Thursday, August 20, 2009

Into the wild




Into the wild

Mengembara melihat dunia luar adalah salah satu idaman aku. Malah semenjak berusia belasan tahun aku sudah mengembara hampir seluruh Semenanjung Malaysia. Semuanya dengan menumpang apa jua kenderaan yang sanggup memberhentikan kenderaan mereka apabila melihatkan aku mengacukan ibu-jari. Ya! Aku mengembara secara hitch-hike! Berkumpulan paling ramai 4 orang tapi kami berpecah menjadi 2 kumpulan dan kerap-kali aku hanya mengembara berseorangan.

Aku mula mengembara seawal 1980 semasa Tingkatan 1. Bermula dengan percubaan balik kampung dari Ipoh ke Taiping dan seterus pantang cuti sekolah ada saja perjalanan yang tidak dirancang.

Tahun 1983, kami berempat (aku, Abu, Zainal dan Kamarul) panjat pagar sekolah waktu malam dan menumpang pelbagai kenderaan (kereta, lori dan bas) untuk ke Pulau Pinang menyaksikan Penang GP. Untuk ke Batu 3, Shah Alam jauh! Ada bas ekspress yang berhenti mengambil kami di tengah malam tetapi menurunkan kami kemudiannya kerana pemandu mengenakan tambang! Berjumpa dengan seorang Cabin Crew MAS di Penang, siap belanja makan malam! Pelbagai lagi kenangan pahit dan manis dengan pengembaraan yang hanya membawa tidak sampai RM 10 seorang!

(Kalau 1983 ketika itu aku hanya melihat Bulldog Kuan, Presiden Penang Motors Sport Club menganjurkan perlumbaan, pada penghujung 80an aku sudah mula bergabung dengannya terlibat dalam penganjuran. Disember 2009 ini pula akan menyaksikan trek Padang Kota Lama itu direka-semula oleh aku untuk Pusingan Terakhir perlumbaan motosikal Petronas Cub Prix dan satu lagi acara kereta yang akan diumumkan kelak)

Kini, Abu mengajar di Kajang dan Kamarul di syarikat minyak Qatar. Manakala Zainal (Zainal K.S.Mohammad) masih belum dapat dihubungi.

Paling akhir aku mengembara secara hitch-hike ini ialah awal penghujung 80an. Bersama-sama Ampandi Omar (junior aku dan juga Juara Roda Impian) dan aruah Nailil Murad. Semasa itu aku bekerja di majalah Roda-Roda, manakala Ampandi dan aruah Nailil masih di maktab. Kami mengembara secara hitch-hike dari KL (Brieckfields) ke Teluk Kemang, Port Dckson setelah jemu asyik bermotosikal di hujung minggu. Dalam satu perjalanan tu, seorang wanita dengan anak kecil seusia 4, 5 tahun sanggup memberhentikan keretanya mengambil kami bertiga tanpa perasaan syak-wasangka!

Dahulu aku pernah berazam apabila dewasa kelak dan setelah mempunyai kenderaan sendiri, akan aku tumpangkan mana-mana pengembara hitch-hike ini. Tetapi azam hanya tinggal azam! Ada juga sekali-dua aku terserempak dengan pengembara hitch-hike ini sama ada orang asing atau tempatan tetapi perasaan keraguaan sentiasa ada di sanubari aku. Malah aku juga diberitahu banyak syarikat-syarikat lori ketika ini mengadakan polisi melarang pemandu mereka mengambil pengembara jalanan ini.

Dua, tiga minggu lepas, aku ”tertengok” cerita Into The Wild, arahan Sean Penn ini di Astro. Cerita ini berkisahkan anak muda Amerika, Christopher McCandless yang mengambil keputusan ”mencari kehidupan lain” dengan mengembara. Ini adalah kisah benar yang ditulis oleh Jon Krakauer berdasarkan catatan yang dibuat oleh Chris yang ditemui mati keseorangan dalam sebuah bas tinggal di laluan pengembara di Alaskan pada Ogos 1992.

Aku pernah mengambil keputusan untuk mengembara keluar dari Malaysia setelah gagal dari UM pada tahun 1987. Perbincangan juga telah dibuat dengan seorang editor Berita Minggu ketika itu kerana kebetulan sebelum itu Berita Minggu telah menyiarkan kisah pengembaraan aku secara bersiri untuk beberapa minggu. Aku memohon untuk mendapatkan sedikit bantuan kewangan bagi tiket kapalterbang. Malangnya perbincangan kami tiada keputusan dan aku terpaksa melupakan rancangan itu.

(Malang berganda juga apabila proposal aku yang bersertakan keratan akhbar siri-siri pengembaraan aku ketika itu hilang entah ke mana!)

Pengelibatan aku dalam sukan bermotor kemudiannya membolehkan aku melihat dunia luar. Setakat ini aku pernah melalui jalan darat sehingga ke sempadan Tibet melalui negara-negara Asean dan juga Asia.

Azam baru aku mungkin setelah ”berpencen” nanti aku akan mula mengembara semula. Mungkin tidak lagi secara hitch-hike tetapi sebagai backpacker. Sudah pasti antara destinasi terawal ialah Banjaran Himalaya.

Cuma yang menjadi persoalannya ialah bersediakah orang rumah seorang aku itu mengikutnya. Kalau ajak anak jantan seorang itu pasti jadi! Perancangan aku dengan anak jantan seorang itu sedikit berbeza. Teruja dengan siri tv, Long Way Down (Ewan McGregor dan Charley Boorman) yang mengembara dari Scotland ke Afrika Selatan merentasi 18 negara, aku bercadang untuk mengembara secara bermotosikal dengan anak jantan seorang aku secara ”Long Way Up” mungkin juga sampai ke Mekah untuk menunaikan haji, insya-Allah!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/


No comments:

Post a Comment