Thursday, January 14, 2010

Kenali & Mengenali Mereka


Kenali & Mengenali Mereka

Mereka sama-sekali bukan bodoh atau dumb! Sangat keterlaluan jika ada yang menjadikan mereka ini bahan lelucuan atau gurau-senda.

Saya sememangnya puas mencari DVD atau VCD Forrest Gump dan Rain Man. Filem lakonan hebat Tom Hanks dan Dustin Hoffman ini sememangnya pernah saya miliki. Seorang rakan karib semasa bekerja di kilang tayar dahulu yang kebetulan mempunyai anak dari golongan istimewa ini meminjamnya setelah saya mencadangkannya di dalam satu ceramah mengenai golongan istimewa ini. Malangnya VCD itu dihilangkannya dan semenjak itu (awal 90an) saya sentiasa mencari-carinya di setiap kedai DVD/VCD yang saya kunjung.

Kunjungan saya di sebuah pusat membeli di Miri bulan lepas membuahkan hasil apabila saya terjumpa semula filem-filem ini di dalam bentuk DVD koleksi. Bagaimanapun saya agak terkejut dan kesal kerana koleksi ini dilabelkan sebagai "Dumb"!

Ada tiga lagi filem yang dimasukkan dalam koleksi "Dumb" ini. Memang tidak dapat dinafikan filem bertajuk "Dumb and Dumber" bersesuaian dengan karektor "Dumb" ini tetapi bukan dengan filem Forrest Gump dan Rain Main. Begitu juga dengan filem "The Ringer" yang mengisahkan orang yang sempurna menyamar sebagai golongan istimewa ini semata-mata untuk memenangi satu kejohanan Olimpik khas untuk golongan istimewa. bagaimanapun filem yang bertajuk "I am Sam" belum berkesempatan lagi saya menontonnya.

Kisah seumpama filem "The Ringer" itu sebenarnya turut disaksikan sendiri dalam satu kejadian sebenar sukan khas untuk golongan istimewa ini di Malaysia beberapa tahun lepas. Dalam satu acara lumba hari, pendahulu acara tiba-tiba memperlahankan larian dan berhenti semata-mata untuk memastikan persaingnya yang terjatuh agar bangun semula.

Apabila ditanya mengapa beliau berbuat demikian. Jawapannya mudah sahaja.

"Kalau saya memang disebabkan dia terjatuh bukanlah satu pertandingan yang adil!", mendalam sekali keperihatinnya sebagai seorang dari golongan istimewa.

Awal 90an dahulu pembabitan saya dengan sebuah sekolah golongan istimewa ini di Taiping membuatkan saya mengenali dan memahami mereka. Kebanyakan sukarelawan yang terbabit adalah dari mereka yang kebetulan mempunyai ahli keluarga terdiri dari golongan istimewa ini. Berbeza dengan saya, pembabitan saya hanya semata-mata keperihatinan.

Saya menerokai dunia luar melalui internet. Rupa-rupanya di luar sana ramai golongan-golongan sukarela ini yang membabitkan diri mengenali, memahami dan membantu mereka golongan yang istimewa. Malah ramai dari mereka ini juga sebenarnya tiadapun mempunyai ahli keluarga yang terdiri dari golongan istimewa ini.

Pemintaan kecil dari hati nurani saya. Kalau tuan-puan tidak berpeluang membantu mereka, janganlah melabelkan mereka dengan pelbagai nama. Janganlah jadikan mereka bahan lelucuan atau senda-gurau. Kenali dan mengenalilah mereka. Fahamilah mereka.

Kalau ada kesempatan, tontonlah Forrest Gump dan Rain Man.

Kalau berkesempatan lagi, cari drama bersiri Hong Kong yang bertajuk Forrest Cat.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment