Saturday, January 23, 2010

Siri Tempek 2 - Jangan Mengata Belakang Mak Long Huduh



Siri Tempek 2 - Jangan Mengata Belakang Mak Long Huduh

Pagi tadi ketika jam menghampiri angka 7, takala anak jantan aku seorang itu bersiap hendak ke sekolah untuk acara Cross Country, takala isteri aku seorang itu bersiap untuk ke Bengkel Mnulis Ringkasan Mengajar, takala aku berkira-kira hendak menyambung tidur, terdengar sayu-sayu orang memberi salam.

"La Kak Hawa ka? Bila balik kursus? Mai la masuk. Kak Ella mu ada dalam bilik air nu!", aku membalas salam sambl dada berderau kerana menerima penghujung di waktu-waktu begini biasanya membawa perkhabaran mendukacitakan dari kampung Tukuro aku itu. Tak kan pula nak cerita Sultan Johor mangkat!

"Tak pa la Man. Kursus tu lama dah balik. Ni Mak Long Huduh kirim Tempek Pisang. Kami pun nak pergi kerja dah ni. Kirim salam kat Kak La", kata anak dara Mak Long Huduh yang membahasakan dirinya "kami", membahasakan diri aku sebagai "Man" sahaja dan membahasakan isteri aku sebagai "Kak La".

"Sapa tu bang?", tanya isteri aku.

"Kak Hawa Mak Long Huduh hantar Tempek Pisang"

"Tempek Pisang!", berkerut dahi isteri aku seorang itu. Tentu teringat kisah minggu lepas.

Aku terus membelek isi beg plastik. Di dalamnya ada lima bungkus kecil sebesar tapak tangan balutan daun pisang yang kehitaman. Aku ambik satu dan terus membukanya.

"Mai tengok Sayang! Mak Long Huduhpun buat Tempek Pisang macam Roti Canai saja. Dahlah kecil nipis pula tu!"

"Apa la abang ni! Komplen pula rezeki tu. Itupun mahu juga Mak Long Huduh ingat kat abang anak saudara kesayangan dia ni. Entah pukul berapa dia bangun tempek pagi tadi."

"Bukan apa sayang. Hari tu dia yang banyak kom.......",
belum sempat aku menghabiskan perkataan "komplen" tiba-tiba telefon di rumah berbunyi. Aku terus angkat.

"Saleng malaikom (assalamualaikum)", alamak suara Mak Long Huduh aku.

"Walaikumsalam. Sapa ni?", saja aku tanya buat-buat tak kenal.

"Budak bertuah ni! Suara Mak Long Molek mu ni pun mu tak kenai dah!", Mak Long Huduh biasanya membahasakan dirinya "Mak Long Molek".

"Oh Mak Long, ingat sapa tadi. Suara macam orang muda aja", saja aku menjawabanya.

"Mu jangan nak jek Mak Long. Ada Kak Hawa mu bagi Tempek sat-sat tadi?"

"Ada Mak Long! Ni tengah dok makan ni. Macamana Mak Long tahu Man ada rumah hari ini?"

"Semalam Kak Mek mu jumpa Mak mu di kebun tu. Katanya mu minggu ni saja ada rumah. Lepah ni sampai bulan Empat semedang tiap minggu gi Miri dan KL"

"Ni saja Mak Long nak cerita. Mak Long saja buat kecik-kecik kalau tak habis mu boleh simpan dan perangat saja atas kuali. Daun pisang tu nak makan baru buka."


"Oh! Patutlah Mak Long buat kecil-kecil. Tapi rasanya sekali hadap saja lima butir ni"

"Kalau mu nak makan yang besar dan sepesel mu mari rumah Mak Long"

"Terima kasih saja Mak Long. Bila Mak Long nak mari makan nasi rumah kami?", saja aku berbahasa.

"Mu mari ambik aku gi! Tapi minggu ni tak boleh sebab Cukur Rambut cucu Pak Su Mat Ijok mu. Minggu depan kenduri rumah baru Pak Ngah Tam tepi lembah tu. Minggu sekali lagi kenduri Pak Long Derih anak dia bernikah. Mu pun semedang tak ada rumah! Tak pa la Man. Cina Ikan pun dah bunyi hon-hon bawah rumah tu. Kirim saleng kat bini mu."

"Sayang, Mak Long Huduh kirim salam."

"Itulah abang! Mengata lagi Mak Long. Entah-entah terfirasat dalam hati dia yang anak menakan kesayangannya ini dok mengata dia dari belakang"

Aku mengiya pun tidak. Tanpa disedari sudah 2 keping Tempek Pisang ini masuk ke dalam perut aku.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

Friday, January 22, 2010

Toshiba 29 inci tahun 2003



Toshiba 29 inci tahun 2003

Kalaulah tv besar dan berat ni jatuh timpalah sapa pun mahu patah riuk!
Baca di sini untuk cerita lanjut.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blog.com/

Ada sapa-sapa yang baca dan simpan Owner's Manual tu tak? Belum tanya adakah sapa-sapa ikut buat apa yang ditulis dalamnya.

Rindu serinduan



Rindu serinduan

Pernah dengar cerita Balang Berisi Batu dan Pasir serta Serbuk Kopi?

Alkisahnya seorang penceramah menceritakan analogi kehidupan rumahtangga. Untuk membina sebuah rumahtangga yang harmoni, persafahaman antara suami-isteri adalah penting. Hubungan suami-isteri hendaklah saling lengkap-melengkapi bukannya saling bersaing.

Untuk menunjukkan contoh, penceramah ini mengambil dua buah balang dan satu darinya diletakkan di antara dua longgokan ketulan-ketulan batu kecil. Manakala satu balang lagi diletakkan di antara longgokan ketulan batu kecil dan longgokan pasir. Di sebelah hujung meja pula terdapat longgokan serbuk kopi.

"Sekiranya longgokan batu sebelah kanan ini adalah suami dan di sebelah kiri ini adalah isteri, apa akan terjadi jika saya masukkan kedua-dua longgokan batu ini ke dalam balang ini?", katanya sambil memasukkan kedua-dua longgokan batu itu.

"Perhatikan betul-betul dalam balang ini. Masih terdapat banyak ruang kosong di antara batu-batu ini."

"Sekarang perhatikan pula jika saya masukkan batu dan kemudiannya pasir ke dalam satu balang lagi", katanya sambil mengoncangkan balang tersebut.

"Balang yang bergoncang ini ibarat perjalanan rumahtangga yang ada pasang-surutnya. Sekarang perhatikan betul-betul dalam balang ini. Batu dan pasir itu seolah-olah tersusun kemas dlam balang ini dan tidak terdapat sebarang ruang kosong."

"Setakat ini sajalah ceramah saya hari ini", katanya lagi.

"Tapi tuan apa gunanya pula Serbuk Kopi itu?", tanya seorang hadirin.

"Saya ingatkan tiada sesiapa akan bertanya!", kata penceramah sambil tersenyum sambil memasukkan serbuk kopi ke dalam balang berisi batu dan pasir serta mengoncangnya.

Serbuk kopi itu kelihatan menyerap di antara susunan batu dan pasir di dalam balang.

"Walaupun perhubungan suami-isteri boleh diperkukuhkan dengan saling lengkap-melengkapi, ada masanya juga sisuami (atau siisteri) boleh meluangkan seketika masa untuk secawan kopi bersama kawan-kawan mereka." TAMAT


Pagi tadi setelah menghantar anak ke sekolah, isteri pula sudah ke sekolah tinggallah aku seorang diri di rumah.

Check Blood Pressure, atas 109 mmHg (systolic), manakala bawah 68 mmHg (diastolic). OKlah itu sebab kadang-kadang bacaan bawah itu asyik bawah 60 sahaja. Agaknya sebab dua minggu lepas aku makan Mutton Grill, sebab itu bacaan stabil sedikit.

Check pula Blood Sugar, bacaannya 7.9 mmol/l. Oklah sebab aku bukannya puasa malam tadi.

Mulalah mulut rasa kering! Cadang nak makan Pulut dengan Gulai Daging, Warung Mak Tom tutup pula hari Jumaat. Akhirnya aku ke Warung Beehon Sup Abang Rosli Pasar Tani.

