Saturday, January 03, 2009

Amalkan hidup sihat di samping mengutamakan keselamatan

Amalkan hidup sihat di samping mengutamakan keselamatan

Memang tidak dinafikan kisah kami tiga beranak adalah bersekitar ”berjalan-jalan” dan ”makan angin” serta ”makan-makan”. Bayangkan rutin kami selang seminggu di Kuala Lumpur dan minggu kemudiannya di Prai menyebabkan tauke-tauke kedai makan dan pembantu-pembantu kedai makan yang kami kerap kunjungi telah mengenali kami dan tahu citarasa kami tiga beranak.

Kalau di Yik Mun Tanjung Malim, pembantu-pembantu kedai dari Indonesia di situ sudah tahu apa menu yang kami akan order. Sudah pasti Beehon Goreng Basah tak ada sayur dengan Telur Mata Kerbau yang masih meleleh dan teh-o-ais (pilihan anak jantan seorang aku itu), Ketiaw Sup (kadang-kadang Nasi Goreng) dan Soya Campur (pilihan isteri seorang aku itu) dan Ketiaw Goreng serta Cina-Teh-Ais (bukannya disebut Teh-Cina-Ais!) untuk aku. Menu tambahan yang mesti ada pula ialah Cabai Jeruk yang mana kami tiga beranak boleh habiskan setengah teko! Habis makan siap berbekal pula dua Pau Kaya dan satu Pau Ayam!

Malah Kak Yah Din di Gerai Bawal Juru belakang kilang Molexpun sudah tahu citarasa kami tiga beranak!

Oleh itu kami sekeluarga mencuba untuk mengubah sedikit rutin hidup kami. Kami akan mengamalkan hidup sihat di samping mengutamakan keselamatan! Klik di sini untuk mengetahui perbezaan di antara keselamatan (safety) dan kesihatan (health).

Sudah lama aku tidak ”berpeluh”. Dari malam semalam lagi aku bercadang untuk berbasikal dengan anak jantan seorang aku itu pagi ini. Malangnya sejak awal pagi, Taiping bercuaca mendung dengan sekali-sekala langit mencurahkan isi perutnya.

Sebenarnya minggu lepas ada Jambori Basikal di Taman Tasek Taiping. Agak meriah jambori ini dengan ramai peserta dari luar. Seorang rakan yang merupakan penganjur mengajak aku menyertainya. Malangnya ianya bertembung dengan jadual kelas aku yang terakhir di Perai.

Sebenarnya kalau kelas tiadapun aku agak keberatan untuk menyertainya kerana sudah bertahun tidak mengayuh basikal. Tidak seperti beberapa tahun yang lalu, aku kerap menyertai kumpulan-kumpulan berbasikal ini samada kumpulan mountain bike atau basikal klasik.

Cadangan kami dua beranak untuk berkayuh sehingga 10 km dari seawal 7, 8 pagi dan berakhir sekitar 12 tengahari untuk makan kenduri. Malangnya hujan berterusan sehingga tengahari dan selepas makan kenduri pun masih tiada tanda-tanda ianya akan berhenti.

Akhirnya tepat tepat jam 5 petang dengan hujan masih merenyai-renyai turun, kami dua beranak memulakan kayuhan. (Kalau tak mengayuh juga petang ini maknanya minggu depan saja boleh mengayuh kerana esok seawal pagi aku sudah kembali ke Sintok!).

Mengayuhlah kami sekitar kampung sehingga ke pekan Kamunting dalam anggaran 5 km dan berpatah kembali ke rumah sebelum azan Magrib berkemumandang.

Minggu depan mesti kayuh sehingga 10 km! Mesti!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment