodoh dari Cheruk Pelanduk, Batu Kurau kena naik teksi kalau nak ke Taiping Sentral ini.
Nak beli ikan, daging dan barang dapur jenguk sahaja kat Tesco sebelah Taiping Sentral. Nak beli kain baju sehelai dua pun ada. Gelang mas dan rantai subang berlonggok-longgok ada.
Chendol dan Pasembor pun ada. Pasembor Kadir lagi pulak tu!
Restoran Bismillah tempat lepak budak2 KE tahun 1970an 1980an.. syok.
ReplyDelete