Thursday, January 01, 2015

Anak Yatim Nurul Iman MENYANTUNI Warga Emas Nurul Aaida


Anak Yatim Nurul Iman MENYANTUNI Warga Emas Nurul Aaida

Alhamdulillah cuaca memihak kepada kami, KOMUNITI Amal TAIPING (KaT) di pagi 1 Januari 2015 ini. Program Anak Yatim Nurul Iman, Kampung Pinang, Kamunting menyantuni Warga Emas Nurul Aaida, Kampung Ekspo Kamunting ini adalah program sulong kami di tahun 2015 ini.

Objektif program kami ialah berkongsi keprihatinan di antara dua golongan terpilih ini. Masing-masing peka adanya golongan yang hampir senasib dengan mereka. Malah mereka bersyukur jika dibandingkan dengan mangsa banjir yang ada tinggal sehelai sepinggang sahaja.

Program bermula dengan Sarapan Roti Canai yang ditaja oleh En. Basir Hussain, pemilik Warung Nasi Kandar Basir, Medan Kamunting. Anak-anak dilayan sendiri oleh En. Basir, walaupun dia tidak menang tangan dengan pelanggannya yang ada terpaksa berdiri menunggu kerusi kosong untuk diduduki.

Kami juga dikejutkan dengan tambahan Kuih Samosa, Popia Goreng dan Karipap Goreng. Kuih-kuih ini adalah sumbangan dari salah seorang pekerja En Basir dikenali sebagai Mamu, seorang warga negara Bangladesh.

Selepas bersarapan, kami bergerak ke Rumah Warga Emas Nurul Aaida, Kampung Ekspo Kamunting. Setiap anak-anak ditugaskan untuk menyampaikan sumbangan berupa Beg berisi Barangan Hyigene, Bekas Makanan berisi  Kek Cawan, Puding, Buah Anggur dan Epal. Juga disumbangkan Bekas Minuman berisi Teh-O. Selain itu turut disumbangkan, Kain Batik, Tuala dan sedikit wang tunai. En. Basir dan pekerjanya juga turut mengirimkan Roti Canai dan kuih-muih untuk Warga Emas ini.

KaT turut menyampaikan sumbangan orang ramai berupa Barangan Makanan Mentah dan sedikit wang tunai,  kepada Penjaga Rumah Nurul Aaida ini.

Ketika bersiap hendak pulang, anak-anak ini dikejutkan sekali lagi apabila dua insan Warga Emas ini bersedekah wang pula kepada semua anak-anak ini.

Anak-anak kemudiannya singgah sebentar melawat bapak saya di Kampung Pinang, yang terlantar hampir tiga tahun atas keuzuran. Ini juga memenuhi hasrat emak saya untuk berjumpa dengn anak-anak ini. Di sini, anak-anak disumbangkan peralatan hygiene, tuala, air minuman, cokelat Kit-Kat, kacang rebus dan sedikit wang tunai.

Anak-anak kemudiannya kembali ke Rumah Nurul Iman untuk aktviti seterusnya. Di sini KaT menyampaikan sumbangan dari orang ramai berupa Beg Sekolah, Bekas Air, Bekas Makanan, Peralatan Kelengkapan Sekolah seperti Bekas Pensil (berisi Pen, Pensil, Pemadam, Pembaris, Pengasah Pensil), Pensil Warna dan Bekas Pensil Lut Sinar (untuk peperiksaan). KaT kemudiannya mengukur saiz baju, saiz seluar dan saiz kasut untuk dibeli masa terdekat ini. Manakala Stokin dan Sapu Tangan in sya Allah akan diberi terus oleh penyumbang lain. Seorang penyumbang lain juga akan menyumbangkan sebuah Kamus untuk setiap seorang anak-anak ini. In sya Allah, sebuah NGO di Taiping juga akan menyampaikan sebuah beg sekolah lagi untuk anak-anak ini di masa terdekat ini.

Semasa sesi penyampaian sumbangan, anak-anak dijamu dengan Kek Cawan, Puding, Buah Anggur dan Buah Epal. KaT juga menyampaikan Barangan Makanan Mentah, sumbangan orang ramai, kepada Pengurus Rumah Nurul Iman.

Majlis pagi ini diakhiri dengan Jamuan Makan Tengahari sempena kepulangan mereka ke Rumah Nurul Iman. Menu tajaan berupa Nasi Briayani, Ayam Goreng Berempah, Parpadom, Tembikai, Air Sirap dan Bubur Gandum campur Sagu dan Jagung.

In sya Allah malam ini akan diadakan Majlis Tahlil dan Bacaan Yassin sempena kepulangan anak-anak ini ke Rumah Nurul Iman sesi 2015 ini serta mendoakan kesejahteraan dan dipermudahkan-Nya segala urusan mangsa dan penyelamat mangsa banjir ketika ini. Menu Makan Malam tajaan seorang penyumbang iaitu Ikan Keli dan KaT menyediakan (memasak) Ikan Keli Goreng Sambal, Telur Dadar dan Sup Sayur Campur dengan isi Ayam.

Jutaan terima kasih kepada semua penyumbang-penyumbang yang menjayakan program amal KaT ini iaitu, Anak Yatim Nurul Iman MENYANTUNI Warga Emas Nurul Aaida. Terlalu ramai untuk KaT menyatakan nama-nama mereka di sini.

Menariknya kali ini, antara penyumbang yang terlibat ialah seorang penyumbang yang bukan beragama Islam, seorang penyumbang Warga Bangladesh dan dua orang dari Warga Emas Nurul Aaida sendiri.

Hanya Allah sahajalah yang mampu membalas sumbangan tuan-puan. In sya Allah, anak-anak yatim ini akan mendoakan agar tuan/puan dimurahkan rezeki, dipelihara-Nya dan dipermudahkan-Nya apa jua urusan tuan/puan. Amin.

Catatan. KOMUNITI Amal TAIPING (KaT) adalah gabungan beberapa individu untuk tujuan beramal di Taiping. KaT tidak mewakili mana-mana rumah kebajikan. Rumah Nurul Iman dan Rumah Nurul Aaida adalah pilihan kami untuk program amal hari ini 1 Januari 2015.

Makluman lanjut boleh hubungi Penyelaras KaT, Lukman Wan Mat Daud 0195582626 (sms/whatsup), Lukman Wan Mat Daud (FB) atau lukmanw@gmail.com (email)


http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/


















































No comments:

Post a Comment