Agak janggal aku keseorangan apabila sampai ke Warung Abang Rosli.

"Kawan-kawan mana? Seorang saja ke?", tanya Abang Rosli yang kebetulan kami berdua berkongsi tarikh perkahwinan dan tempat akad-nikah yang sama cuma yang membezakan Abang Rosli kahwin untuk kali kedua ketika itu.

Aku tersenyum saja. Teringatkan gelagat kawan-kawan sekilang yang sering minum pagi di sini. Teringatkan menu-menu unik yang dipesan dan menariknya semua menu-menu ini boleh disediakan oleh Abang Rosli.

Selain dari menu standard, di Warung Beehon Sup Abang Rosli Pasar Tani Taiping ini anda boleh order Beehon, Ketiaw atau Mee berkuah sup seperti di bawah;

1. Daging Tanpa Tulang
2. Daging Tanpa Tulang Campur Perut
3. Daging Campur Tulang
4. Tulang sahaja
5. Perut Sahaja
6. Ayam Sup Daging
7. Daging Sup Ayam, dan
8. Ayam Campur Daging

Dulu di Warung ini cuma ada Sup dan Nasi Lemaknya, sekarang ada pelbagai menu bergoreng dan berkuah yang lain.

Semasa menikmati Beehon Sup dengan Cabai Jeruk dan Cabai Mesin aku terkenangkan kawan-kawan yang hampir kesemuanya berada jauh dari Taiping ketika ini. Kalau ada di Taipingpun agak sukar untuk bertemu.

Rindu serinduan aku.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Setelah longgokan Serbuk Kopi mencapai (hampir mencapai) matlamatnya, aku tidak lupa pula dengan balang, batu dan pasir. Oleh itu seperti biasa aku bungkus bawa balik 2 Ketiaw Sup Ayam untuk rumah aku, 2 Ketiaw Sup Ayam untuk rumah orang tua aku dan 2 Ketiaw Sup Ayam untuk rumah mertua aku.

Thursday, January 21, 2010

AL-FATIHAH Dr. ANUAR NOR ARAI



AL-FATEHAH Dr. ANUAR NOR ARAI

Beberapa sumber berita melapurkan, pengkaji dan pensyarah filem terkenal, Dr Anuar Nor Arai, meninggal dunia akibat serangan jantung di Pusat Perubatan Selangor, di sini, petang semalam (20-Jan-2010).

Beliau yang berusia 66 tahun menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Zaharah Ibrahim serta dua anak perempuan dan menantunya kira-kira jam 5.20 petang.

Jenazahnya dibawa ke kediamannya di Seksyen 19, di sini dan dijangka dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Seksyen 21, di sini, hari ini.

Saya mengenali aruah semasa saya di Program Asasi Sains 85/86, kebetulan aruah ketika adalah sama ada pengetua atau pengawa di Kolej Kelima yang saya diami.

Entah bagaimana saya agak rapat dengannya, malah biasa makan-minum di rumahnya dalam perkarangan kolej itu. Mungkin saya berkongsi minat dengan aruah mengenai perkembangan filem semasa di tanah air dan juga antarabangsa.

Tanpa diduga juga, aruah mengajak saya berlakon dalam satu filem arahannya. Saya sendiri sudah lupa tajuknya. Rasanya filem tersebut adalah untuk kerja amali pelajar-pelajarnya.

Malah aruah juga yang mengalakkan saya untuk berlakon dalam drama Basikalku yang pertama kali dilakonkan oleh Zulkifli Ismail yang kini terkenal dalam drama kepolisan tersebut. Drama yang ditayangkan di TV3 itu adalah karya Mansor Puteh dan diarahkan oleh Adman Salleh dengan pengambaraannya di dalam kampus UM. Kebetulan juga ketika itu saya adalah Presiden Kelab Basikal Kolej Kelima dengan aruah adalah penasihat. Bayangkanlah pelajar baru dan asasi (matriks) pula itu dilantik menjadi Presiden sebuah kelab!

Saya tak pasti apakah peranan aruah dalam drama ini. Tetapi masih segar ingatan saya dengan susuk badan yang kurus dan berjerawat Zulkifli ketika itu. Berbeza sungguh dengan rupa dan gayanya sekarang ini.

