Sunday, December 25, 2016

Rezeki sebagai kolektor




Rezeki sebagai kolektor

Hari ini kenalan saya yang juga kolektor Volkswagen Kombi/Beetle yang terkenal telah menyerahkan Raleigh Winkie Tricycle miliknya secara percuma kepada saya. Malah beliau yang tinggal di Kuala Ketil sanggup datang ke Taiping untuk membuat serahan terus kepada saya.

Termasuk Raleigh Winkie Tricycle ini sudah dua buah basikal klasik yang pemilik-pemilik sebelumnya menyerahkan kepada saya secara percuma. Syarat dari mereka ini sama juga – jika saya tidak mahu atau tidak boleh menjaganya, serahkan kembali kepada mereka. Malah sekarang inipun saya sedang berurusan dengan seorang lagi pemilik basikal klasik yang berhasrat hendak menyerahkan basikalnya secara percuma juga kepada saya!

Sebelum ini saya juga mendapat sebuah motosikal lama Suzuki RC 110 yang juga diserahkan secara percuma oleh pemiliknya kepada saya setelah mengetahui saya berminat dan mempunyai koleksi motosikal lama.

Dahulu sekitar pertengahan 80an, saya amat cemburu apabila kenalan saya ketika itu, Dr Zaini Shaaarani memberitahu ada seorang kenalan yang baru dikenalinya di Terengganu, menyerahkan secara percuma kepadanya sebuah motosikal klasik Gilera 125. Motosikal itu setelah dibaik-pulih kemudiannya disimpan di dalam bilik tidur apartmentnya di Kelana Jaya!

Sekarang saya menunggu pula jika ada yang hendak menyerahkan secara percuma motosikal klasik British Norton Single atau kereta lama Ford Escort RS2000 Mark I.

*Myvi saya juga hari ini menambah satu lagi rekod persendiriannya. Sebelum ini Myvi ini pernah membawa motosikal Suzuki GT250, basikal Raleigh Rangler, Rangler RX, Foldable, Roamer dan Coastal, serta (selalunya) Kuwahara BMX, hari ini Myvi saya membawa Raleigh Winkie Tricycle!


Koleksi mini Raleigh setakat ini - Roamer, Rangler, Rangler MX, Costal dan Foldable. Terkini Raleigh Winkie Tricycle. Adakah Avante akan menyusul?



No comments:

Post a Comment