Thursday, October 22, 2009

Pagi di Nat Arau, Tengahari di Anjung Keli dan Malam di Kedai Kopi Cerita







Pagi di Nat Arau, Tengahari di Anjung Keli dan Malam di Kedai Kopi Cerita

Pagi semalam kami tiga beranak di Nat (Pasar Pagi) di Arau. Ada temu janji dengan seorang peniaga di sana untuk mengambil 15 jersi bola pasukan anak jantan seorang aku itu. Harganya amat-amat menarik dan designnya juga hebat ada 3-line ala-ala Adidas lagi.

Tengaharinya kami ke Anjung Keli di Jalan Behor Pulai, Kangar. Belakang ILP Kangar. Biasanya kalau di Kangar kami ke Warung Pokok Sawa di Jalan Mata Air, Beseri. Tapi kunjungan pertama kali aku ke Anjung Keli bulan lepas dibawa geng-geng Kelab Sukan Motor Perlis sempena Cub Prix di Kangar ke sini menjanjikan diri aku untuk membawa isteri dan anak pula kelak.

Kunjungan pertama kali di bulan lepas itu jam sudah hampir pukul dua dan di dalam rintikan hujan sekejab lebat dan sekejab rintik. Pelanggan sesak! Mereka yang sedang menjamu mungkin berlengah-lengah menanti hujan reda.

Kunjungan semalam jam baru 11.45 pagi. Ruang parking masih lapang tapi di dalamnya sudah mula sesak. Agak payah untuk mengambil gambar di talam hidangan. Bersesak dengan pelanggan yang ”agak kepayahan” untuk membuat pilihan kerana menunya banyak.

Mungkin kerana namanya Anjung Keli, Ikan Kelinya dimasak dengan pelbagai menu. Ada bakar, goreng (garing!), goreng bercili dan gulai. Ada juga pelbagai ikan lain yang dibakar termasuk ayam dan daging yang dibakar, percik, goreng dan masakan berkuah. Begitu juga dengan pelbagai sayur kampung seperti keladi, nangka, umbut pisang, cendawan serta ulam-ulaman. Sambalnya pelbagai jenis termasuk Budu dan Cencaluk.

Kami makan bertiga, empat Nasi Puteh, tiga ekor Keli yang masing-masing digoreng garing, goreng bercili dan dibakar, sepinggan Daging Masak Merah, sepinggan sayur dicampur-campur, sepinggan pelbagai Ulam dan satu jag Sirap Lengkong. Selepas makan ditambah satu bekal bawa pulang botol besar Cola Radix dengan kesemuanya ialah RM 38.00.

Orang rumah aku seorang aku pula kemudiannya beli Jagung Rebus Sagat bergaul kelapa parut dan sebungkus buah-buahan potong campur. Pisang Goreng, pelbagai bubur dan tapai juga ada dijual untuk pembasuh mulut atau minum petang.

Menariknya juga di sebelah warung ini terletak Restoran Chicken Rice Kiosk dengan pelanggannya yang boleh tahan ramainya. Suatu pemandangan yang asing apabila melihat pekerja-pekerja di Restoran Chicken Rice Kiosk ini membawa pinggan sendiri datang membeli nasi dan lauk-pauk di Anjung Keli ini! Kadang-kadang kalau berniaga bersebelahan ini bukan sahaja tauke tapi antara pekerjapun turut bermasam muka!

Bulan depan hendak cuba Daging Bakar dan Ayam Percik pula! Parking juga agak bermasalah di sini. Kalau nampak sesak di perkarangan kedai, lebih baik parking di tepi jalan!

Malamnya dalam perjalanan pula ke Taiping, kami singgah di Bertam Perdana. Orang rumah seorang aku itu ada urusan dengan sepupunya iaitu Hajah Kamaliah, tauke R-Zac Cosmectic. Kebetulan selang sebuah dengan kedai R-Zac ini ialah restoran yang baru dibuka iaitu Kedai Kopi Cerita.

Semasa hendak membelok ke Bertam Perdana ini (belok ke kiri selepas rumah tol Bertam. Kalau ke kanan ke Warung Ikan Bakar Din Pekan Kepala Batas) aku sudah terpandang sebuah banner yang menyatakan tawaran RM 1.00 untuk secawan Kopi-O (atau Teh-O) dan seset Roti Kahwin, RM 2.00 untuk set Beehon Goreng dan RM 3.00 untuk set Nasi Lemak.

Rupa-rupanya hanya tawaran set RM 1.00 untuk sepanjang masa. Manakala tawaran set RM 2.00 dan RM 3.00 hanyalah untuk sarapan sehingga 11.00 pagi.

Sementara menunggu orang rumah aku seorang itu dengan urusannya, aku dan anak jantan seorang aku itu siap bedal dua set seorang Kopi-O dan Roti Kahwin.

Untuk makan malam, kami order Chicken Chop Black Pepper, Laksa dan Nasi Ayam. Menu yang diorder untuk makan malam biasa-biasa saja. Tapi Kopi-O sedap tak pahit seperti kebanyakan Kopi Thiam. Begitu juga Roti Kahwinnya amat enak.

Menariknya di Kedai Kopi Ceritanya ini pertugas lelakinya berkemeja puteh lengan panjang dan bersongkok hitam tinggi ala 60an. Manakala pertugas perempuannya berkebaya ketat yang sudah tentu sejuk mata memandang!

Kedai Kopi Cerita ini juga memiliki banyak benda-benda klasik seperti set tv 70 an, beberapa LP, mesin kira dan sebagainya.

Kedai ini juga menyediakan wi-fi percuma serta pelbagai bahan bacaan untuk dibawa terutama beberapa naskah harian surat khabar pelbagai bahasa dan majalah kenderaan. Surau juga disediakan di tingkat atas.

Minggu depan nak singgah perkena tawaran set Nasi Lemak pula. Agaknya sampai bila tawaran ini dioffer?

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/









Klik pada rajah untuk saiz lebih besar.

2 comments:

  1. Salam Wan

    dekat dgn Nat Arau atau Anjung Keli. Saya lebih suka Nat Pauh celah pokok getah pagi Ahad tu.

    Lukmanw

    ReplyDelete