Friday, March 12, 2010

Bukit Larut; akan ku kota janjiku!



















Bukit Larut; akan ku kota janjiku!

Berbekalkan berjalan kaki 4 km selama tiga minggu berturut-turut bulan lepas mengelilingi Taman Tasek Taiping, pagi tadi aku mendaki Bukit Larut. Sebenarnya pagi semalam rancangan asal. Entah “mengkarung” jenis apa dan dari mana datangnya yang “menarik” betis aku malam sebelumnya hingga ke tengahari terasa sakitnya.

Jadi pagi tadi selepas sahaja menghantar anak jantan seorang aku itu ke sekolah dan peluk-cium mengiringi isteri seorang aku itu ke tabikanya, aku menuju ke Bukit Larut.

Rupanya masih ramai pekerja Pejabat Daerah yang menyenggarakan Bukit Larut ini mengenali aku walaupun rasanya sudah bertahun-tahun tidak mengunjunginya. Pemandu-pemandu Land Rover Defender 110 sedang sibuk memeriksa kenderaan masing-masing sementara menunggu trip pertama pendakian mereka bermula pada pukul 8.00 pagi.

Hajat besar di hati hendak mendaki menggunakan laluan pintas jalan denai tapi tanah yang basah dek embun dan tapak kasut jogging aku yang agak haus menyukarkannya. Biasanya aku mendaki menggunakan jalan denai dan menuruninya kelak menggunakan jalan bertar. Minggu depan aku mesti pakai kasut hiking aku.

Mungkin kerana lama tidak mendaki, perjalanan baru bermula tapi aku sudah terasa penatnya. Agak-agak sampai tak ke Pondok 1 iaitu hanya 1 ½ km dari kaki bukit. Itulah yang bermain-main di kepala aku.

Langkah semakin perlahan. Rasanya baru 3 selekoh pertama, maknanya baru setengah km berjalan.

Sudah ramai pendaki termasuk yang berumur lanjut memotong aku seorang demi seorang. Egoku sudah tercabar. Apatah lagi ada di antara mereka ini menegurku bertanyakan ke mana menghilang selama ini. Aku hanya tersenyum. Tidak mampu menjawab kerana kemengahan!

Akhirnya aku sampai ke satu selekoh tajam dan curam yang aku pasti tinggal hanya dua atau tiga selekoh lagi akan ternampaklah Pondok 1. Di sini aku terduduk. Apabila terdengar bunyi kenderaan ataupun tapak kaki pendaki lain, aku bingkas bangun kemaluan!

Jauh bezanya pada 10 tahun lalu, setakat Pondok 2 iaitu 3 km dari kaki bukit ataupun kaki Air Terjun selepas Pondok 2 itu begitu mudah sekali aku mendakinya. Setiap petang Rabu selepas habis kerja di Kilang Tayar di Kamunting itu pasti aku ke sini.

Bagaikan langit dan bumi pada 15 tahun dahulu, Pondok 3 (5 km) dan Tea Garden (6 km) juga tidak terasa penatnya. Sementelah pendakianku ditemani oleh ehem-ehem yang bekerja sekali! Sambil mendaki kami berbual pelbagai topik, tanpa disedari satu demi satu pondok dilepasi!

Dulunya juga kalau di hujung minggu, kalau tiada aktiviti motorsport di luar kawasan, aku akan mendaki hingga ke puncak setinggi 13 km. Mendaki seawal 7 pagi dan tiba sekitar tengahari. Ambil angin sejam dua ataupun melelapkan mata beralaskan rumput biasanya di Taman Base (semasa perjalanan turun), barulah terfikir untuk turun ke kaki bukit.

Pernah juga aku dan beberapa teman berkhemah di Gunung Hijau. Ketika itu (rasanya penghujung 90an), kami terpaksa memikul bekalan air bersih untuk minuman dan memasak kerana tiada bekalan air di sana. Tidak pasti statusnya sekarang ini.

