Friday, December 11, 2009

Janji tinggal janji!






Janji tinggal janji!

Disember sudah masuk "second half". Nampaknya janji hanya tinggal janji! Janji untuk bercuti yang betul-betul bercuti bersama keluarga sudah tiada hari lagi yang tinggal. Janji untuk bercuti bukan menumpang hari kerja di hujung minggu. Cuti yang betul-betul bercuti!

Cuti bukan menumpang hari mengajar di hujung minggu ataupun cuti bukan menumpang hari bertugas dalam motorsports di hujung minggu! Itulah cuti yang ditagih oleh anak jantan seorang aku itu dan juga isteri seorang aku itu.

Tahun ini seperti di tahun-tahun yang lalu juga. November berlalu dengan kepadatan jadual. Bersambung pula dengan Disember. Minggu lepas Cub Prix di Sepang. Minggu ini (bermula hari ini) kelas di Miri. Minggu depan Cub Prix di Padang Kota Lama dan minggu seterusnya sehari selepas Krismas bersambung kelas terakhir semester ini di Prai.

Sesudah membilang hari begini, aku mengajak anak jantan seorang aku itu dan isteri seorang aku mengikut aku bercuti di Miri. Cuti yang dirancang bermula Isnin ini selepas 2 hari mengajar di sana dan cadangnya mungkin ke seberang Brunei. Itupun terpaksa kembali pada 15 Disember kerana 16 dan 17 Disember sudah menanti satu seminar untuk di-present-kan paper!

Selain seminar, sebelum berakhir Disember ini ada tiga kursus perlu diselesaikan. Satu kursus di Prai sebaik sahaja sehari selesai Cub Prix Padang Kota Lama. Kemudian kursus dalaman di UUM dan diikuti di MS Garden Sungai Petani sehari selepas kelas terakhir di Prai.

Sekarang (10.30 am) tersadailah kami 3 beranak menunggu flight 3.00 pm ke Miri. Awal pagi 4.00 am sudah keluar rumah di Taiping ke Penang Air Port. Maknanya seharianlah kami dalam perjalanan. Alangkah nikmatnya jika seharian di atas jalan raya, boleh berhenti di mana jua untuk membasah tekak!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

No comments:

Post a Comment