Monday, January 25, 2010

Mu tak kenai ka sapa kerja kapalterbang MAS tu?


Mu tak kenai ka sapa kerja kapalterbang MAS tu?

Sat-sat tadi sebaik saja kerani perempuan aku itu minta diri nak balik, henpon aku bunyi.

"Man, mu dah telepong kapalterbang MAS?", terdengar suara Mak Long Huduh aku. Beri salam pun tak terus tanya!

"Belum lagi Mak Long. Man tak kenai sapa pun kerja di MAS tu", bohong aku, sebenarnya ada seorang anak murid aku kerja Safety Officer di Skychef, KLIA dan seorang lagi Senior Safety Manager MAS di pejabat dekat Masjid KLIA itu.

"Kalau cam itu camana Mak Long nak lagi cawan plastik bertangkai itu?"

"Tak cukup ke Man bagi 50 butir tu Mak Long? Kata dulu nak bersedekah madrasah atas bukit tu, ni macam nak menega saja Mak Long?

"Madrasah tu Mak Long dah sedekah. Ini puak masjid pula berkenan."

Sebenarnya Mak Long Huduh ternampak Cawan Plastik Bertangkai yang aku ambik dalam pesawat MAS semasa bertemu mak aku di kebun durian Pak aku di Ceruk Pelanduk bulan lepas.

Mak aku pula sebelum itu ternampak cawan itu apabila mengikut kami sekeluarga berkelah di Taman Tasik Taiping. Kebetulan orang rumah aku seorang itu membawa cawan tersebut untuk mengisi minuman panas, terus Mak aku memintanya. Kali ini Mak Long Huduh pula meminta. Minta pula bukan satu dua tapi 50 butir! Katanya nak bersedekah kepada madrasah berdekatan rumahnya. Kesian kepada orang-orang tua yang nak minum kopi panas selepas mengaji kitab, kata Mak Long Huduh.

"Adakah Tok Siak bagi gelas atau cawan plastik. Panah nak mapoh! Nak pegang camana? Ini ada tangkai, molek sangatlah! Kalau minum ais boh dalam mana pun tak apa. Ni kopi panah!"

Kebetulan aku teringat pelajar aku semester lepas di KL yang menggunakan cawan plastik bertangkai yang hampir sama dengan Cawan Plastik Bertangkai MAS ini untuk kegunaan mereka semasa tea-break. Setelah dihubungi, pelajar aku ini memberi kepada aku 50 biji Cawan Plastik Bertangkai secara percuma sahaja. Nasib baik pelajar perempuan aku ini (Pegawai Kanan TLDM) sudah graduate, kalau tidak takut juga aku hendak mengambilnya, nanti dikata rasuah pula :-)

"Encik Lukman kata nak bersedekah ke surau kan? Jadi sayapun nak tumpang dapat pahala juga. Tapi ini sajalah yang ada. Tak ada lagi di kedai itu", ujar bekas pelajar aku itu kerana aku memintanya membeli 100 biji.

Bila Mak Long Huduh datang ke rumah aku 2 minggu lepas, dia mengingatkan aku untuk menghubungi sahaja MAS untuk mengetahui di mana mereka membeli Cawan Bertangkai ini. Ketika itu aku mengiyakan sahaja.

"Kalau tak ada, nak bersedekah camana Mak Long. Mak Long dah berniat itupun sah dapat pahala dah", pujuk aku menyejukkan hati Mak Long.

"Mu betullah tak macam Pak mu. Pak mu tu dulu dia gi madrasah dan masjid mana pun dia sedekah Terompah Kayu dan Cebok Plastik. Mu nak tahu Terompah Kayu yang dia sedekah tu bukan pakai beli kedai tapi dia tempah dekat Cina Abeng Pekan Telasa tu. Pak mu tempah supaya dapat saiz besar supaya semua boleh pakai. Kalau pakat beli saja kat kedai, kena kaki besar cuma jeluh 3 jari saja. 2 jari lagi dok coi keluar!"

"Mu Mak Long suruh cari Cawan Plastik ni macam-macam mu cakap. Bak mari nombor telepong kapalterbang MAS tu. Biarlah Mak Long cakap sendiri. Ada anak menakan pun tak boleh tulung!",
bunyi lain suara Mak Long.

"Bukan Man tak mau tolong. Macam ni sajalah Mak Long. Sabtu Ahad ni Man pergi KL Man try tanya kilang plastik tu. Kalau tak ada juga Man pergi tanya MAS", aku cuba memujuk Mak Long.

"Kalau Mak Long nak ikut sekali boleh tak? Lama dah Mak Long tak pergi Kuala Lumpur tu?"

Aku terdiam! Betul ke Mak Long Huduh nak ikut aku pergi KL ini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Ada sapa-sapa terjumpa cawan macam ini di kedai berhampiran rumah/tempat kerja anda. Maklumkan kepada saya. Saya hendak beli 100 biji.

No comments:

Post a Comment