Tuesday, June 26, 2012

Sampah - PBT & penduduk perlu main peranan!


Bau busuk ganggu kejiranan
Kosmo 26 Jun 2012


BAU busuk sering kali menusuk deria bau ketika melalui kawasan perumahan yang padat dengan penghuni, tetapi tidak mempunyai sistem pengurusan yang baik.

Itu belum dikira saat melalui medan selera yang tidak diselenggara dengan teratur.

Bila dicari di sekeliling punca bau kurang menyenangkan itu, timbunan sampah domestik kebiasaannya berada tidak jauh dari situ.

Selain timbunan sampah, ia juga berpunca daripada longkang yang tersumbat akibat sampah yang dibuang ke dalamnya.

Masalah di taman perumahan itu sebenarnya membayangkan masalah yang lebih besar di seluruh negara berhubung pengurusan sisa buangan domestik. Sampah terhasil apabila isi rumah membuang apa yang mereka tidak perlukan.

Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dalam sehari sekitar 30,000 tan sampah dibuang oleh isi rumah di negara ini.

Malah, kajian mendapati 45 peratus sampah yang dibuang orang Malaysia terdiri daripada sisa makanan.

Apabila orang ramai gagal menguruskan sampah mereka dengan betul dan apabila sistem kutipan sampah pula tidak sempurna akhirnya sampah mula bertimbun di tempat sendiri.

Memburukkan keadaan sampah sarap yang dibuang penghuni rumah kediaman dan perniagaan di Malaysia tidak semuanya diasingkan dari segi jenis, mahupun keadaan fizikalnya.

“Semasa saya bermastautin di Cape Town di Afrika Selatan selama beberapa tahun, sistem kutipan sampahnya berbeza daripada di Malaysia. Setiap penghuni kediaman mempunyai tong sampah beroda atau troli yang akan ditolak ke kawasan kutipan setiap seminggu sekali untuk dikutip.


Sampahnya akan dibuang ke dalam beg sampah secara teliti, tidak ada yang tumpah dan baunya turut tidak menyesakkan udara sehinggakan mengganggu jiran tetangga,” jelas Aminah Hitam yang kini bermastautin di negeri Selangor.

Sistem pengurusan sampah

Sistem di Cape Town dikatakan sangat teratur dan baik untuk penghuni setempat.

“Penghuni sekitar pun sangat peka dan berdisiplin. Sampah dikutip pada hari yang sama setiap minggu dan ia tetap dikutip walaupun pada hari cuti umum. Troli sampah itu ditolak sendiri oleh penghuni dan mereka perlu mengambilnya semula pada sebelah petang hari yang sama setelah ia dikosongkan.

“Untuk mereka yang tinggal di pangsapuri, mereka tidak memerlukan troli sampah sendiri, tetapi perlu membuang sampah mereka di tempat yang telah ditentukan pihak pengurusan,” jelas Aminah lagi.

Sikap sambil lewa

Dengan sistem kutipan sampah yang semakin dipertingkatkan hari ini, kita juga tidak seharusnya menuding jari kepada pihak berkuasa sahaja.

Hal ini kerana masih ramai penghuni yang bersikap tidak acuh dengan sampah yang mereka buang.

Sebagai contoh sesetengah penghuni di kawasan perumahan di negara ini masih belum mempunyai tong sampah.

Senario sebegini masih dapat diperhatikan di sesetengah kawasan.

Mereka hanya mengikat sampah dalam beg plastik dan meletakkannya di luar kawasan rumah mereka.

Keesokan harinya, beg plastik itu sudah terburai dan kandungannya bertaburan di jalan raya kerana dikerjakan haiwan seperti anjing dan kucing.


Dan inilah yang mendatangkan bau busuk dan rasa tidak selesa serta kemarahan penghuni lain.

“Ada juga beg berisi sampah domestik ini dibawa oleh anjing-anjing liar ke merata tempat sekitar taman perumahan pada waktu malam,” luah S. Chandravathani yang tinggal di Kajang dan pernah melihat sampahnya dilarikan haiwan jalanan.

Apabila sampah bertaburan di tengah jalan akibat perbuatan haiwan ini, ia mendatangkan masalah kepada pengguna dan penghuni kawasan perumahan.

Buang sampah depan rumah

Dalam pada itu, penulis telah membuat tinjauan di beberapa buah kedai dan mendapati jenis-jenis tong sampah untuk kegunaan di luar rumah dijual pada harga dari RM16 sehingga RM84.

Ia bergantung kepada saiz bahan buatannya sama ada daripada plastik, getah atau sebatian yang tidak mudah pecah.

Tong sampah plastik dan bertutup yang memuatkan sampah 38 liter boleh didapati pada harga RM24.90, manakala yang lebih baik dan besar saiznya pula sekitar RM60.

“Tong sampah beroda yang besar untuk sampah sehingga 120 liter harganya hampir RM380 setiap satu. Ini yang lebih praktikal digunakan,” jelas seorang penjual sebuah kedai perkakasan di Taipan Business Center, USJ10.

Tinjauan rambang merentasi lebih 120 buah rumah di kawasan sekitar USJ9, USJ11, USJ6 dan USJ2 pula menunjukkan hampir 25 peratus daripada rumah di situ tidak mempunyai ruang tetap untuk membuang sampah.

Hampir 30 buah rumah meletakkan beg plastik sampah di luar rumah, di atas lantai saja atau di ruang yang mudah dicerobohi haiwan liar jalanan.

“Saya geram betul melihat timbunan sampah yang ditinggalkan di kawasan lapang di tepi pagar saya oleh jiran yang tidak tahu siapa,” cerita Siti Hawa Ismail, seorang penghuni rumah tepi di kawasan SS19, Subang Jaya, Selangor.

Persoalannya mengapakah ada penghuni kawasan perumahan yang mengambil jalan mudah dengan membuang sampah di tepi rumah orang lain?

“Kalau tidak mahu kotorkan rumah sendiri, jangan pula letakkan sampah di rumah orang lain.

“Lupuskanlah sampah sebaik yang mungkin supaya ia tidak menyakitkan mata dan mengganggu emosi orang lain,” ujar Siti Hawa lagi.


NOTA PENCATAT - tidak perlu hingga ke luar negara, sistem tong sampah bertutup di Miri umpamanya adalah contoh yang boleh diikuti. Rujuk di sini. Semoga pihak berkuasa tempatan (Majlis Perbandaran Taiping salah satunya) mengambil iktibar dari artikel ini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment