Wednesday, July 01, 2009

Pantang Larang Orang Melayu

Pantang Larang Orang Melayu

Sebulan dua ini ada saja edaran email panduan dan nasihat dari jabatan aku kepada semua kakitangannya. Biasanya mengenai ayat Al Quran dan Hadis. Tetapi semalam emailnya mengenai Pantang Larang Orang Melayu. Ada pula gambar pasai makan-makan ini. Eloknya rasanya kita berkongsi mengenainya.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/




Pantang Larang Orang Melayu

Orang Melayu pada zaman dahulu amat mementingkan adat dan sopan santun semasa makan sama ada di rumah ataupun di majlis-majlis keramaian. Ia bukan sahaja bertujuan untuk pengajaran tetapi juga untuk menjaga sopan santun orang Melayu. Sebagai contoh seseorang itu dilarang tidur selepas makan. Maksud di sebalik larangan ini ialah untuk pendidikan dan kesihatan. Kalau tidur semasa perut kenyang, makanan yang dimakan belum hadam. Ia akan melalaikan seseorang daripada melakukan pekerjaan lain dan juga sembahyang.

Berikut adalah beberapa pantang larang Melayu yang berkaitan dengan makan:

1. Makan mencangkung payah dapat rezeki.
2. Makan dalam belanga dapat anak rupa hodoh.
3. Makan beras mentah dapat penyakit kuning.
4. Makan telur tembelang dapat penyakit barah.
5. Makan kepala ayam nanti mengantuk semasa bersanding.
6. Makan sisa anak nanti anak menjadi degil.
7. Makan dalam pinggan sumbing dapat anak bibir sumbing.
8. Makan tak basuh pinggan nanti lambat dapat menantu.
9. Makan pisang kembar nanti dapat anak kembar.
10. Makan piggan bertindih nanti beristeri dua.
11. Makan sambil berjalan akan dapat penyakit perut.
12. Makan buah berangan songsang, nanti lambat dapat jodoh.
13. Makan nasi di senduk nanti payah dapat rezeki.
14. Tidur selepas makan nanti perut jadi buncit.

Selain pantang larang terdapat pula adab dan tatatertib yang berkaitan dengan makan. Antara adab dan tatatertib tersebut adalah seperti berikut:

• Ketika berkunjung ke rumah orang, apabila tuan menghidangkan makanan atau minuman, adalah tidak manolaknya. Jika kenyang sekalipun kita hendaklah setidak-tidaknya menjamah sedikit hidangan yang disajikan itu.
• Setelah makanan dihidangkan, pastikan orang yang lebih tua duduk dahulu kemudian baru diikuti oleh orang muda pula mengambil tempat masing-masing.
• Anak gadis pula dikehendaki menyenduk nasi ke dalam pinggan orang yang lebih tua.
• Biarkan orang yang lebih tua mengambil makanan dahulu kemudian barulah diikuti oleh orang muda. Adalah tidak sopan jika membiarkan orang yang lebih tua makan sisa orang muda. Maka itu sesetengah orang membuat peraturan supaya orang muda makan berasingan daripada orang yang lebih tua atau orang tua makan dahulu daripada orang muda. Bagaimanapun, amalan ini tidak begitu sesuai jika hendak menanamkan kemesraan dan semangat kekelugaan di kalangan anak-anak.
• Ketika makan seelok-eloknya ambillah makanan yang berhampiran dengan kita. Jangan menjangkau makanan yang sukar dicapai. Mintalah bantuan orang lain yang berdekatan jika kita mahukan makanan itu.
• Ketika menghulur atau menyambut makanan, sebaik-baiknya gunakan tangan kanan, tetapi jika tangan kanan kotor, bolehlah kita menggunakan tangan kiri.
• Semasa menghulur dan menyambut makanan, seelok-eloknya siku atau pergelangan tangan ditampung sedikit dengan tangan yang sebelah lagi.
• Semasa mengambil kuah atau nasi, gunakan tangan kiri supaya sudu atau senduk tidak kotor.
• Pastikan sudu, piring atau mangkuk tidak berlaga dan berbunyi ketika menyenduk. Ini dianggap kurang sopan dan kasar jika berlaku pergeseran antara sudu, piring atau mangkuk sehingga berbunyi.
• Ketika makan pula janganlah bercakap-cakap. Lebih-lebih lagi jika mulut penuh dengan makanan.
• Jika bercakap pun pastikan tidak menimbulkan perkara yang kurang menyenangkan sehingga boleh mengganggu selera makan orang lain.
• Jangan makan berbunyi, umpamanya menghirup minuman atau mengunyah makanan.
• Ketika orang lain sedang makan janganlah menghembus hingus, berkehak atau berludah.
• Jangan makan terlalu kenyang. Makanlah setakat mengenyangkan atau mengalas perut sahaja.
• Jika selesai makan terlebih dahulu jangan sekali-kali mengangkat pinggan dan meninggalkan orang yang sedang makan. Seelok-eloknya tunggu dan pastikan semua orang sudah selesai makan barulah bangun.
• Jika mahu mengemaskan tempat makan atau meja makan, pastikan semua orang sudah selesai makan. Tidak sopan jika mengemas ketika orang lain masih menikmati hidangan Jika dilakukan kita seolah-olah menyindirya supaya menghentikan makan atau melarangnya menghabis makanannya.
• Jangan pergi ke rumah orang pada waktu makan dan waktu maghrib. Ini mengganggu tuan rumah kerana mungkin dia telah memasak makanan cukup untuk keluarganya sahaja. Waktu maghrib pula adalah waktu sembahyang yang paling singkat dan kedatangan tetamu menyebabkan tuan rumah serba salah untuk meninggalkan tetamu keseorangan. Oleh itu seelok-eloknya datanglah selepas waktu sembahyang isyak.

Pantang larang ini diadakan bukan sahaja sebagai pengajaran tetapi bertujuan untuk menjaga tatasusila supaya kita tidak melakukan perkara yang kurang sopan. Orang Melayu memang terkenal dengan sopan santun mereka sejak zaman dahulu lagi. Maka itu diadakan beberapa pantang larang supaya ia dapat dikekalkan hingga ke generasi yang akan datang.

Habis.

No comments:

Post a Comment