Wednesday, June 16, 2010

Pengantin baru hampir juara di Trek Sepang

Pengantin baru, Ahmad Fazrul Sham (Idemitsu Honda Racing) dan kiri, Orang Kecil

Pengantin baru hampir juara di Trek Sepang

Aku dan anak jantan aku seorang itu turut sama meraikan hari bersejarah Ahmad Fazrul Sham di majlis pekahwinannya di Taiping pada 6 Jun 2010 Sabtu lepas.

Aku memang rapat dengan Fazrul dan abangnya Fazli bukan sahaja kerana mereka berdua berasal dari Taiping dan menetap berhampiran dengan rumah orang tua aku tetapi ayah mereka dan juga penyokong kuat mereka iaitu Abdul Walat adalah bekas cikgu aku semasa sekolah rendah. Malah salah seorang abang mereka juga adalah rakan sekelas aku semasa bersekolah rendah.

Hanya setahun dua ini sahaja aku jarang berada di dalam litar kerana terikat dengan jadual kelas yang hampir saban hujung minggu. Tahun-tahun sebelum ini pasti aku bertemu mereka di dalam litar. Malah menjadi kebiasaan sebelum berlumba mereka berdua datang berjumpa dengan aku terutama semasa mereka berdua baru menceburi kerjaya sebagai pelumba cub prix.

Fazli kini dianggap sebagai seorang pelumba yang bakal menempah nama sebaris dengan Megananthan dan Wazi Abdul Hamid setelah 2 tahun menjadi juara Expert (2007 & 2008) serta naib Juara Expert 2009. Fazrul masih turun naik kerjayanya dengan rekod terbaiknya sebagai Naib Juara Expert tahun 2007 dan Naib Juara Novice dan Wira untuk tahun 2006.

Setelah mengucapkan tahniah sebagai pengantin baru di majlis perkahwinannya, aku sempat membakar semangatnya untuk mencontohi abangnya Fazli yang semakin berjaya setelah berkahwin. Fazrul berjanji akan berusaha lebih gigih terutamanya kini beliau di dalam pasukan baru Idemitsu Honda Racing dan belum mengecap apa-apa kejayaan setelah 3 pusingan berlalu untuk musim 2010 ini. Sebelum ini Fazrul bersama abangnya Fazli dalam pasukan Yamaha Shell Maju Motor.

Fazrul hampir membuktikan kata-katanya semasa pusingan ke 4 Petronas Cub Prix di Sepang hujung minggu lalu. Beliau mencatatkan masa terpantas semasa saringan. Malangnya motosikalnya bermasalah semasa pusingan akhir.

Bagaimanapun rakan sepasukan Hondanya Norizman Ismail (SCK Harian Metro) berjaya menjadi johan. Apa yang menarik ini adalah kemenangan kedua berturut-turut Norizman setelah memenanginya di pusingan ke 3 di Batu Kawan bulan lepas. Lebih menarik ini adalah kali pertama Honda berjaya mempamerkan kecemerlangan jenamanya sebaris dengan Yamaha dan Suzuki di acara cub prix ini semenjak tahun 1996.

Semoga kejayaan berpihak kepada Fazrul selepas ini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.com/


Juara-juara Malaysian Cub Prix. Dari kiri, Md Md.Suhaidi Ali Rahmat (2006), Orang Kecil (juara akan datang:-)), Ahmad Fazli Sham (2007 & 2008) dan K. Sivanesan ( 2004)

No reservations Part 4 Penarik – Kuala Terengganu




No reservations Part 4 Penarik – Kuala Terengganu

KB sesak teruk tengahari ini. Mungkin disebabkan lawatan PM. Cuaca pula terik. Perut pula sendat!

Dalam perjalanan ke Pasir Puteh, kami terlepas persimpangan Bachok/Peringat. Cadangnya hendak ke Kedai Pauh Lima sebelum Gunung, rumah seorang rakan di sana. Aku memang biasa ke Trek Go Kart Gunung tapi melalui jalan utama ke Pasir Puteh. Akhirnya kami meneruskan perjalanan ke Terengganu. Mungkin tiada rezeki bertemu dengannya. Hajat untuk bertemu beberapa rakan lain di KB malam semalam juga tidak kesampaian.

Persimpangan ke Jeti Kuala Besut hanya kami lalui. Nampaknya hajat hendak Pulau Perhentian pada percutian kali ini tidak kesampaian. Insya-Allah penghujung tahun ini kami akan ke sana.

Laluan ke KT melalui Penarik adalah satu laluan kemestian bagi aku. Inilah laluan kegemaran aku semenjak 80an yang kerap dilalui dengan motosikal. Bagaimanapun laluan Penarik kini sudah lebar dan sekelilingnya dimajukan dengan pelbagai hotel/resort dan pusat latihan. Dulunya hanya ada sebuah dua rumah kayu dengan jalannya kerap ditenggelami air. Adakah 5 dan 10 tahun lagi Penarik masih ada daya penariknya?

Seperti biasa di Penarik ramai yang singgah melihat hasil laut baru dinaikkan. Kini sudah didirikan bangunan di mana 10 dan 20 tahun dahulunya hanya di tepi pantai urusan jual beli dilakukan.

Cuaca mula mendung ketika kami menghampiri KT. Kami terus ke Stadium Sultan Mizan di Gong Badak untuk meninjau tempat lokasi Trek Perlumbaan Petronas Cub Prix pada bulan Julai ini. Sebaik sahaja dibuat beberapa pengukuran, hujan mula turun dengan lebatnya. Seterusnya kami ke KT untuk mencari tempat untuk bermalam.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com
















No reservations Part 3 Kota Bahru 16 Jun 2010








No reservations Part 3 Kota Bahru 16 Jun 2010

Malam semalam KB direnjis hujan. Cadangan perkena Seafood di Pantai Sri Tujuh dan Pasar Malam Wakaf Che Yeh terpaksa dibatalkan.

Kami hanya ke KBTC – Kota Bahru Trade Center dan apabila hujan berhenti kami ke pasar malam berhadapannya iaitu di Jalan Parit Dalam. Di sini hanya dijual barangan kain baju dan aksesori lelaki/wanita. Tiada makanan dijual di sini cuma Sotong Mesin Gelek.

Atas cadangan, kami mencuba Nasi Kukus. Terdapat banyak Nasi Kukus, Nasi Air dan Nasi Sup di Kelantan ini. Kami mencuba Nasi Kukus Ayam Goreng Zaeman. Menarik di sini walaupun makan di kedai, ianya dihidang dengan cara berbungkus tiada menggunakan pinggan.

Hari ini seawal 7 pagi kami sudah berendam di dalam air laut. Malangnya Kolam di PCB Resort hanya dibuka jam 9 pagi, tidak berpeluang kami menggunakannya.

Jam 10.30 pagi kami sudah terpacak di hadapan Kedai Kopi White House menunggu meja kosong. Seperti biasa kedai ini padat dengan pelanggan.

Tidak tahu mengapa kini Kedai Kopi White House tidak membenarkan pelanggannya mengambil gambar. Aku ditegur (secara berhemah!) oleh pelayan kedai kerana mengambil gambar. Mungkin aku tidak perasan sticker melarang mengambil gambar yang ada pada dinding kedai ini terlalu kecil.

Kemudiannya kami ke Muzium Adat Istiadat Negeri Kelantan sebelum ke Pasar Khadijah menjamu mata dan perkena Sup Perut sebelum meneruskan perjalanan ke Terengganu.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com