Setelah saya gagal meneruskan pengajian di UM, saya terputus hubungan dengan aruah. Dengan galakan aruah itulah saya seterusnya berlakon dalam beberapa drama kepolisan arahan Datuk Yussuf Haslam, drama arahan aruah Roslee Jalil dan juga filem Pelumba Malam. Bagaimanapun hampir kesemua lakonan saya ketika itu ialah tanpa dialog, lebih kepada pelakon Pak Pacak sahaja dan kebanyakannya berkaitan dengan motosikal.

Sumber di sini


Al Fatehah untuk aruah.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Taare Zameen Par

Taare Zameen Par

Awai pagi tadi (betul-betul awai jam 4am!) di rumah bujang felo di Sintok ini, aku terjaga dan mata sukar untuk menyambung kembali keenakan beradu. Mengenangkan ada beberapa subjek yang belum di-key-in lagi markah final exam, aku membuka laptop aku. Entah mengapa proses key-in itu selancar benar. Setelah selesai aku "berlayar-layar" ke blog kekawan, terjumpa clip video bertajuk Taare Zameen Par (Producer & Director; Aamir Khan, 2007) di blog pendidik yang pernah bersekolah dan seasrama dengan aku seketika dahulu.

Filem ini mengisahkan Ishaan Nandkishore Awasthi (lakonan Darsheel Safary), 8 tahun yang menghadapi kesukaran untuk belajar sehinggalah guru lukisan sementaranya, Ram Shankar Nikumbh atau "Nikumbh Sir" (lakonan Aamir Khan) mengenalpasti beliau adalah seorang dyslexic.

Ada juga 17 bahagian di You Tube yang aku jumpa. Mungkin selepas ini aku akan cari cerita lengkapnya.

Bilakah kita boleh menonton cerita sebegini di filem Malaysia?

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

*English DVD title: Like Stars on Earth

Wednesday, January 20, 2010

There will be no project for the year 2010

Nostalgia


Nostalgia

Ini email yang diterima semalam;

DIMAKLUMKAN bahawa mesyuarat Majlis Eksekutif Universiti (MEU) Ke-146 (Bil. 4/2009) pada 22 Mac 2009 (Ahad) bersetuju supaya semua pegawai dalam kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pentadbiran dan Akademik) termasuk pegawai-pegawai kumpulan sokongan yang berkelulusan sekurang-kurangnya diploma memakai tali leher institusi pengajian tinggi mereka yang terdahulu (Alma Mater) pada SETIAP HARI RABU.

Ini adalah sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan rasa nostalgia dan mencerminkan kepelbagaian sumber tenaga kerja di UUM.


"Nostalgia dan mencerminkan kepelbagaian sumber tenaga kerja di UUM" - tersenyum aku sendirian. Manakan tidak untuk program degree sahaja aku masuk 4 universiti (IPTA) dengan 2 darinya aku grad. awal tak habis. Mujurlah Master hanya 1 universiti. Dan PhD ini pun berkongsi universiti yang sama dengan Master dulu. Harap-harap janganlah bertambah (atau bertukar) universiti lagi.

Kalau tidak banyaklah tali leher yang aku kena pakai setiap hari Rabu!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

* Rupa-rupanya aku tak ada tali leher UM, ITM (UiTM) dan USM - kena pergi beli ini! Walaupun hanya sekerat jalan tapi rasanya aku juga "bekas pelajar" di UM dan ITM.

Tuesday, January 19, 2010

Jom berpidato!

LOKASI...Kawasan boulevard yang sesuai untuk pelajar berpidato.

Jom berpidato!

Mampukah kita bercakap dan adakah yang sanggup mendengar dan "mahu mendengar" apa yang kita ingin cakapkan? Kita bukan menjual ubat atau ada produk untuk diperagakan kemudiannya untuk diperniagakan. Kita hanya ada idea dan kita ingin menjualnya.

Keluarga saya (saya, kakak saya dan adik perempuan saya) adalah pendebat sekolah. Seterusnya minat kami dikembangkan di peringkat universiti. Bagaimanapun cuma kakak saya (dan abang ipar saya) terus mengembangkannya di arena politik. Manakala saya dan adik tidak tercenderung ke alam politik. Cuma boleh dikatakan saya kini "mencari makan" sama ada sepenuh masa ataupun sambilan dengan "bercakap". Sudah tentu topik saya adalah berkaitan "Occupational Safety and Health" dan kadangkala termasuk juga Quality dan Motivasi.

Kini isteri saya pula semenjak kebelakangan ini sering dijemput menjadi pengacara majlis. Satu bidang yang pernah saya ceburi sebelum ini tetapi saya tidak begitu gemar mengendalikan majlis. Malah saya rasa anak lelaki saya pula mula dilantik oleh rakan-rakan sebayanya untuk menjadi jurucakap pada aktiviti-aktiviti yang disertai oleh mereka.

(Antara ingat dan lupa, saya pernah berpidato dan berdebat dengan Raza, seorang blogger perempuan semasa di sekolah dahulu!)

Ayah saya bukan pemindato. Malah sebenarnya saya sendiri kurang tahu mengenai serba-serbi ayah saya. Tetapi Tok saya (ayah kepada ayah saya) adalah Tok Kadhi dan juga Guru Agama yang sudah tentu perlu bercakap untuk menjalankan tugasnya itu.,

Berbalik kepada posting ini. Semalam saya menghadiri mesyuarat dengan VC UUM iaitu Tan Sri Nordin Kardi. Sebenarnya berkuatkuasa 1 Januari tahun ini saya telah dilantik sebagai Ketua Penyelaras Jabatan Siswazah. Mulanya agak keberatan untuk menerima tanggungjawab ini sementelah saya hanya baru beberapa tahun menyertai UUM. Malah ada beberapa orang di jabatan saya ini sudah bergelar Prof. Madya dan Doktor, sedangkan saya masih bergelut dengan program PhD saya. Saya akur juga permintaan Dekan dan Pengerusi Bidang agar saya mengetuai jabatan saya ini.

Semasa mesyuarat juga saya merasa diri ini amat kecil apabila ahli-ahli mesyuarat lain semuanya bergelar Prof. (Prof. penuh), Prof. Madya, Doktor dan sebagainya. Sedangkan saya hanya diajukan dengan panggilan Encik.

Berbalik kepada posting ini. Antara yang dibincangkan di dalam mesyuarat ialah sudut pidato akan dihidupkan di IPTA-IPTA. Ikuti pandangan dan hasrat VC Tan Sri seperti kenyataan berikut;

KENYATAAN AKHBAR

NAIB CANSELOR
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

KAEDAH UNIK UUM MELAKSANAKAN SUDUT PIDATO:

“TAMAN PIDATO DI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA”

Berikutan permintaan Kementerian Pengajian Tinggi supaya Sudut Pidato dihidupkan di Universiti-universiti, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia telah mengeluarkan arahan kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Datuk Dr Ahmad Faiz Hamid, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak supaya melaksanakannya dengan kaedah yang unik untuk UUM dengan mewujudkan TAMAN PIDATO yang menyamai Hyde Park di London.

Naib Canselor Tan Sri Dr Nordin Kardi memberitahu bahawa lokasi Taman Pidato ini telah dikenal pasti. Taman Pidato ini meliputi boulevard sepanjang kira-kira satu kilometer dari Bangunan Canselori hingga ke Pusat Islam.

Kedua-dua Timbalan Naib Canselor, (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan (Akademik dan Antarabangsa) dilibatkan kerana Naib Canselor tidak mahu sudut pidato hanya membicarakan hal-hal politik dan pelbagai tuntutan pelajar yang sempit dan selalu dikaitkan dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, sebaliknya dijadikan medan untuk mendebatkan idea-idea baru, idealisme, falsafah, sains, kritikan buku, debat sastera, kemanusiaan, keagamaan, keluhuran dan keunggulan akademik, dan sebagainya.

