Saturday, December 20, 2008

Pusat Servis Perodua Kamunting cemerlang



Pusat Servis Perodua Kamunting cemerlang
(Perlu dicontohi oleh Pusat Servis Proton Edar Juru Auto City)

Kebetulan saya berpeluang ke beberapa pusat servis kereta mewah seperti Mercedes, BMV dan kereta import lain seperti Toyota dan Honda sama ada di KL atau di beberapa buah ibu negeri. Pusat Servis Toyota umpamanya begitu cemerlang dengan pendekatan mesra pelanggannya. Bukan sahaja pelanggan utama iaitu pemandu malah seisi keluarga juga mendapat layanan sebaiknya.

Bermula dengan kemudahan mesin membuat kopi dan teh serta kuih dan biskut menyambut pelanggan, seterusnya masa menunggu menjadi leka dengan siaran tv berbayar Astro, pelbagai surat khabar berbilang bahasa, majalah-majalah kereta untuk si lelaki, majalah-majalah wanita atau susunatur perabut untuk si perempuan.

Kanak-kanak kecil pula pasti bergembira dengan minuman kegemaran Milo dan menghabiskan masa sama ada mewarna atau mencuba beberapa peralatan pemainan di sudut kanak-kanak. Terdapat juga set bacaan kanak-kanak dengan pelbagai bahan bacaan.

Ruangan pameran dan dinding pandang telus ke bahagian servis disusun-atur menarik. Malah bilik air dan tandasnya amat terasa kebersihannya.

Apabila saya membeli Myvi, saya terkejut melihatkan pendekatan mesra pelanggan ini juga diamalkan di Pusat Servis Perodua di Kamunting dan berharap ianya menjadi satu standard di seluruh Pusat Servis Perodua yang lain. Agak jauh berbeza semasa saya menggunakan Kancil pada awal tahun 2000an dahulu.

Mengapa saya melahirkan penghargaan ini?

Pada masa yang sama saya telah mengunjungi beberapa buah Pusat Servis Proton Edar (di Ipoh dan Juru Auto City) dan mendapati ianya jauh berbeza dengan pusat servis ”adik” mereka di Perodua ini.

Tulisan ini bukanlah untuk mengaibkan mana-mana pihak. Ianya sebagai peluang untuk menambahbaikan perkhidmatan (rooms for improvement). Malah saya sendiri telah mengisi borang cadangan meluahkan pandangan saya di Pusat Servis Proton Edar Juru Auto City.

Semuanya yang ada di Pusat Servis Toyota yang saya nyatakan di atas turut disediakan di Pusat Servis Perodua Kamunting. Kunjungan pertama kali saya sekitar tiga bulan lalu agar mengejutkan apabila mendapati keempat-empat Penasihat Servis di Pusat Servis Perodua Kamunting ini adalah wanita! Bukannya bermakna saya memandang rendah wanita di arena automobil ini tetapi masih terdapat sedikit kesangsian.

Setelah berurusan tiga kali servis dengan penasihat-penasihat servis wanita yang berbeza, saya dapati mereka ini tidak kurang hebatnya dengan penasihat servis lelaki di pusat servis yang lain.

Tidak saya nafikan penasihat-penasihat servis (semuanya lelaki!) dan mekanik-mekanik di Pusat Servis Proton Edar Juru Auto City memang menjalankan perkhidmatan mereka dengan cemerlang tetapi ”suasana” di pusat servis itu sendiri yang muram dan mengecewakan saya.

Ketiga-tiga kali saya hadir untuk servis Pesona saya (dan tiga kali lagi untuk penggantian alatan rosak) di Pusat Servis Proton Edar Auto City mengalami ”suasana” yang sama walapun di awal kehadiran saya sebelum itu telah saya isikan dan masukkan borang cadangan ke dalam peti cadangan. Itupun saya dapati kertas cadangan saya tiada hanya setelah dua kali servis selepasnya! Tidak saya pasti sama ada cadangan saya dibawa ke perhatian pihak pengurusan ataupun hanya dibakulkan sampahkan untuk membersihkan peti cadangan itu.

Pelanggan yang hadir di Pusat Servis Proton Edar Juru Auto City seolah-olah terpaksa berebut dengan satu naskah akhbar Utusan Malaysia, satu naskah Star dan satu naskah akhbar Cina. Bukan mereka berebut sesama pelanggan tetapi ”berebut” dengan jurujual-jurujual yang ada! Tolonglah berlanggan lebih dan janganlah berebut dengan pelanggan! Sama sahaja jurujual lelaki mahupun jurujual perempuan!

Di Stesen Servis Perodua Kamunting terdapat dua naskah Star, satu naskah NST, satu naskah Berita Harian dan satu naskah Utusan Malaysia. Ketiga-tiga kali kunjungan saya ke sana tidak pernah saya melihatkan jurujual-jurujual Perodua ”berebut” akhbar dengan pelanggan-pelanggan.

Stesen tv dengan tiga, empat siaran percumanya yang membosankan kecuali siaran berita. Jauh berbeza dengan dokumentari-dokumentari Astro yang boleh ditonton di Pusat Servis Perodua Kamunting.

Bahan bacaan lain juga menghampakan. Sudahlah kebanyakannya hanyalah bacaan-bacaan ringan seperti kisah-kisah mistik dan hantu, ada di antaranya keluaran beberapa tahun yang lepas. Malah tiada satupun majalah kereta! Pergilah ke mana-mana masa kini tak kira bengkel bawah pokok ceri ke, stesen servis lima bintang ke, mesti ada senaskah dua majalah kereta atau sekurang-kurangnya ”Motor Trader”. Boleh juga pelanggan berangan-angan sementara menantikan kereta siap diservis.

Ini jauh berbeza dengan Pusat Servis Perodua Kamunting. Di rak-raknya tersusun pelbagai bahan bacaan seperti majalah kereta, majalah wanita, majalah susunatur perabut, tumbuhan dan bungaan dan sebagainya. Malah terdapat rak di ruang menunggu dan pada masa yang sama terdapat rak yang lain di ruang pameran.

Di Pusat Servis Proton Edar Juru ini jangan harap minuman panas pembasah tekak! Yang ada hanya air minuman tong yang kadang-kadang tidak diisi semula!

Susun atur dan perabutnya di ruang pameran, ruang pandang telus dan ruang istirehatnya entah apa-apa! Set sofa ada yang tercabut sisinya dan tiada yang ambil peduli. Dinding pandang telus ke bahagian servis paling amat mengecewakan. Ianya berkongsi pandangan dengan pantri kakitangan dan bilik Pengurus Servis. Malah hanya tersedia dua buah kerusi dengan cahaya suram dengan sebuah meja yang tidak pasti apa kegunaannya.

Kalau pelanggan yang membawa anak kecil lagi membosankan. Mujurlah ada McDonald dan Restoran Nasi Kandar Pelita untuk mengisi perut dan ”membuang masa”.

Kalau saya mahu saja terus ke Gerai Bawal Goreng Kak Yah Din di belakang Molex itu. Tetapi kalau kereta sedang diservis tak berdayalah pula!

Bilik air dan tandasnya amat mengecewakan. Sudahlah berkongsi dengan mekanik-mekanik, kebersihannya masih boleh dipertikaikan.

Patutlah sejam dua menunggu di Pusat Servis Proton Edar Juru Auto City seolah-olah seharian rasanya. Jauh berbeza menunggu di Pusat Servis Perodua Kamunting, dua jam seolah setengah jam sahaja.

Apa yang saya ingin sarankan di sini ialah kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap Pusat Servis Proton Edar Juru Auto City, belajarlah dari ”adik” mereka iaitu Pusat Servis Perodua Kamunting. Tidak perlulah ”benchmark” Toyota atau kereta import yang lain. Janganlah malu merendah diri sebagai abang kepada Perodua. Bukannya jauh dari Juru ke Kamunting kalau nak buat lawatan sambil belajar.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Klik di sini untuk artikel berkaitan.


Keterangan gambar di Pusat Servis Perodua Kamunting

1. Keselesaan membaca pelbagai akhbar sambil menghirup teh panas
2. Kalau datang hari Rabu dan Khamis ada sarapan percuma
3. Bekas baki minyak enjin dan alatganti yang lain dikembalikan dengan diisi dalam beg plastik

No comments:

Post a Comment