Monday, September 07, 2015

Nostalgia Medan Selera Taman Kanak-kanak Ipoh @ Angel Park Ipoh










Nostalgia Medan Selera Taman Kanak-kanak Ipoh @ Angel Park Ipoh

Medan Selera Taman Kanak-kanak ini terletak di antara Jalan Raja Musa Aziz (Anderson Road) dan Jalan Tahwil Azhar (Osborne Street). Jalan Tahwil Azhar kini terkenal dengan Gerbang Malam Ipoh.

Medan Selera ini juga dahulu dikenali sebagai Angel Park kerana bangunan Kamdar sekaran g ini yang terletak di persimpangan  Jalan Raja Musa Aziz dengan Jalan Mustaha Al-Bakry (Clare Street) dahuiunya adalah Supermarket Angel.

Medan Selera ini adalah tumpuan kami pelajar-pelajar sekolah berasrama di Ipoh tahun 80an. Setelah puas menonton wayang dan jemu di Superkinta atau habis duit di Jublee Park, kami menjamu selera di Medan Selera ini.

Ada beberapa pemilik gerai di sini sentiasa curiga kunjungan kami. Manakan tidak bukan sahaja Mee Goreng atau Mee Kuah  dimakan dengan Sos Chili berbotol-botol, malah dengan ABC pun kami bubuh Sos!

Kunjungan sebentar tadi bersama anak lelaki saya amat memilukan hati. Semuanya hampir tinggal nostalgia sahaja, Banyak gerai yang hanya menjual ibu kunci! Popiah S.S. Ali masih meniaga tapi hari ini tutup pula. Semasa zaman remaja, kami tidak makan Sopiah S.S. Ali ini kerana “tidak kenyang”! Begitu juga dengan Satay Endut yang hanya kami mampu tengok sahaja.

Saya mula mengenali dan berkawan dengan Muhammad Taba (arwah) anak kepada Endut sekitar 1987 apabila saya mengadakan Pameran Motosikal di Sekolah Agama Izzuddin Shah,

Teringat lagi kata-kata arwah yang juga antara superbiker terawal di Ipoh ketika itu kepada saya. Beliau merakamkan kekaguman kerana pameran motosikal itulah yang menarik ramai mat-mat motor di Ipoh “masuk” ke perkarangan sekolah agama!

Arwah dan abangnya Nan (arwah) dikenali ramai superbiker di Malaysia terutama di KL ketika itu. Malah kami beramai-beramai dari KL datang ke Ipoh meraikan majlis perkahwinannya penghujung 80an.

Saya berkesempatan berbual dengan pekerja Satay Endut semasa makan malam tadi. Itulah realitinya Medan Selera Taman Kanak-kanak ini. Kemunculan banyak premis makan dan pada masa yang sama kesukaran mendapatkan tempat letak kereta menyebabkan perniagaan di medan selera ini semakin hari semakin malap.

Catatan antara ingat dan lupa, medan selera ini juga menyaksikan pergaduhan di  antara dua pasukan beruniform dan tragedi seorang remaja dipukul oleh pihak pengurusan Supermarket Angel kerana disyaki mencuri. Agaknya kalau ada media sosial seperti FB ketika itu kecoh seMalaysia.


No comments:

Post a Comment