Oleh yang demikian, sudut pidato bukan hanya tertumpu pada satu tempat dan pada satu masa sebaliknya pemidato boleh memilih dengan kreatif tempat dia hendak berpidato, jenis isu yang dikemukakan, audien yang dijadikan sasaran. Beberapa pemidato boleh berpidato serentak pada satu masa pada beberapa “spot” yang mereka pilih sendiri di sepanjang Taman Pidato. Mereka boleh menggunakan kawasan itu antara jam 4 petang hingga 7.15 malam setiap hari Khamis. Ini kerana pada masa itu kebanyakan pelajar sudah habis kuliah, masa untuk mereka berehat dan suasana agak redup.

Selain itu, pemidato juga bebas memilih teknologi penyampaian yang akan disediakannya sendiri secara kreatif dan inovatif seperti yang diamalkan di Hyde Park London.

Naib Canselor yakin dengan keunikan cara dan “idea” UUM melaksanakan Sudut Pidato akan menjadikan Taman Pidato sebagai suatu produk pelancongan yang juga boleh menarik orang awam, termasuk pelancong pada masa yang akan datang.

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Naib Canselor
Universiti Utara Malaysia

19 Januari 2010

Monday, January 18, 2010

Pantang Tak Tahu Buat Tempek!

Tempek Pisang

Tempek Nyior

Pantang Tak Tahu Buat Tempek!

"Mu beli Tempek Nyior Man? Biar betul Man!", rungut Mak Long Huduh sambil dok belek (dan kelebek) Tempek Nyior dalam piring atas meja makan rumah aku itu.

Hendak dijadikan cerita pagi semalam, Mak Long Huduh singgah rumah selepas hantar Kak Hawa anaknya itu naik bas ekpress ke Pulau Pinang. (Stesen Bas berhampiran dengan perumahan yang aku tinggal ini) Katanya pergi berkursus di hotel apa namanya di Batu Feringgi anjuran kilang tempat kerjanya. Mak Long datang bersama Kak Mek, anak sulongnya. Mereka naik teksi dari Batu Kurau dan nampaknya aku kena hantar dia orang balik.

Hendak dijadikan cerita pagi semalam aku terasa hendak makan Tempek ini. Aku memang tahu di Pasar Minggu bersebelahan Stesen Bas Kamunting itu ada penjual kuih yang menjual Tempek berbalut Daun Pisang ini.

Hendak dijadikan cerita lagi ada berbaki Tempek di atas meja makan. Mak Long Huduh ini memang menjadi kebiasaannya apabila datang ke rumah aku akan buat "spot check" dapur. Mengajaknya makan amatlah payah sekali! Cuma ingin meninjau apa yang orang rumah aku seorang itu masak.

"Pantang Tok Nek Mak Long dan juga Tok Nek mu Man kalau Tempek ni mu beli!"

"Kalau aruah Tok Nek mu masih hidup Man, Mak Long tak tahu apa yang di-tempik-kan kat bini mu ni! Ada ka Tempek pun mu beli? Dia tak reti buat ka?"

Orang rumah aku cuma tersenyum-senyum malu! Aku lagi kemalu-maluan!

"Ella tahu buat Mak Long tapi sajalah Man beli. Mak Long nak makan apa? Kalau nak spagetti Man suruh Ella buat", saya aku tukar tajuk.

'Apalah Tempek nipis melayang! Tempek mesti tebal. Ini dah macam Roti Canai. Mai Mak Long rasa sikit", ujar Mak Long sambil mencubit isi Tempek dari piring.

"Sedap juga Tempek sejuk-sejuk ini! Biar Mak Long perabih na!", Mak Long Huduh menarik piring keluar dari Tudung Saji.

Aku senyum. Orang rumah aku seorang itu pun senyum. Kak Mek pun senyum. Cuma anak jantan seorang aku berkerut dahi. Sebenarnya Tempek itu disimpannya untuk dicecah Sambal Tumis yang akan diambil dari rumah mak aku sekejab lagi.

Nak pergi sekarang? Kalau sanggup tahan telinga kena sound dengan Mak Long Huduh pergilah ambik.

"Dah berkahwin beranak pun masih dok makan minum mak masak!". Boleh dijangka apa yang akan dituturkan oleh Mak Long Huduh kesayangan aku ini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Sunday, January 17, 2010

Ban Pecah, Perut Sendat



















Ban Pecah, Perut Sendat

Kata pepatah, Jong Pecah, Yu Kenyang! Macamana pula kalau Ban Pecah, adakah Perut Sendat?.

Antara kegemaran aku ialah menghayati panorama matahari jatuh. Banyak tempat di tepi laut yang pernah aku kunjungi semata-mata untuk menyaksikan sang suria ini melabuhkan dirinya di horizon lautan yang tak bertepi.

Antara tempat kegemaran aku ialah Pantai Segari berhampiran Pantai Remis di mana di sini jugalah tempat melihat Anak Bulan Ramadhan dan Syawal.

Petang tadi aku, orang rumah aku seorang itu dan anak jantan aku seorang itu ke Ban Pecah. Kalau di Pantai Segari panorama mengasyikkan waktu senja ini hanya berkongsi dengan unggas-unggas, di Ban Pecah ia umpama pesta!

Selain menyaksikan panorama matahari jatuh, kami turut menjamu selera terutama kami hanya bersarapan berat dan belum menikmati makan tengahari.

Macamana hendak ke Ban Pecah ini?

Kalau dari Taiping anda boleh ke sana melalui Persimpangan Selising atau Simpang Ampat Semanggol. Aku cadangkan ikut Simpang Ampat Semanggol lagi mudah. Laluannya terus sahaja sampai ke Jambatan Kuala Kurau. Dari jambatan ini, lebih kurang 5 km., di Kampung Sungai Burung, anda akan berjumpa satu simpang belok ke kiri dengan laluan kecil menuju ke Ban Pecah.

Laluan kecil ini akan berpecah di persimpangan Y. Kalau ikut kiri anda akan melalui laluan lagi sempit pinggir pantai sebelum sampai ke Medan Selera Ban Pecah. Kalau belok kanan di persimpangan Y ini akan terus ke Medan Selera Ban Pecah.

Di medan ini, tempat letak keretanya amat terhad. Disyorkan letak kereta anda sebelum Pintu Air dan berjalan kaki ke kawasan medan.

Kalau datang dari Utara / Bukit Mertajam - boleh belok kanan ikut persimpangan Parit Buntar ataupun Bagan Serai. Terus menuju ke Pekan Kuala Kurau.

Tempat ini menjadi tumpuan penduduk tempatan dan luar kerana senarionya mengasyikan dan lokasi untuk memancing serta juga harga makanannya masih berpatutan.

Antara menu yang kami cuba petang tadi ialah;

1. Nasi Ikan Sembilan (harga ikan ikut saiz) RM 3.50
2. Mee Rebus Udang (4 ekor) RM 4.00
3. Char Ketiaw Udang (3 ekor) dan Kerang RM 3.00
4. Satay Ayam / Daging @ RM 0.40
5. Roti Canai Kuah Dal Campur Sadirn @ RM 0.80
6. Kerang Rebus Cicah Kuah Kacang RM 2.00
7. Burger Special Ayam Balut Telur RM 2.70
8. Rojak Buah Pak Su RM 1.00
9. Teh Tarik, Teh Ais dan Teh O Ais

Jangan terkejut tiba-tiba Pak Su penjual Rojak Buah ini tiba-tiba mengeluarkan Wisel dan Loud Hailernya serta membuat pengumuman dalam dialek Kelantannya. Terkejut kami ingatkan kecemasan umpama Amaran Tsunami.

“Sila ambil perhatian semua. Pak Suk nak buat pengumuman . Rojak Pak Su tinggal sedikit sahaja. Kalau beli 1, Pak Su bagi 1. Kalau beli 2, Pak Su bagi 2. Kalau beli 3, Pak Su bagi 3. Kalau tak beli apa-apa, Pak Su tak bagi apa-apa!”

Pilihan kami – Nasi Ikan Sembilan dan Mee Rebus Udang serta Rojak Pak Su memang sedap! Roti Canai cicah Kuah Dal campur Sadirn itu juga menyelerakan.

Manakala Char Ketiaw, Burger dan Satay biasa-biasa sahaja.

Kami difahamkan sekitar tengahari, gerai-gerai ini telah memulakan jualan masing-masing dan berakhir hingga lewat tengah malam.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/