Wednesday, June 16, 2010

Pengantin baru hampir juara di Trek Sepang

Pengantin baru, Ahmad Fazrul Sham (Idemitsu Honda Racing) dan kiri, Orang Kecil

Pengantin baru hampir juara di Trek Sepang

Aku dan anak jantan aku seorang itu turut sama meraikan hari bersejarah Ahmad Fazrul Sham di majlis pekahwinannya di Taiping pada 6 Jun 2010 Sabtu lepas.

Aku memang rapat dengan Fazrul dan abangnya Fazli bukan sahaja kerana mereka berdua berasal dari Taiping dan menetap berhampiran dengan rumah orang tua aku tetapi ayah mereka dan juga penyokong kuat mereka iaitu Abdul Walat adalah bekas cikgu aku semasa sekolah rendah. Malah salah seorang abang mereka juga adalah rakan sekelas aku semasa bersekolah rendah.

Hanya setahun dua ini sahaja aku jarang berada di dalam litar kerana terikat dengan jadual kelas yang hampir saban hujung minggu. Tahun-tahun sebelum ini pasti aku bertemu mereka di dalam litar. Malah menjadi kebiasaan sebelum berlumba mereka berdua datang berjumpa dengan aku terutama semasa mereka berdua baru menceburi kerjaya sebagai pelumba cub prix.

Fazli kini dianggap sebagai seorang pelumba yang bakal menempah nama sebaris dengan Megananthan dan Wazi Abdul Hamid setelah 2 tahun menjadi juara Expert (2007 & 2008) serta naib Juara Expert 2009. Fazrul masih turun naik kerjayanya dengan rekod terbaiknya sebagai Naib Juara Expert tahun 2007 dan Naib Juara Novice dan Wira untuk tahun 2006.

Setelah mengucapkan tahniah sebagai pengantin baru di majlis perkahwinannya, aku sempat membakar semangatnya untuk mencontohi abangnya Fazli yang semakin berjaya setelah berkahwin. Fazrul berjanji akan berusaha lebih gigih terutamanya kini beliau di dalam pasukan baru Idemitsu Honda Racing dan belum mengecap apa-apa kejayaan setelah 3 pusingan berlalu untuk musim 2010 ini. Sebelum ini Fazrul bersama abangnya Fazli dalam pasukan Yamaha Shell Maju Motor.

Fazrul hampir membuktikan kata-katanya semasa pusingan ke 4 Petronas Cub Prix di Sepang hujung minggu lalu. Beliau mencatatkan masa terpantas semasa saringan. Malangnya motosikalnya bermasalah semasa pusingan akhir.

Bagaimanapun rakan sepasukan Hondanya Norizman Ismail (SCK Harian Metro) berjaya menjadi johan. Apa yang menarik ini adalah kemenangan kedua berturut-turut Norizman setelah memenanginya di pusingan ke 3 di Batu Kawan bulan lepas. Lebih menarik ini adalah kali pertama Honda berjaya mempamerkan kecemerlangan jenamanya sebaris dengan Yamaha dan Suzuki di acara cub prix ini semenjak tahun 1996.

Semoga kejayaan berpihak kepada Fazrul selepas ini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.com/


Juara-juara Malaysian Cub Prix. Dari kiri, Md Md.Suhaidi Ali Rahmat (2006), Orang Kecil (juara akan datang:-)), Ahmad Fazli Sham (2007 & 2008) dan K. Sivanesan ( 2004)

No comments:

Post a Comment