Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal
Antara ingat dan lupa, saya pernah melihat set rumah kayu rumah Mamat The Kampung Boy sebesar saiz sebenar di Mid Valley (kalau tak silap salah!) beberapa tahun dulu. Teruja sungguh melihat set rumah kayu ini walaupun hanya dalam bentuk 2D (bahagian hadapan sahaja). Hari ini di pentas Panggung Sari, Istana Budaya, set rumah kayu ini terdiri lagi dalam bentuk 3D! Malah turut terdiri beberapa set saiz sebenar untuk kelas sekolah rendah Kampung Baru, Pekan Ipoh, Sekolah Menengah Anderson Ipoh, Pejabat NST, Rumah Sewa Lat di Kampung Baru dan Rumah Sewa Lat semasa berkeluarga.
Kalau ditanya saya, apakah elemen terbaik dalam teater Lat kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM) ini, pasti jawab saya ialah reka bentuk set-set 3D dan 2Dnya!
Mungkin saya tidak belajar seni teater tetapi saya mula mengenali teater seawal pertengahan 80an semasa bergelandangan di KL. Ketika itu malah hingga kini saya masih mengagumi teater serius dan teater komedi. Antara idola teater saya Khalid Salleh, aruah Mustafa Noor, mendiang Datuk Krishen Jit, Ahmad Yatim, Leow Puay Ting, Zahim Al-Bakry, Rosminah Tahir dan Harith Iskander sendri. Entah mengapa saya tidak meminati teater muzikal.
Bagaimanapun LKBSM tidak dapat tidak bagaikan besi berani menarik saya sekeluarga dari Taiping untuk ke Istana Budaya hari ini. Cadangan asal untuk persembahan malam tetapi tiket kehabisan menyebabkan kami sekeluarga menonton persembahan jam 3 petang. Itu pun tiket termurah berharga RM 49.00 hanya tinggal 9 keping sahaja semasa membuat tempahan on-line. Kedudukan kerusi yang berbaki hanyalah barisan kedua terakhir dan bahagian kiri tepi sekali!
Tahniah kepada Hans Isaac sebagai penerbit dan pengarah. Harith Iskander sebagai pengarah bersama dan juga penulis skrip serta barisan produksi yang lain.
Saya tidak pasting casting teater sama dengan casting pelakon filem. Ini kerana pemilihan pelakon LKBSM lebih kepada keupayaan menjiwai watak tetapi tidak “menzahirkan” karektor. Pemilihan Awie sebagai Lat semasa remaja dan Jalil Hamid sebagai bapa Lat serta Daniel sebagai Lat semasa kanak-kanak memang tepat dalam penjiwaan watak. Bagaimanapun saya tidak pasti mengapa Datuk Lat sendiri malah adiknya Mamat Khalid serta anak perempuannya Junaidah (yang sering hadir memberi nasihat) tidak mencadangkan agar “digemukkan” (dibulatkan?) lagi ketiga-ketiga watak utama ini? Semua orang tahu nama gelaran Lat itu sendiri berasal dari BULAT! Kalau Ben Kingsley sanggup menguruskan sehingga berkilo-kilo untuk melakonkan watak Mahatma Gandi. Begitu juga Afdlin Syauki yang sanggup mengemukkan badan untuk filem Sumolah, mengapa Awie, Jalil Hamid tidak cuba untuk mengemukkan sedikit badan mereka.
Bagaimanapun syabas kepada Omar Abdullah (Pak Samad) dan Sandra Sodhy (Mrs Hew) yang menghidupkan dua watak penting dalam karier Lat. Tidak lupa kepada Atilia (Faezah), Douglas Lim (Frankie) dan Pushpa Narayan (Cikgu Thamby)
Keseluruhan nya LKBSM ini adalah teater yang berjaya. Di samping terhibur dengan banyak dialog komedi, penonton juga terutama kami sekeluarga menitiskan mata kesedihan dalam beberapa adegan terutama sewaktu Lat menerima berita kematian bapanya.
Seperti pesanan Awie semasa penutup, “ce cerita, ce cerita” kepada mereka yang belum menonton LKBSM ini. Teater ini adalah berbaloi ditontoni.
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
Terima kasih kpd Dinodin yang menghantar email kpd saya berkaitan dengan komen saya mengenai saiz badan Lat semasa bekerja di NST.
ReplyDeleteDinodin yang memaklumkan dirinya sebagai bekas sekerja memberitahu saya semasa di NST memang saiz badan Lat lebihkurang dengan saiz badan Awie.
Terima kasih Dinodin atas makluman.