Sunday, July 31, 2011

JJMK Warga Kilang Menjelang Aidilfitri 20 Ogos 2011


JJMK Warga Kilang Menjelang Aidilfitri 20 Ogos 2011

Insya-Allah, seperti Ramadhan tahun-tahun sebelum ini, NGO Warga Kilang akan mengadakan sekali lagi Program Jalan-jalan Masuk Kampung (JJMK) pada 20 Ogos 2011 Sabtu. Lokasi kali ini ialah perkampungan Belantik, Gulau dan Nami di Daerah Sik, Kedah.

Rancangan awal untuk singgah membuat sumbangan kepada 9 buah keluarga (seperti dalam gambar berikut) dan pada masa yang sama menyerahkan sumbangan kepada 41 buah keluarga lagi secara berkumpulan.

Kami mengalakkan penyumbang hadir bersama-sama kami membuat sumbangan barangan terutama untuk keperluan raya. Penyumbang digalakkan menyumbang terus kepada penerima sumbangan terutama jika sumbangan berbentuk wang ringgt.

Tempat pertemuan peserta JJMK ini akan diumumkan kelak.

Kepada mereka yang tidak dapat bersama pada 20 Ogos kelak dan ingin membuat sumbangan tidak kira di mana sahaja, bolehlah menghubungi saya secara email lukmanw@gmail.com dan saya akan maklumkan person-in-charge mengikut kawasan.

Berikut juga catatan sdr. Monier yang pergi membuat tinjauan sebelum ini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/











Jln-Jln Masuk Kg: Tazkirah Ramadhan

Seminggu dua ini, atas jawatan sebagai pengerusi CSR (Corporate Social Responsibility) di tempat kerja, saya kerap menerima berbagai surat memohon sumbangan Ramadhan daripada berbagai pihak, baik dari rumah anak-anak yatim, tahfiz, pondok mahu pun daripada NGO dan juga syarikat-syarikat persendirian yang berusaha mencari dana untuk menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel/resort dan sebagainya.

Bila tengok surat-surat itu, teringatlah saya, rupa-rupanya ramai yang nak tabur bakti, nak membantu insan-insan yang memerlukan di bulan ramadhan ini. Baguslah macam itu. Mungkin inilah yang orang alim selalu dok habag kata bulan ramadhan ini bulan yang mulia, bulan yang istimewa yang tak sama dengan bulan-bulan yang lain; bulan untuk kita semua pakat tambah pahala.

Baru-baru ini, bersama dengan kawan-kawan dari NGO Wargakilang, kami sekali lagi diberi masa dan kelapangan untuk masuk ke kg-kg di pedalaman, pi riki dan cari keluarga-keluarga susah yang tinggal jauh ke dalam, yang kami rasakan tak ramai orang yang sedar akan kewujudan mereka, lantas tak adalah pula ada orang atau pun pertubuhan dok pi hantar surat kat jabatan CSR mana-mana syarikat pi kutip dana atau pun anjurkan majlis berbuka posa kat resort atau pun hotel untuk depa-depa ini.

Berikut adalah sebahagian drpd kisah “depa-depa” ini untuk tazkirah dan renungan bersama.

Semua sekali ada 18 keluarga yang kami ziarah.

Rumah dlm gambar di bawah ini adalah yang paling terkesan sekali buat saya; pertamanya sebab rumah itu sendiri walaupun nampak ok tapi kelihatan agak daif sekali.

Keduanya, rumah ini dihuni oleh seorang Ibu Tunggal, Pn Rashidah 35 tahun bersama 2 orang anaknya (5 tahun & 14 tahun) yang baru saja kehilangan suami kira-kira 4 bulan yang lalu – meninggal disebabkan sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Yang saya terasa agak emosi sikitnya, sebab 3 kali saya tanya berapa pendapatan beliau sebulan - nak bagi pasti - tiap kali beliau jawab RM150 sebulan. Tak logik haih, mana ada orang boleh survive dengan pendapatan banyak tu sebulan, tambah-tambah di zaman barang dok naik harga sekarang ini, dan lagi tak logik cuma dapat hanya RM150 sebulan.

Tanya pi tanya mai, Pn Rashidah ini habag setelah kematian suaminya (seorang penoreh getah), beliau terus hilang punca pendapatan. Sekarang ini beliau membantu ibunya menoreh getah di pokok orang, dan hasilnya dibahagi 3 antara beliau, ibunya dan tauke kebun. Patutlah pun dapat RM150 sahaja sebab jumlah pokok getah kat kebun itu cuma sekitar 200 batang sahaja.

Saya tak mampu nak bercakap panjang dengan orang yang sedang diuji dengan kesusahan seperti Pn Rashidah ini, walau pun susah tapi tak menampakkan sangat susahnya itu. Orang macam inilah yang mengingatkan saya kepada kata-kata yang sering dihamburkan kpd saya dan rakan-rakan bila kami bercerita tentang kisah-kisah org miskin dan susah di pedalaman.

Kata sang penghambur itu, MANA ADA ORANG MISKIN DI MALAYSIA INI – orang malas adalah!

Bagi mereka, org-org miskin itu jadi miskin sebab malas, jadi tak payahlah nak susah-susah pi bantu org-org malas ini sebab depa sendiri yang pilih nak jadi malas dan miskin.

Sedangkan mereka yang bercakap itu lupa bahawa KAYA dan MISKIN ini adalah kerja TUHAN. Hari ini TUHAN jadikan kita KAYA, esok lusa dlm sekelip mata saja DIA boleh jadikan kita MISKIN pula.

Lantas itu, sementara kita ini masih kaya ada pendapatan lebih drpd RM150 sebulan, kalau ada rezeki lebih janganlah lupa bahagiannya untuk mereka yang sedang diuji dengan kemiskinan seperti Pn Rashidah ini. Mungkin sebab itulah gamaknya ISLAM wujudkan Fidyah dan Zakat Fitrah, sebab memang ada penerimanya.

Dalam perjalanan antara 18 buah rumah itu, kami singgah di sebuah rumah Ibu Tunggal yang tinggal bersama seorang anak perempuannya. Persinggahan yang seketika ini amat istimewa buat saya, kerana sepulangnya ke rumah, saya download gambar rumah ini ke lab top dan secara kebetulan adik perempuan saya dan suaminya bertandang ke rumah. Saya tunjukkan gambar rumah ini kepada adik saya dan berkata:

Adik saya cakap:
“Laaa – pelantar jemuran dan dinding buluh itu sebijik mcm rumah kita dulu, kat pelantar itulah kita ramai-ramai makan nasi dan saki bakinya kita lempar ke bawah bagi ayam dan itik makan”

Ya, sa-buah lagi kisah perjalanan merentas masa buat diri saya. Tak disangka, ada lagi insan yang masih terperangkap dlm suasana kemiskinan yang serupa.

Di rumah seterusnya, kami singgah di sebuah rumah yang begitu agak ke dalam di sebuah kaki bukit berhampiran sebuah kawasan air terjun – rumah sdra Che Ros. Antara ramai-ramai keluarga yang kami pergi itu, saya memilih untuk menulis kisah Che Ros sebagai penutup kisah perjalanan kami ini.

Kenapa? Kerana pintu hati saya bagaikan diketuk-ketuk, rasa terharu semacam melihat ketabahan Che Ros mengharungi hidup nun jauh di pedalaman; membesarkan 4 orang anak-anaknya dengan tiada pendapatan tetap, mencari rezeki dengan berbekalkan sumber hutan – mencari buluh untuk diraut dijual sebagai buluh pancang.

Waktu kami singgah di rumahnya, Che Ros sedang sibuk meraut buluh; bila ditanya kenapa betis keringnya berbalut, Che Ros cakap waktu leka mencari buluh, entah macam mana kakinya tercucuk buluh. Kesian Che Ros.

Yang bagusnya Che Ros ini, walau pun dia sendiri hidup susah, tapi di samping membela isteri dan 4 orang anaknya serta ibunya yang sudah tua, beliau juga ada memelihara seorang wanita tua sebatang kara yang tiada kaitan adik beradik atau pun saudara dengan beliau. Mulianya hati Che Ros.

Yang sedih pasal Che Ros ini, si Amirul anak beliau yang sulung, umur 15 tahun, sepatutnya ambik PMR tahun ini, tapi disebabkan kemiskinan keluarga, cuma sekolah sampai habis darjah enam saja. Entahlah, kami pun tak tau nak kata apa, tapi itulah sebahagian drpd realiti kisah anak-anak bangsa yang masih terperangkap dalam orbit kemiskinan yang tak pernah kunjung reda ini.

Kami pun tak salahkan Che Ros bab anak beliau terkandas dlm perlajaran ini. Ya lah, di zaman Facebook dan Twitter sekarang ini, anak-anak belajar tinggi-tinggi pun kadang-kadang belum tentu boleh diharap untuk menjaga ibu bapa di kala tua.

Sekurang-kurangnya Che Ros ini, dengan ilmu BULUH yang beliau ada, mampulah juga beliau bina sebuah pondok berdinding buluh yang tak seberapa, untuk Ibunya berteduh di tepi rumahnya.

Adalah juga privacy buat ibunya yang sudah tua ini untuk hal-hal peribadi.

Waktu saya menjenguk ibunya di pondok usang ini tanpa pengetahuan Che Ros, bila dengar suara maknya bertanya siapa yang mai ini, dengan segera dalam keadaan kaki terhincut-hincut Che Ros terpa mai, mai explain kat mak dia tujuan kami mai.

Rasa sedih dan sebak pun ada bila tengok wajah Che Ros dan ibunya ini – dalam serba kepayahan yang ada, beliau cuba memberi yang terbaik untuk emaknya. Dinding buluh pun jadilah, janji itu yang selesa untuk mak dia.

Di atas keikhlasan beliau menjaga ibunya ini, didoakan moga ALLAH menggandakan Che Ros dengan balasan pahala yang berkali-kali ganda.

Sekian, antara beberapa paparan yang mampu kami kongsikan di sini sebagai tazkirah Ramadhan untuk kita semua. Sesungguhnya di luar sana, memang tersedia insan-insan lara yang begitu menanti dan mengharapkan sumbangan ramadhan buat mereka. Cerita Che Ros dan Puan Rashidah ini hanya secebis drpd kisah-kisah “depa-depa” ini.

Mohd Monier Mat Din, Warga Kilang.

No comments:

Post a Comment