Monday, September 07, 2009

Tiada lagi “pemuas nafsu”!





Tiada lagi “pemuas nafsu”!

Hari ini hari ke 17 umat Islam berpuasa. Hampir setiap hari boleh dikatakan inilah menu tunggal pilihan aku tanpa jemu-jemu. Bermula dengan tiga Ramadhan pertama di sebuah hotel di Seberang Prai, aku membelinya di Pasar Ramadhan yang berdekatan. Kelas minggu berikutnya di Kuala Lumpur, aku membelinya di Pasar Ramadhan di perjalanan yang dilalui. Minggu hadapan ini akan berpuasa lagi di Seberang Prai dan pastinya menu ini tetap akan menjadi pilihan.

Bubur Lambuk atau setengahnya memanggil Kanji. Setiap hari di surau berselang empat rumah sahaja dengan rumah aku di perumahan di Kamunting ini akan mengedarkannya selepas Solat Ansar. Kalau jemu Bubur Lambuk Daging ini, aku ke Masjid Kamunting pula untuk Bubur Lambuk Manisnya. Di Masjid Kamunting ini Bubur Lambuk Manis ini diedar seawal selepas Solat Dzohor.

Lima, enam tahun kebelakangan ini aku hanya berbuka dengan Kurma, Bubur Lambuk dan Teh-O serta jika ada seketul dua kuih. Manakala anak jantan seorang aku itu dan orang rumah seorang aku itu mesti berbuka dengan nasi.

Kalau ada lauk kering seperti Ikan Bilis Goreng, Lobak Masin atau Telur Masin menjadi jugalah sebagai lauk tambahan Bubur Lambuk ini.

Nasi bagi aku hanyalah pada masa bersahur!

Mengapa ayah tak makan nasi? Tanya anak jantan seorang aku itu.

Sebenarnya sebelum lima, enam tahun ini aku berbuka mengikut nafsu. Air mesti sekole besar. Kalau bukan Air Tebu mesti Sirap Bandung ataupun Air Tembikai! Selepas Kurma mesti jamah kuih berat seperti Mee Rebus atau Meehoon Goreng. Kemudian bersambung dengan Nasi yang tak pernah cukup sepinggan mesti bertambah. Selepas Nasi berisi pula kuih ringgan seperti Cucur Badak atau Buah Melaka.

Kalau ke Pasar Ramadhan memang tak cukup jari di kedua-dua belah tangan untuk menjinjing pelbagai makanan ini.

Aku sendiripun tak boleh bayangkan bagaimana aku boleh menghabiskan semua makanan itu dalam masa setengah jam. Kemudiannya terlantar bersandarkan dinding ataupun “duduk dengan perut”!

Ini menyebabkan aku lebih suka berbuka di rumah sendiri. Kalau di hotel aku lebih rela berbuka di hadapan tv atau di celah katil di dalam bilik hotel! Kalau dijpanggil berbuka beramai dengan adik-beradik yang pulang bercuti di rumah orang tua aku ataupun mertua, aku menjadi serba salah. Terasa “lekat” di kerongkong untuk aku menelan nasi dan lauk! Tapi kalau Bubur Lambuk, boleh habis juga semangkuk!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Biasalah tiga bungkus itu diagihkan satu bungkus untuk rumah aku, satu bungkus untuk rumah orang tua aku dan sebungkus lagi untuk rumah mertua aku

No comments:

Post a Comment