Friday, September 20, 2013

Jom naik bas!
























Jom naik bas!

Seboleh-bolehnya saya akan pergi ke kedai atau mana-mana tempat perkhidmatan yang saya biasa dan yakin dengan kualiti kerja dan perkhidmatannya. Di Taiping ada beberapa kedai dan tempat perkhidmatan yang saya kunjungi semenjak pertengahan 80an lagi. Salah sebuahnya Kedai Servis Air Con di Kampung Jambu bersebelahan Stesen Bas Taiping – Syarikat Dew Point. Kedai ini dari dahulu akan menyimpan rekod senggaraan kenderaan pelanggan mereka. Ini memudahkan mereka mengesan, membaiki kerosakan dan mencadangkan pengantian alat ganti. Untuk perkhidmatan yang mengambil tempoh masa yang lama, pekerja malah pemilik kedai bersedia untuk menghantar pelanggan kembali ke rumah atau ke mana-mana lokasi sekitar Taiping. Tetapi hari ini saya memilih untuk menaiki bas pulang ke Kamunting.

Kini hanya tinggal Syarikat Red & Yellow Omnibus sahaja yang beroperasi dari Taiping ke Taman Lela dan singgah di Stesen Bas Kamunting Raya. Menurut pemilik syarikat yang kebetulan minum dengan saya di gerai bersebelahan stesen bas, perkhidmatan lebih tertumpu kepada pelanggan yang terdiri dari kanak-kanak sekolah dan pendatang asing di samping golongan tua yang tiada kenderaan sendiri.

Pengalaman menaiki bas hari ini jauh bezanya di zaman persekolahan dan remaja saya di awal 80an dulu. Kini bas berhawa dingin dan mempunyai tempat duduk berkusyen yang selesa.

Laluan bas masih mengikut laluan asal termasuklah melalui Restoran Bismillah, yang mana saya anggap Taiping Central yang sebenar dalam posting sebelum ini.

Tambang Taiping ke Kamunting adalah RM 1.00 dan menurut pemilik syarikat, Kerajaan memberi subsidi 20 sen untuk setiap seorang penumpang untuk menampung kos penyenggaraan. Tambang RM 1.00 ini masih berpatutan jika dibandingkan tambang teksi sebanyak RM 10.00 untuk jarak perjalanan yang sama.

Saya berbual panjang hampir sejam dengan pemilik dan pemandu bas yang kebetulan yang pernah bekerja sebagai pemandu lori kontrak di syarikat tayar bersama saya 10 tahun yang lalu. Beliau terkenang pengalaman menyaksikan penumpang yang terpaksa menaiki bas melalui tingkap semasa pulang berhari-raya di awal 90an dahulu. Kini untuk mendapat 10 penumpang untuk satu jarak perjalanan sahaja sudah sukar.

Pada masa yang sama, peniaga-peniaga kedai makan dan sekelilingnya turut merasa tempias kemerosotan ini. Menurut seorang penjaja kuih, dahulu dia boleh mendapat keuntungan paling kurang RM 30.00 sehari tapi sekarang RM 10.00 sehari pun sukar.

Bagaimana dengan masa depan mereka ini?

http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/













No comments:

Post a Comment