Wednesday, August 05, 2009

Perlukah ada pakej? Perlukah ada ala-carte?



Perlukah ada pakej? Perlukah ada ala-carte?

Kalau diberi pilihan aku mahukan Nasi Lemak dibungkus dalam daun pisang. Kalau Daun Pisangnya tebal tak perlu lapik di luar dengan kertas suratkhabar.

Semasa kecil, kalau mak aku buat bekal Nasi Lemak, dia akan layur dulu daun pisang itu. Biasanya untuk bekal sekolah, mak akan masak Sambal Tumis Ikan Bilis sebelah malam. Nasi Lemaknya ditanak seawal pagi sebelum Subuh. Sementara menanti nasi masak, direbusnya telur, digorengnya ikan bilis dan dikupasnya timun.

Untuk makan pagi alas perut, mak juga bungkus siap-siap. Dia tahu anak jantan seorangnya ini suka makan Nasi Lemak yang ada bau wap daun pisang. Kemudian dibekalnya 2 bungkus lagi untuk masa rehat sekolah. Kadang-kadang dilebihnya kalau ada rerakan sekolah yang memesan untuk dibeli.

Hingga kini itulah pakej Nasi Lemak yang aku cari. Mesti berbungkuskan daun pisang. Mesti ada Sambal Tumis Ikan Bilis, kalau hanya bawang sahaja pun boleh jugalah. Mesti ada Telur Rebus kalau tak sebelah, sejurispun tak apa. Kalau diganti selayur nipis Telur Goreng Dadarpun tak apa. Akhir sekali terselit satu dua hirisan Timun.

Pakej inilah juga yang dikekalkan oleh ramai peniaga seperti Nasi Lemak Antarabangsa Kampung Baru. Pakej asasnya sama. Cuma lauk tambahannya meliurkan. Ada Paru atau Kelempung Goreng Pedas. Ada Goreng Biasa sahaja. Ada Sambal Tumis Sotong Basah atau Sotong Kering. Ada Ayam Goreng. Ada Telur Mata Kerbau. Ada Telur Dadar setebal dua jari. Ada pelbagai lagi.

Pakej inilah juga yang dikekalkan oleh ramai peniaga bangsa Hindu Muslim atau Mamak ini di Jalan Doraisamy, Chow Kit, KL, PJ dan merata ceruk di ibu kota.

Apakah pakej hidup kita? Adakah ianya ala-carte yang diletak di atas meja hadapan kita? Adakah ianya buffet yang perlu kita berdiri bebaris untuk memlihnya?

lukmanw@gmail.com

No comments:

Post a Comment