Sunday, August 16, 2009

Kaedah Meraikan Anak-Anak Yatim Berbuka Puasa

Kaedah Meraikan Anak-Anak Yatim Berbuka Puasa
Email Oleh : anuarani
Ramadan - Marilah beramal

Asalamualaikum wbt,

Bulan Ramadhan akan menjelang tidak lama lagi. Seperti biasa banyak syarikat, jabatan serta individu sibuk menyusun jadual berbuka puasa. Sudah menjadi kelaziman setiap majlis yang adakan antara yang dijemput adalah anak-anak yatim. Alhamdulillah dengan adanya jemputan maka dapatlah anak-anak tersebut bergembira menikmati juadah yang istimewa. Saat ketibaan bulan Ramadhan sangat-sangat dinantikan oleh anak-anak tersebut.

Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur yang saban tahun tidak pernah melupakan anak-anak yatim dalam penganjuran majlis mereka. Disamping dijamu makan anak-anak ini juga diberikan sumbangan yang berupa duit raya dan juga hadiah-hadiah yang lain.

Namun demikian ada beberapa perkara yang harus kita ambil kira. Ianya bukanlah satu peraturan yang harus kita patuhi tetapi hanyalah sebagai panduan.

1. Jangan memilih
Dirumah-rumah jagaan anak-anak yatim bukanlah semuanya dihuni oleh anak-anak yatim atau piatu sahaja. Terdapat juga anak-anak yang miskin dan anak-anak terbiar. Oleh yang demikian janganlah kita sebagai penganjur meletakkan syarat untuk menjemput anak-anak yatim atau piatu sahaja. Jemputlah semua anak-anak yang ada disitu.. Jangan dipinggirkan anak-anak yang lain. Jangan lupa juga untuk menjemput 3 atau 4 orang pengiring yang terdiri dari pengurus atau pekerja dari rumah tersebut.

2. Sediakan kenderaan atau tambang
Rumah-rumah anak yatim tidaklah mempunyai peruntukan yang besar bagi membiayai tambang atau sewa bas. Jika anda ingin menjemput mereka sediakan kenderaan yang sesuai. Atau jika mereka perlu uruskan sendiri pengangkutan, berikan sedikit peruntukan untuk sewa pengangkutan pergi dan balik. Jika syarikat atau jabatan anda memiliki bas sendiri adalah lebih baik.

3. Tempatkan mereka bersama tetamu anda yang lain
Jangan diasingkan anak-anak tersebut diruang yang khas yang berasingan dari tetamu lain. Tempatkan mereka bersama-sama tetamu lain. Mereka ingin sekali berinteraksi dan bermanja dengan orang lain. Adalah lebih afdhal jika mereka diselangselikan dengan tetamu disetiap meja.

4. Anak-anak yatim bukanlah bahan pameran
Seringkali berlaku anak-anak yatim ini akan dapat bertemu dengan tetamu khas seperti VIP atau artis ketika sesi bergambar atau sidang akhbar. Sebelum itu mereka ditempatkan dimeja barisan belakang. Mereka cuma dipanggil kedepan apabila tiba sesi bergambar atau ketika menjadi latarbelakang sesi fotografi artis.

5. Selera kita mungkin sama dengan selera mereka
Adalah tidak manis jika tetamu dihidangkan dengan makanan yang berbeza dengan anak-anak yatim.. Mereka juga ingin menikmati juadah yang istimewa seperti orang lain. Oleh yang demikian jangan diasingkan hidangan mereka dengan hidangan tetamu-tetamu lain.

6. Jika memberi hadiah, berilah kepada semua
Jika anda akan memberi sumbangan atau cenderamata berikan kepada semua mereka. Tentukan jumlah mereka yang akan hadir dan sediakan sumbangan atau cenderamata yang secukupnya. Selain dari wang mereka juga memerlukan pakaian dan alat-alat tulis.

7. Beri peluang mereka tunjukkan bakat
Kebanyakan rumah anak-anak yatim mempunyai pasukan kompang atau nasyid mereka sendiri. Selain dari persembahan artis jemputan, mereka peluang anak-anak ini menunjukkan bakat mereka. Mereka merasa dihargai jika diberi peluang memberikan persembahan mereka. Tapi jangan lupa memberi notis awal semasa mengundang mereka. Mereka juga mempunyai aturacara yang ketat sepanjang bulan ramadhan..

8. Jangan tahan mereka hingga larut malam
Anak-anak perlu menjalani tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Mereka perlu hadir kesekolah pada awal pagi. Oleh yang demikian jangan menahan mereka didalam majlis anda sehingga larut malam. Lepaskan mereka pulang lebih awal supaya mereka dapat bangun sahur dengan segar dan seterusnya dapat bersekolah esok paginya. Awalkan acara penyampaian sumbangan dan cenderamata.

Semoga apa yang dipaparkan diatas boleh menjadi panduan kepada kita semua dalam mengendalikan majlis-majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim kelak. Jika anda ingin membuat sebarang penambahan atau komen, dipersilakan.

Terdapat lebih 300 orang anak-anak yatim, piatu, anak-anak miskin dan terbiar dibawah naungan Yayasan Pembangunan Nur Hikmah di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak . Jika anda ingin agar kami menguruskan undangan bagi pihak anda sila hubungi kami di talian hotline kami 1700 800 020 atau hubungi Pejabat Yayasan Pembangunan Nur Hikmah 03-8733 2411 atau boleh terus hubungi rumah-rumah berkenaan seperti berikut :

1. Pondok Penyayang Raudah, Batu 11 Gombak, Selangor
No. Telefon : 03-61852068 (Ustaz Mukhtaruddin)

2. Asrama Anak-Anak Yatim Qanaah , Taman Greenwood, Gombak
No. Telefon : 03-61892001 (Puan Shamsiah)

3. Asrama Penyayang Nur Iman, Setapak, KL
No. Telefon : 019-2519082 (Ustazah Sharimah)

4. Persatuan Anak Yatim Flat Sri Sabah, Cheras, KL
No. Telefon : 012-2427558 (Puan Kalsom)

5. Rumah Jagaan Nurhikmah, Tmn Mesra, Kajang, Selangor
No. Telefon : 03-87396994 (Hj. Osman)

6. Asrama Anak-Anak Yatim Nurul Iman, Manjoi, Ipoh, Perak
No. Telefon : 016-5460071 (En. Khairul)

Terima kasih

* Anda juga boleh menaja sajian sahur untuk anak-anak yatim melalui Program Mangkuk Tingkat. Sila klik MangkukTingkat.com

-----------------------------------------------------

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah rumah yang ada anak yatim yang diasuh dengan baik dan sejahat-jahat rumah kaum muslimin adalah rumah yang ada anak yatim yang selalu diganggu dan disakiti hatinya." Riwayat Ibnu Majah

Huraian

i) Penghormatan dan bantuan kepada anak yatim mestilah dijaga terutama mereka yang terdiri daripada keluarga yang susah kerana anak yatim begitu memerlukan perhatian yang sewajarnya dalam meneruskan kehidupan sebagaimana yang dirasai oleh anak-anak yang lain. Mereka begitu rindukan belaian kasih sayang dan juga keprihatinan semua pihak agar mereka turut gembira.

ii) Rasulullah s.a.w juga merupakan anak yatim di mana bapanya Abdullah meninggal ketika umurnya 2 bulan dalam kandungan. Manakala ibunya Aminah pula meninggal ketika baginda baru berumur 6 tahun iaitu ketika usia seseorang itu dahagakan kasih sayang seorang ibu. Datuknya Abdul Muttalib turut meninggalkan baginda ketika usia baginda 8 tahun.

iii) Allah turut menyebut bagaimana keadaan nabi dan bagaimana pula Allah membantu baginda sehingga menjadi pemimpin yang teragung. Firman Allah dalam ayat 6 - 11 surah ad-Duha yang bermaksud :

"Bukankah Dia yakni Allah mendapati engkau wahai Muhammad yatim piatu lalu Dia memberikan perlindungan. Di dapatiNya engkau mencari-cari jalan kebenaran lalu Dia memberikan petunjuk. Didapati-Nya engkau miskin lalu Dia memberikan kekayaan. Oleh itu, janganlah engkau mengasari anak yatim. Jangan engkau menengking orang yang meminta pertolongan. Maka hendaklah engkau menyebut-nyebut nikmat Tuhanmu sebagai tanda syukur kepadaNya."

iv) Islam melarang umatnya daripada mengkhianati dan menghina anak yatim. Tetapi hendaklah memastikan agar hak mereka dalam memiliki harta, ilmu dan kasih sayang sentiasa terjaga. Pastikan mereka lahir sebagai anak yang soleh yang mampu membantu ibu atau bapa mereka yang telah meninggal dunia kerana sesungguhnya membiarkan mereka bererti kita telah mengkhianati agama dan menghina mereka bererti kita turut membenci Rasulullah s.a.w yang juga merupakan anak yatim piatu. Oleh itu bimbinglah mereka ke jalan yang diredhai Allah dan jauhilah mereka daripada jalan kesesatan. Allah telah memberi amaran melalui firmanNya dalam Ayat 1-2 Surah al-Ma'un yang bermaksud : "Tahukah engkau tentang orang yang mendustakan agama. Dia ialah orang yang menindas serta berlaku zalim terhadap anak yatim !"

-------------------------------------------------------
YAYASAN PEMBANGUNAN NUR HIKMAH
No. Pendaftaran : 646393-A
No. 16-3, Jalan Mesra Niaga,
Taman Mesra,
43000 Kajang,
Selangor Darul Ehsan.
Telefon : 03-87332411
Faks : 03-87332967
Laman web : http://www.nurhikmah.org.my/home/
EMAIL : presiden@nurhikmah.org.my

AMARAN :

Pihak Yayasan Pembangunan Nur Hikmah tidak pernah melantik mana-mana pihak atau mengeluarkan surat kebenaran atau apa-apa surat rayuan kepada pihak ketiga bagi memungut derma atas nama Yayasan Pembangunan Nur Hikmah atau Khidmat Nur Hikmah. Sebarang sumbangan hendaklah dibuat terus kepada Yayasan Pembangunan Nur Hikmah samada melalui cek atau secara online ke Akaun Maybank 564306010030.

Sebarang kemusykilan atau pertanyaan sila email kepada presiden@nurhikmah.org.my atau telefon 019-2158 827 (24 jam) .
Dipetik dari sini.

No comments:

Post a Comment