Rasanya pendakian aku hari ini (pada umur 42 tahun!) hanya mencapai ketinggian 1 km dari kaki bukit. Kemudian turun sejauh 1 km lagi. Maknanya hanya ber-exercise 2 km!

Berdikit-dikit lama jadi bukit. Minggu depan (atau minggu sekali lagi!), akan ku daki sekurang-kurangnya hingga ke Pondok 1.

Bukit Larut; akan ku kota janjiku!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Catatan

Aku pernah menulis mengenai Bukit Larut ini dalam forum (Bahasa Inggeris) TaipingTalk. Tulisan ini dibuat melalui Pejabat Daerah yang menyediakan seorang pemandu khas untuk membawa aku menjelajah ke semua tempat dan rumah-rumah penginapan yang ada di atas Bukit Larut termasuklah tempat-tempat larangan seperti Kawasan Pemancar dan sebagainya.

Sedikit mengenai Bukit Larut.

Bukit Larut, dahulunya dikenali sebagai Bukit Maxwell telah dibuka lebih 100 tahun dahulu oleh George Maxwell, Residen British di Perak dan merupakan Bukit Peranginan tertua di Malaysia.

Tingginya 1,250 meter dari paras laut dan jauhnya sekitar 13 km dari kaki bukit. Jalan bertarnya telah dibina selepas perang tahun 1948.

Terdapat 108 selekoh dengan 72 selekoh tajam. Perjalanan menggunakan Land Rover mengambil masa 30 minit untuk sampai ke Stesen Atas iaitu 1,036 meter dari paras laut.

Tambang Land Rover ke Stesen Atas (dan Banglo Beringin/Permai View) ialah RM 6.00 Dewasa / RM 3.00 Kanak-kanak. Manakala ke Banglo Angkasa, Cendana, Tempinis, Gunung Hijai dan Nest ialah RM 7.00 Dewasa / RM 4.00 Kanak-kanak.

Sebuah Land Rover hanya boleh dinaiki seramai 11 orang. Sewa trailer untuk mengangkut barang-barang ialah RM 15.00.

Perjalanan mendaki Land Rover ialah setiap satu jam bermula 8.00 pagi dengan perdakian terakhir pada 3.00 petang. Manakala perjalanan menurun juga setiap satu jam bermula 8.00 pagi dan penurunan terakhir pada 4.00 petang.

Kadar sewaan banglo dengan kemudahan memasak seperti berikut:

Nama Banglo / Jumlah Bilik / Jumlah Orang / Ketinggian (m) / Kadar Sewa

Bukit Larut/4/10/1,036m/RM 120.00
Beringin/2/10/1,036m/RM 200.00
Tempinis/4//10/1,143m/RM 180.00
Gunung Hijau/4/10/1,113m/RM 120.00
Permai View/3/10/1,034m/RM 150.00

Terdapat Banglo Sri Kayangan khas untuk VIP dan Tapak Perkhemahan di Gunung Hijau yang perlu mendapat kebenaran daripada Polis dan Jabatan Hutan.

Suhu waktu siang 15 darjah Celcius dan sekitar 10 darjah Celcius pada waktu malam. Ini membolehkan tanaman Strawberry dan Tulips hidup segar di sini. Terdapat penguasa Bunga Tulips di sini iaitu Syarikat Bunga Mekar (05-8066 789) yang turut menyediakan banglo untuk disewa.

Untuk pertanyaan lanjut dan tempahan banglo penginapan, hubungi: 05-8077 241 / 05-8077 243.






























1 comment:

  1. Lukman,
    aku naik gak sampai kat stesen TIBI..
    tapi guna itu land Rover..he he he..
    sebab ada sedara keja kat atas sana tu. itulah sekali dalam seumur hidupku..
    teringin nak ajak Mr saif naik..tapi tak pernah tertunai..
    sebab biasa la..TAIPING BANDAR HUJANNNNN..

    ReplyDelete