Friday, March 20, 2009

Menteri Besar dan Cub Prix


Tahun ini ialah tahun ke 14 Cub Prix diadakan

Menteri Besar dan Cub Prix

Hari pertama Rd 1 Petronas Cub Prix Alor Setar baru sahaja berakhir sebentar tadi dan aku sekarang ini di dalam bilik hotel sibuk dengan beberapa dokumentasi perlumbaan.

Menariknya Cub Prix di Alor Setar ini kerana ia dijalankan di sebuah negeri pimpinan kerajaan negeri Pas dan selepas agak lama tidak diadakan. Sama seperti di tahun-tahun sebelum ini kami mengadakan Cub Prix di Kelantan yang juga di bawah pimpinan kerajaan negeri Pas. Manakala di tahun lepas Cub Prix telah diadakan di Batu Kawan, Pulau Pinang yang merupakan di bawah kerajaan negeri DAP.

Kalau di Kelantan umpamanya, Tok Guru Nik Aziz akan beramah mesra dengan pelumba sebelum acara akhir dijalankan. Malah kami, race official dan pelumba turut serta pihak penaja (Petronas dan lain-lain) dijemput makan malam di rumahnya.

Apa yang menarik kedatangan kami selepas sholat Magrib dijemput untuk ke surau mendengarkan tazkirah dari Tok Guru termasuk mereka yang bukan Islam. Rata-rata mereka yang bukan Islam mengagumi Tok Guru yang memberi tazkirah pada waktu itu lebih kepada persoalan umum yang menjurus kepada perpaduan. Makanan yang dijamu iaitu Nasi Kerabu; Laksam dan buah-buahan habis licin dibedal oleh kami.

Tahun lepas Tok Guru tidak bersama kami kerana menunaikan umrah. Tetapi dia sempat berpesan untuk diadakan Cub Prix setiap tahun di Kelantan.

Di Alor Setar ini juga dijaduakan Menteri Besarnya berserta dengan salah seorang Puteri Sultan Kedah akan bersama-sama pelumba keesokan hari.

Di Kedah ini juga menyaksikan seramai 30 orang Unit Amal Pas menawarkan diri untuk bersama-sama bertugas semasa Cub Prix. Kalau di Kelantan dan di Perak (sebelum krisis terbaru ini) Unit Amal ini sentiasa kelihatan bukan sahaja di ceramah-ceramah politik tetapi di mana-mana sahaja acara seperti perlawanan bolasepak, dan sebagainya. Malah seorang pegawai polis pernah memberitahu aku, dengan kehadiran Unit Amal ini terutama di waktu malam banyak membantu mereka dalam pengendalian lalulintas trafik. Apa yang menarik lagi anggota Unit Amal ini bertugas dengan betul-betul sukarela. Macam Upin dan Ipin pula; betul-betul-betul!

Agar sukar untuk mendapatkan Menteri Besar terutama kerajaan BN untuk datang merasmikan dan beramah mesra dengan pelumba-pelumba yang rata-ratanya berusia dari belasan tahun hingga lewat 20an ini.

Setakat ini hanya bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohammad Ali Rustam serta bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang tidak pernah ketinggalan untuk merasmikan acara Cub Prix ini jika diadakan di negeri masing-masing.

Menteri Besar yang lain? Jangan haraplah. Kalau dijadualkan datang di saat-sat akhir hanya dihantar wakil. Berbelas tahun Cub Prix diadakan di Perak tetapi bekas Menteri Besarnya sama ada Dato Tajul Rosli atau Tan Sri Ramli Ngah Talib tidak pernah menjejaki kaki mereka di litar-litar sementara ini di Taiping ataupun di Ipoh.

(Bagaimanapun Dato Tajul Rosli pernah menganugerahkan aku sebagai salah rakyat Perak yang aktif dan banyak mengadakan acara-acara sukan/perlancongan di Perak pada tahun 2007)

Apapun pandangan mereka (Menteri Besar dan Ketua Menteri ini) terhadap acara Cub Prix dan juga pelumba-pelumba muda ini, mereka perlu ingat golongan inilah yang perlu didekati. Tidak kira apapun pandangan politik, agama dan bangsa mereka.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment