Arwah Cikgu Walat yang saya kenali
Saya memulakan persekolahan saya Darjah 1 di Sekolah Rendah
Long Jaafar Kamunting di tahun 1974. Walaupun begitu hanya sebulan kerana
berpindah ke Sekolah Rendah Jalan Shaw (kini Jalan Hang Tuah) Kuala Lumpur
kerana mengikuti bapa yang bertukar kem askar di sana.
Ketika ini saya tidak berpeluang mengenali arwah dan juga
anaknya, Ahmad Hisham walaupun kami sebaya dan bersekolah yang sama cuma berlainan
kelas.
Tahun 1978, bapa pencen dan kembali ke Kamunting. Saya
menyambung persekolahan Darjah 5 di Sekolah Rendah Long Jaafar semula.
Pun begitu saya tidak begitu rapat dengan arwah kerana saya
gerun melihatnya disebabkan 2 perkara.
Pertama arwah adalah Guru Muzik, manakala saya adalah seorang
yang Buta Muzik! Berbeza dengan kakak saya Wan Norizan (yang dikenali sebagai Kak
Long ketika itu) yang boleh bermain pelbagai alat muzik. Seingat saya, arwah
pernah “memaksa” saya bermain alat muzik Besi Tiga Segi itu. Itupun masih
sumbang ketika saya mengetuknya!
Kedua, arwah berwatakan serius dan jujur saya katakan arwah lebih
“bergaya” sebagai Guru Disiplin dan bukannya Guru Muzik.
(Sedikit cemburu apabila pertama kali berjumpa arwah, dia
terus bertanyakan kakak saya. Malah di kalangan rakan sebaya, saya lebih dikenali
sebagai Lukman adik Kak Long!)
Penghujung tahun 90an semuanya berubah. Ketika ini anak
arwah, Ahmad Fazli Hisham mula bergiat sebagai pelumba dalam acara motorsport
Malaysian Cub Prix Championship di mana saya sebagai Secretary of the Meet.
Dalam satu perlumbaan terawal Fazli, sewaktu saya memeriksa
trek, saya ternampak arwah sedang berjalan dari paddock menuju ke race control.
Saya meminta pemandu van memberhentikan van dan mengajak arwah menaikinya.
Terkejut juga arwah ketika itu melihat saya.
Awal dan pertengahan tahun 2000an, ketika saya aktif dalam
mengawalselia perlumbaan Malaysian Cub Prix Championship ini, kami sentiasa
berjumpa dan berhubung. Jika ada mana-mana pegawai perlumbaan lain atau pihak
penaja bersama kami, saya akan memperkenalkan arwah sebagai guru saya. Malah
arwah juga sering memberitahu semua bahawa saya adalah anak muridnya.
Kegembiraan yang amat-amat kami kongsi bersama ialah ketika suatu perlumbaan di
Kluang awal 2000an. Ketika itu anak arwah, Ahmad Hisham dan cucu-cucu arwah juga
bersama. Arwah memberitahu kepada ramai orang bahawa Ahmad Hisham (anaknya) dan
saya (anak muridnya) adalah bersekolah yang sama di sekolah yang diajarnya.
Kemudian dalam satu perlumbaan di Kangar pula, rombongan
arwah disertai oleh adik iparnya iaitu Hafisah Samsuddin (ketika itu Hafisah
dan suaminya menetap di Kangar) yang kebetulan juga sebaya dan bersekolah sama dengan
saya. Arwah juga begitu riang memberitahu kepada Clerk of the Course ketika
itu, Bulldog Kuan bahawa adik iparnya itu sebaya dan bersekolah yang sama
dengannya. Malah masih teringat saya apabila kami sama-sama ketawa ketika arwah
isteri memberitahu kami semua bahagaimana ketika itu beliau mendapat seorang anak
(Ahmad Hisham) dan seorang adik (Hafisah) serentak pada tahun yang sama.
Di awal tahun 2000an itu juga saya pernah mengesyorkan arwah
memperancangkan masa depan kedua-dua anaknya Fazli dan Fazrul ini. Terasa
bangga apabila arwah memberitahu saya ketika itu dia dalam persiapan untuk membuka sebuah kedai motosikal di Kamunting.
Kini perniagaan Kedai Motosikal AFS di Kamunting (berdekatan The Store) mula
menjadi sebutan terutama di kalangan anak muda.
Kelibat arwah dan isterinya memang sentiasa di dalam litar.
Sentiasa memberi sokongan kepada kedua-duanya anak itu. Pada saya factor kekeluargaan
juga adalah pendorong kepada kejayaan Fazli dan Fazrul ini.
Walaupun saya tidak berpeluang belajar muzik dari arwah
tetapi saya tetap menganggap arwah sebagai guru saya.
Antara teladan arwah yang in sya Allah saya akan ikut ialah
sentiasa meyokong apa jua kerjaya anak.
Arwah meninggal dunia hari Ahad 30 Ogos 2015 9.00 am di Katil
22, Wad 6B, Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh dan dikebumikan di Kamunting.
Semoga arwah Abdul Walat Bin Sohor dirahmati-Nya.
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete