Monday, November 10, 2014

Di sinilah Tesco kami, di sinilah Giant kami














Di sinilah Tesco kami, di sinilah Giant kami

Bapa menyewa di sebuah setinggan di Lorong Dua di Pekan Kamunting ini. Rumah berlantaikan simen yang pecah-pecah berdindingkan 4 kaki bata dan selebihnya papan hingga ke bumbung. Ada sebuah bilik yang sebenarnya hanya partition 6 kaki tidak berpintu. Emak mengantungkan tirai yang acapkali putus atau koyak kerana menjadi tali gayut mainan Tarzan kami. Partition di tengah-tengah rumah itu membahagikan ruang hadapan dan ruang dapur. Bilik air hanyalah satu kawasan 3 kaki x 3 kaki tidak berdinding. Jambannya pula di luar rumah jenis tong atau lebih dikenali dengan nama Jamban Angkut sebab ada pekerja yang mengangkut tong tersebut pada masa-masa tertentu.  Memang sebuah rumah ada sebuah jamban tapi jamban kami sentiasa sahaja ada jiran atau orang lalu-lalang (termasuk pelanggan di kedai berhampiran) yang menumpang kerana bapa seorang pembersih sentiasa membersihkan jamban angkut tersebut .

Rumah sewa kami ini berbumbungkan zink yang berirama sayu bila rintikan hujan. Iramanya rancak bila hujan menggila. Ketika itu kami tiga beradik di dalam pelukan emak kerana itulah caranya untuk berhubung sesama kami. Bapa tenang sambil merenung zink yang acapkali tertusuk juga titisan hujan.

Ketika langit cerah tak kira pagi atau petang, pekan kecil Kamunting itu menjadi tempat mainan kami. Biasanya aku dengan kawan-kawan lelaki meninggalkan kakak dan adik perempuan aku dengan rakan-rakan perempuan mereka. Tak genglah dengan perempuan! Tetapi kalau aku tiada kawan, dengan muka tidak malu aku mengekori mereka pula.

Lebih-lebih lagi semasa cuti sekolah hujung minggu. Bermaharaja-lela kami di pekan kecil Kamunting ini. Mainannya mudah sahaja! Kami hanya menyusur dari satu lorong ke satu lorong. Menyusur bermakna kami berjalan. Sekali-sekala berlari. Basikal? Ketika itu bapa tidak mampu membeli basikal untuk kami.

Kalau ada baki duit sekolah hari-hari sebelumnya, susuran kami lebih meriah! Manakan tidak dengan sebelah tangan, kadang-kadang dua-dua belah tangan penuh dengan kudapan. Ada sahaja kudapan yang boleh dikongsi. Dari Ais Krim Malaysia hinggalah makanan ringan yang ada setengahnya seperti Asam Katok yang tidak lalu untuk ditelan pada hari ini.

Pekan kecil Kamunting itu berkomunitikan pelbagai bangsa dan agama. Menariknya kami semuanya dikenali dan mengenali.

“Itu Gemuk anak Wan Ami (army)”. Kata Abeng merujuk aku kalau bersusuran di Kedai Basikalnya.

“Itu kurus dia punya kawan, anak Muniandi Gunting Rambut”.

“Itu pendek, anak Aliang, kedai ikan sebelah”.

Maka Ais Krim Malaysia dan Asam Katok itulah kami berkongsi bibir!

Di sinilah Tesco kami, di sinilah Giant kami.

Di sinilah kami bersusuran sehingga azan Magrib menamatkan mainan kami.

http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment