Friday, January 22, 2010

Rindu serinduan



Rindu serinduan

Pernah dengar cerita Balang Berisi Batu dan Pasir serta Serbuk Kopi?

Alkisahnya seorang penceramah menceritakan analogi kehidupan rumahtangga. Untuk membina sebuah rumahtangga yang harmoni, persafahaman antara suami-isteri adalah penting. Hubungan suami-isteri hendaklah saling lengkap-melengkapi bukannya saling bersaing.

Untuk menunjukkan contoh, penceramah ini mengambil dua buah balang dan satu darinya diletakkan di antara dua longgokan ketulan-ketulan batu kecil. Manakala satu balang lagi diletakkan di antara longgokan ketulan batu kecil dan longgokan pasir. Di sebelah hujung meja pula terdapat longgokan serbuk kopi.

"Sekiranya longgokan batu sebelah kanan ini adalah suami dan di sebelah kiri ini adalah isteri, apa akan terjadi jika saya masukkan kedua-dua longgokan batu ini ke dalam balang ini?", katanya sambil memasukkan kedua-dua longgokan batu itu.

"Perhatikan betul-betul dalam balang ini. Masih terdapat banyak ruang kosong di antara batu-batu ini."

"Sekarang perhatikan pula jika saya masukkan batu dan kemudiannya pasir ke dalam satu balang lagi", katanya sambil mengoncangkan balang tersebut.

"Balang yang bergoncang ini ibarat perjalanan rumahtangga yang ada pasang-surutnya. Sekarang perhatikan betul-betul dalam balang ini. Batu dan pasir itu seolah-olah tersusun kemas dlam balang ini dan tidak terdapat sebarang ruang kosong."

"Setakat ini sajalah ceramah saya hari ini", katanya lagi.

"Tapi tuan apa gunanya pula Serbuk Kopi itu?", tanya seorang hadirin.

"Saya ingatkan tiada sesiapa akan bertanya!", kata penceramah sambil tersenyum sambil memasukkan serbuk kopi ke dalam balang berisi batu dan pasir serta mengoncangnya.

Serbuk kopi itu kelihatan menyerap di antara susunan batu dan pasir di dalam balang.

"Walaupun perhubungan suami-isteri boleh diperkukuhkan dengan saling lengkap-melengkapi, ada masanya juga sisuami (atau siisteri) boleh meluangkan seketika masa untuk secawan kopi bersama kawan-kawan mereka." TAMAT


Pagi tadi setelah menghantar anak ke sekolah, isteri pula sudah ke sekolah tinggallah aku seorang diri di rumah.

Check Blood Pressure, atas 109 mmHg (systolic), manakala bawah 68 mmHg (diastolic). OKlah itu sebab kadang-kadang bacaan bawah itu asyik bawah 60 sahaja. Agaknya sebab dua minggu lepas aku makan Mutton Grill, sebab itu bacaan stabil sedikit.

Check pula Blood Sugar, bacaannya 7.9 mmol/l. Oklah sebab aku bukannya puasa malam tadi.

Mulalah mulut rasa kering! Cadang nak makan Pulut dengan Gulai Daging, Warung Mak Tom tutup pula hari Jumaat. Akhirnya aku ke Warung Beehon Sup Abang Rosli Pasar Tani.

Agak janggal aku keseorangan apabila sampai ke Warung Abang Rosli.

"Kawan-kawan mana? Seorang saja ke?", tanya Abang Rosli yang kebetulan kami berdua berkongsi tarikh perkahwinan dan tempat akad-nikah yang sama cuma yang membezakan Abang Rosli kahwin untuk kali kedua ketika itu.

Aku tersenyum saja. Teringatkan gelagat kawan-kawan sekilang yang sering minum pagi di sini. Teringatkan menu-menu unik yang dipesan dan menariknya semua menu-menu ini boleh disediakan oleh Abang Rosli.

Selain dari menu standard, di Warung Beehon Sup Abang Rosli Pasar Tani Taiping ini anda boleh order Beehon, Ketiaw atau Mee berkuah sup seperti di bawah;

1. Daging Tanpa Tulang
2. Daging Tanpa Tulang Campur Perut
3. Daging Campur Tulang
4. Tulang sahaja
5. Perut Sahaja
6. Ayam Sup Daging
7. Daging Sup Ayam, dan
8. Ayam Campur Daging

Dulu di Warung ini cuma ada Sup dan Nasi Lemaknya, sekarang ada pelbagai menu bergoreng dan berkuah yang lain.

Semasa menikmati Beehon Sup dengan Cabai Jeruk dan Cabai Mesin aku terkenangkan kawan-kawan yang hampir kesemuanya berada jauh dari Taiping ketika ini. Kalau ada di Taipingpun agak sukar untuk bertemu.

Rindu serinduan aku.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Setelah longgokan Serbuk Kopi mencapai (hampir mencapai) matlamatnya, aku tidak lupa pula dengan balang, batu dan pasir. Oleh itu seperti biasa aku bungkus bawa balik 2 Ketiaw Sup Ayam untuk rumah aku, 2 Ketiaw Sup Ayam untuk rumah orang tua aku dan 2 Ketiaw Sup Ayam untuk rumah mertua aku.

No comments:

Post a Comment