Saturday, November 14, 2009

Sembang Tepi Jalan - Meor Pesta Jiwa


Sembang Tepi Jalan

(Seperti biasa kalau aku dan anak jantan seorang aku ke mana-mana acara yang bersampingan jualan buku-buku apa jenispun akan berakhir dengan pembelian yang menyaksikan empat, lima keping note RM 50.00 bertukar tangan. Antara buku yang dibeli di Rumah YKP semasa TAF Project hari ini ialah Sembang Tepi Jalan, terbitan Oxygen Media)

Secara jujur aku hanya mengenali Meor Yusof Aziddin Meor Hassan atau lebih dikenali dengan Meor Pesta Jiwa ini pada tahun lepas. Itupun hingga ke hari ini kadang-kadang aku terkeliru jika bersaling-saling sms sama ada dengan Meor Pesta Jiwa ataupun Meor Lantera Jiwa, iaitu seorang lagi Meor.

Secara jujur juga aku hanya mengenali dan melawat blog Meor Pesta Jiwa (www.pestajiwa.net) sekitar suku kedua tahun ini. Malah ruangan Sembang Tepi Jalan di www.tokeikedai.net.my hanya dijengah sekitar suku ketiga tahun ini.

Tetapi membeli buku Sembang Tepi Jalan ini dan kemudiannya menghabiskan dan menghadamkan 160 helaian mukasurat beberapa minit tadi, membuatkan aku hampir-hampir mengenalinya dari hujung rambut ke hujung kaki.

Persamaan aku dengan Meor jauh sekali macam langit dan bumi. Aku hampir langsung tiada bakat atau kemahiran menyanyi. Jauh api dari panggang untuk bermain muzik. Mungkin sedikit anugerah Ilahi kepada aku dengan minat mendalam terhadap sajak, puisi, syair dan pantun mendekatkan aku kepada salah satu cabang seni ini.

Ada beberapa "fahaman" dan "aliran" dari buku yang menyokong pendirian aku terhadap beberapa aspek kesenian ini walaupun aku tidak mempelajari atau memahaminya melalui pembacaan.

Salah satunya ialah mengenai lagu-lagu folk yang telah lama aku semai dalam hati sanubari aku. Folk bukanlah "lagu rakyat" tapi Folk adalah lagu-lagu rakyat! Itulah yang dinyatakan oleh Meor dalam buku ini di helaian ke 88.

Walaupun tiada contoh yang dinyatakan Meor tapi bagi aku "lagu rakyat" ialah "Can Malican", "Rasa Sayang Eh!" dan sebagainya (jika salah tolong betulkan!). Ini jauh berbeza dengan lagu-lagu folk Iwan Fals!

Membaca bab-bab lain dalam buku ini juga membuatkan aku "memahami" senario semasa (sebenarnya dari dahulu lagi) bagaimana pandangan masyarakat Malaysia terhadap "kesasteraan" dan "pemuzik jalanan". Walaupun sering dikatakan serumpun, pandangan rakyat Malaysia ternyata berbeza kepada dua perkara ini jika dibandingkan dengan rakyat Indonesia.

Banyak lagi yang ingin aku zahirkan dari pembacaan dan pemahaman aku mengenai buku Sembang Tepi Jalan ini. Tetapi aku rasa mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut "kesasteraan" ala Malaysia dan "pemuzik jalanan", perlu mendapatkan sendiri buku ini.

Aku tidak pasti di mana boleh dibeli buku ini. Lawat terus laman-laman web yang dinyatakan di atas atau hubungi meor67@yahoo.com

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment