Tuesday, January 19, 2010

Jom berpidato!

LOKASI...Kawasan boulevard yang sesuai untuk pelajar berpidato.

Jom berpidato!

Mampukah kita bercakap dan adakah yang sanggup mendengar dan "mahu mendengar" apa yang kita ingin cakapkan? Kita bukan menjual ubat atau ada produk untuk diperagakan kemudiannya untuk diperniagakan. Kita hanya ada idea dan kita ingin menjualnya.

Keluarga saya (saya, kakak saya dan adik perempuan saya) adalah pendebat sekolah. Seterusnya minat kami dikembangkan di peringkat universiti. Bagaimanapun cuma kakak saya (dan abang ipar saya) terus mengembangkannya di arena politik. Manakala saya dan adik tidak tercenderung ke alam politik. Cuma boleh dikatakan saya kini "mencari makan" sama ada sepenuh masa ataupun sambilan dengan "bercakap". Sudah tentu topik saya adalah berkaitan "Occupational Safety and Health" dan kadangkala termasuk juga Quality dan Motivasi.

Kini isteri saya pula semenjak kebelakangan ini sering dijemput menjadi pengacara majlis. Satu bidang yang pernah saya ceburi sebelum ini tetapi saya tidak begitu gemar mengendalikan majlis. Malah saya rasa anak lelaki saya pula mula dilantik oleh rakan-rakan sebayanya untuk menjadi jurucakap pada aktiviti-aktiviti yang disertai oleh mereka.

(Antara ingat dan lupa, saya pernah berpidato dan berdebat dengan Raza, seorang blogger perempuan semasa di sekolah dahulu!)

Ayah saya bukan pemindato. Malah sebenarnya saya sendiri kurang tahu mengenai serba-serbi ayah saya. Tetapi Tok saya (ayah kepada ayah saya) adalah Tok Kadhi dan juga Guru Agama yang sudah tentu perlu bercakap untuk menjalankan tugasnya itu.,

Berbalik kepada posting ini. Semalam saya menghadiri mesyuarat dengan VC UUM iaitu Tan Sri Nordin Kardi. Sebenarnya berkuatkuasa 1 Januari tahun ini saya telah dilantik sebagai Ketua Penyelaras Jabatan Siswazah. Mulanya agak keberatan untuk menerima tanggungjawab ini sementelah saya hanya baru beberapa tahun menyertai UUM. Malah ada beberapa orang di jabatan saya ini sudah bergelar Prof. Madya dan Doktor, sedangkan saya masih bergelut dengan program PhD saya. Saya akur juga permintaan Dekan dan Pengerusi Bidang agar saya mengetuai jabatan saya ini.

Semasa mesyuarat juga saya merasa diri ini amat kecil apabila ahli-ahli mesyuarat lain semuanya bergelar Prof. (Prof. penuh), Prof. Madya, Doktor dan sebagainya. Sedangkan saya hanya diajukan dengan panggilan Encik.

Berbalik kepada posting ini. Antara yang dibincangkan di dalam mesyuarat ialah sudut pidato akan dihidupkan di IPTA-IPTA. Ikuti pandangan dan hasrat VC Tan Sri seperti kenyataan berikut;

KENYATAAN AKHBAR

NAIB CANSELOR
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

KAEDAH UNIK UUM MELAKSANAKAN SUDUT PIDATO:

“TAMAN PIDATO DI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA”

Berikutan permintaan Kementerian Pengajian Tinggi supaya Sudut Pidato dihidupkan di Universiti-universiti, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia telah mengeluarkan arahan kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Datuk Dr Ahmad Faiz Hamid, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak supaya melaksanakannya dengan kaedah yang unik untuk UUM dengan mewujudkan TAMAN PIDATO yang menyamai Hyde Park di London.

Naib Canselor Tan Sri Dr Nordin Kardi memberitahu bahawa lokasi Taman Pidato ini telah dikenal pasti. Taman Pidato ini meliputi boulevard sepanjang kira-kira satu kilometer dari Bangunan Canselori hingga ke Pusat Islam.

Kedua-dua Timbalan Naib Canselor, (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan (Akademik dan Antarabangsa) dilibatkan kerana Naib Canselor tidak mahu sudut pidato hanya membicarakan hal-hal politik dan pelbagai tuntutan pelajar yang sempit dan selalu dikaitkan dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, sebaliknya dijadikan medan untuk mendebatkan idea-idea baru, idealisme, falsafah, sains, kritikan buku, debat sastera, kemanusiaan, keagamaan, keluhuran dan keunggulan akademik, dan sebagainya.

Oleh yang demikian, sudut pidato bukan hanya tertumpu pada satu tempat dan pada satu masa sebaliknya pemidato boleh memilih dengan kreatif tempat dia hendak berpidato, jenis isu yang dikemukakan, audien yang dijadikan sasaran. Beberapa pemidato boleh berpidato serentak pada satu masa pada beberapa “spot” yang mereka pilih sendiri di sepanjang Taman Pidato. Mereka boleh menggunakan kawasan itu antara jam 4 petang hingga 7.15 malam setiap hari Khamis. Ini kerana pada masa itu kebanyakan pelajar sudah habis kuliah, masa untuk mereka berehat dan suasana agak redup.

Selain itu, pemidato juga bebas memilih teknologi penyampaian yang akan disediakannya sendiri secara kreatif dan inovatif seperti yang diamalkan di Hyde Park London.

Naib Canselor yakin dengan keunikan cara dan “idea” UUM melaksanakan Sudut Pidato akan menjadikan Taman Pidato sebagai suatu produk pelancongan yang juga boleh menarik orang awam, termasuk pelancong pada masa yang akan datang.

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Naib Canselor
Universiti Utara Malaysia

19 Januari 2010

No comments:

Post a Comment