Thursday, December 11, 2008

Nice to Know vs Must Know (Need to Know)

Nice to Know vs Must Know (Need to Know)

Satu sub-topik dalam ERM (Emergency Response Management) yang saya ajar, sub-topik Communication (komunikasi) adalah salah satu subjek kegemaran saya.

Di hujung minggu lepas, saya sendiri mempelajari kisah kepentingan “Nice to Know” dan ‘Must Know” ini.

Kisahnya sebegini. Pergaulan saya sesama kenalan dalam motorsport dan event management ini menyebabkan saya dikenali ramai oleh manager-manager hotel. Ada di antara mereka ini yang tidak putus-putus menghubungi saya agar acara-acara motorsport dan sebagainya diadakan di hotel-hotel mereka ataupun di kawasan-kawasan berdekatan di hotel-hotel mereka. Di Taiping dan Ipoh umpamanya, pengurus-pengurus di pelbagai hotel di sana sering mengutus khabar bertanyakan bila lagi acara-acara motorsport dan sebagainya akan diadakan di sana. Bayangkan pemilik restoran dan kedai makan malah rumah tumpangan juga akan bertanyakan soalan yang sama kepada saya. Biasanya mereka semua ini akan memperoleh pulangan yang lumayan sepanjang acara berlangsung.

Oleh yang demikian seringkali juga saya sekeluarga dijemput makan malam atau menginap di hotel-hotel mereka secara percuma. Bekas Pengurus Besar Bukit Merah Laketown Resort umpamanya sering menjemput saya sekeluarga samada makan malam atau menginap secara percuma di BMLTR dan kemudiannya di Bukit Jana Golf Resort sehinggalah di tempat baru beliau di Belum Resort. Salah seorang lagi ialah Pengurus Besar Swiss Garden.

Malangnya isteri saya seorang dan anak jantan seorang saya itu sudah ”malas” bersama-sama makan malam dengan pengurus-pengurus hotel ini. Bukan kerana terlalu kerap dijemput kerana kami tiga beranak sememangnya tidak pernah menolak rezeki.

Ini kerana gara-gara biasanya samada jamuan secara buffet atau ala-carte, pengurus-pengurus ini (kadangkala ditemani pembantu mereka) akan bersama-sama semeja dengan kami dari mula makan hinggalah ke pencuci mulut. Ini menyebabkan kami tiga beranak yang sememangnya kaki makan ini serba-salah untuk ”membalun” makanan dan minuman yang ada. Kami hanya makan dengan malu alah sekadar dan penuh sopan santun.

Ini berbeza dengan pengalaman menjamu selera makan malam minggu lepas di sebuah hotel 4 Bintang di Pulau Pinang. Sebenarnya pakej yang kami tiga beranak ambil adalah penginapan dengan sarapan sahaja. Kebetulan sepupu orang rumah saya bekerja di hotel tersebut dan bertugas pula sebagai in-charge di coffee house restoran tersebut.

Sekitar jam 8 malam, dia menelefon kami agar berjumpa beliau di dalam coffee house. Setibanya di coffee house, setelah mengenalkan kami tiga beranak sebagai ahli keluarganya kepada chashier yang bertugas, kami ditunjukan sebuah meja di satu sudut.

Seterusnya sepupu orang rumah saya ini menjemput kami menjamu selera ala buffet Jepun. Dia kemudiannya meninggalkan kami untuk menyambung tugasnya. Apalagi hampir dua jam kami tiga beranak ”bebas berkampung” di coffee house tersebut. Mengikutkan menu Japan Buffet and Seafood Dinner itu adalah RM 60.00 seorang dewasa dan RM 30.00 seorang kanak-kanak. Kalau kami tiga beranak sudah RM 150.00! Itu boleh makan malam di gerai hampir seminggu.

Ini jauh berbeza pengalamannya dengan keadaan ”terikat” apabila dijemput makan malam oleh pengurus-pengurus hotel kenalan saya sebelum ini.

Betullah kata orang; pengurus-pengurus ini hanyalah mereka yang hanya ”nice to know”, yang pasti in-charge itulah mereka yang ”must know”.

Teringat pesan ayah saya iaitu; empat orang yang penting yang mesti dikenali dan dibuat kawan (dihormati) semasa di tempat kerja; 1. Jaga, 2. Kerani Gaji, 3. Kerani Setor, dan 4. Tukang Masak. Rasanya sudah saya siratkan kepentingan mereka ini di dalam posting-posting terawal blog ini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment