Tuesday, April 28, 2015

Mengenang Budi bukannya Berbudi, Ruangan Mereppak Joharddy Ibrahim, MM 19 April 2015


Mengenang Budi bukannya Berbudi, Ruangan Mereppak Joharddy Ibrahim, MM 19 April 2015

Saya adalah pengikut (follower?) ruangan Mereppak (merepek?)  tulisan Joharddy Ibrahim di Mingguan Malaysia setiap hari Ahad ini. Bagaimanapun kebelakangan ini bagaikan terasa kekurangan asam-garamnya tulisan Joharddy, wartawan kesukaan saya ini. Adakah disebabkan “kemasinan” GST menyebabkan tawarnya hasil tulisan beliau?

Dari Mac hingga penghujung April 2015, saya rasa tulisannya pada MM 19 April 2015 ada sedikit tarikan kepada saya untuk mengikutinya semula.

Tetapi saya kurang bersetuju dengan tajuknya. Sepatutnya (pada pandangan peribadi saya), tajuk itu diberi tajuk Mengenang Budi bukannya Berbudi!

Bukan tajuk yang saya hendak ulas hari ini tetapi isi kandungannya yang mirip pesanan bapa saya semasa hendak mula melangkah ke alam pekerjaan sekitar pertengahan tahun 80an dahulu.

Bapa berpesan ringkas sahaja. Kalau hendak orang menghormati kita, kita hendaklah menghormati orang itu terlebih dahulu. Hormati empat orang ini dan pekerjaan engkau akan menjadi senang.

Itulah pesanan bapa saya. Siapa empat orang itu? Bukan majikan atau boss di syarikat. Jauh sekali penyelia di tempat kerja.

Empat orang itu adalah (mengikut hirarki) pertama; Pengawal Keselamatan; kedua Tukang Masak; ketiga Pekerja Kaunter Setor; dan keempat Kerani Gaji.

Bapa berpesan berdasarkan pengalamannya di dalam askar. Ada yang masih relevan pesanannya hingga ke hari ini dan ada yang tidak relevan. Saya sudah beberapa kali menulis tentang pesanan bapa ini di dalam blog Orangkecilorangbesar saya.

Bagaimana hendak menghormati Pengawal Keselamatan atau sering digelar jaga ini?

Selain dari menzahirkan rasa hormat secara fizikal dan berbahasa, bapa juga berpesan kenanglah budi mereka sekali-sekala.

Bapa mengajar saya kalau bekerja masuk syif malam, bawalah Teh Tarik tiga, empat bungkus kepada semua pertugas di Bilik Kawalan dan juga anggota yang meronda. Kalau ada rezeki lebih, bawahlah Roti Canai atau Karipap untuk dikawankan dengan Teh Tarik ini.

Jangan lupa selepas Solat Aidilfitri atau Aidiladha, bawalah Lemang dan Rendang serta sebekas Kuih Campur-campur untuk mereka yang bertugas sewaktu perayaan ini.

Kalau ada majlis makan-makan melibatkan syarikat, curi-curilah keluar dari majlis sambil membawa sepinggan-dua juadah dari majlis.

Malah bapa juga berpesan, sekali-sekala selepas tamat waktu kerja, singgahlah menyapa dan sualah sebatang dua rokok untuk memesrakan perbualan. Ironiknya bapa tahu saya tidak merokok!

Itulah pesanan bapa yang saya amalkan sepanjang hampir 30 tahun saya dalam alam pekerjaan. Malah saya terbawa-bawa memanjangkan pesanan bapa itu menjadi amalan saya kepada posman, pembaca meter utiliti, pengangkat sampah, pekerja mesin rumput dan sebagainya di kawasan perumahan saya terutama sementelah saya menjadi surarumah sepenuh masa ketika ini. Mungkin hanya sebotol Air Mineral yang sememangnya saya menyimpan stok di rumah tetapi raut muka penerimanya bagaikan menerima juadah makan berhidang di hotel lima bintang.

Itulah pesanan saya kepada anak lelaki saya seorang itu.

Terima kasih bapa mengajar saya.

Tiga orang lagi? Bersambung ........

http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment